BEBERAPA pengunjung serius menyaksikan gambar yang dipamerkan pada Pameran Fotografi Amal Lahad Datu baru-baru ini.
AIR MATA Alimah Bakar, 54, pantas mengalir membasahi pipinya apabila melihat gambar kemusnahan harta benda penduduk di Kampung Tanjung Batu akibat pertempuran antara kumpulan pengganas Sulu dan pasukan keselamatan dalam Ops Daulat.
Sambil menyeka air mata dengan lengan baju kurungnya, wajah Alimah kelihatan sebak apabila merenung gambar yang dipamerkan pada Pameran Fotografi Amal Lahad Datu baru-baru ini.
“Sebagai anak kelahiran Tawau, Sabah, saya juga merasai kesukaran dan kesedihan yang dialami oleh masyarakat di sana rentetan pencerobohan yang dilakukan pengganas Sulu.
SEKUMPULAN pengunjung turut menyumbang kepada Tabung Wira Lahad Datu pada pameran tersebut.
“Peristiwa ini membuktikan bahawa keamanan dan keharmonian yang dikecapi negara amat penting untuk dipertahankan oleh generasi masa hadapan,” ujar Alimah yang mengakui dirinya tidak putus-putus berdoa untuk kesejahteraan negara selepas tragedi berdarah yang mengorbankan 10 anggota keselamatan itu.
Kesedaran Patriotik
Berlangsung di Pudu Sentral, Kuala Lumpur pada 11 hingga 17 April lalu, pameran tersebut memberi peluang kepada khalayak untuk menatap koleksi gambar yang dirakam oleh jurufoto agensi media tempatan yang bertugas di sana.
Ia dianjurkan oleh Kelab Kebajikan dan Rekreasi 1 Media (KKR1M) yang mula ditubuhkan pada awal Januari lalu. Presiden KKR1M, Abdul Rahman Salleh berkata, pameran ini merupakan program pertama yang dianjurkan mereka.
“Objektif utama pameran ini diadakan adalah untuk memberi kesedaran patriotik kepada pengunjung dalam aspek mempertahankan kedaulatan negara yang menjadi tanggungjawab semua.
“Selain itu, ia juga bertujuan untuk menghargai jasa para anggota keselamatan dan petugas media yang telah banyak berkorban dalam melaksanakan tugas masing-masing,” jelas Abdul Rahman sambil memberitahu pihaknya turut melancarkan kutipan derma bagi mengisi Tabung Wira Lahad Datu.
Terdapat lebih 40 koleksi gambar yang dirakam lensa jurugambar dari pelbagai sudut ketika membuat liputan di kawasan zon perang antara pasukan keselamatan negara dengan pengganas Sulu sempena Ops Daulat dipaparkan pada pameran berkenaan.
Tidak ketinggalan, orang ramai juga berpeluang berinteraksi dengan jurugambar-jurugambar yang bertugas di lokasi kejadian untuk mengetahui kisah sebenar yang berlaku di sebalik tugasan mereka.
Tambah Abdul Rahman, semua koleksi gambar tersebut dirakamkan oleh jurufoto media daripada Kumpulan Utusan Melayu (M) Berhad, Bernama, akhbar The Star dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Sambutan yang diterima sangat menggalakkan. Malah, KKR1M turut berbesar hati apabila mendapat kerjasama daripada Nikon Malaysia dan Pusat Transformasi Bandar Kuala Lumpur untuk menjayakan pameran ini,” tutur beliau.
- SUMBER
0 Komen:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....