Nuffnang

2 Konstabel Di Penjara Terima Suapan RM200

KUALA LUMPUR - Dua anggota polis peronda berpangkat konstabel masing-masing dijatuhi hukuman penjara 14 hari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah meminta rasuah RM200 daripada seorang peniaga, hampir dua tahun lepas.

Hakim Rozilah Salleh memutuskan hukuman tersebut ke atas Herman Latui dan Mohammad Hassim Mustapa, kedua-duanya berusia 27 tahun, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.




Gambar Hiasan



Beliau juga memerintah kedua-dua tertuduh dari Balai Polis Tun Razak di sini menjalani hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Herman, dari Tawau, Sabah, dan Mohammad Hassim, dari Batu Caves, Selangor, didakwa bersama-sama meminta sogokan itu daripada Ramuddin Masdar sebagai dorongan tidak mengeluarkan saman lalu lintas terhadap peniaga itu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan di Balai Polis Datuk Keramat, Jalan Datuk Keramat di sini, pada pukul 9.15 pagi, 5 Sept 2011.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua mereka turut didakwa di bawah Seksyen 17(a) akta sama iaitu bersetuju untuk menerima suapan RM200 daripada Ramudin bagi tujuan sama kira-kira pukul 12.10 tengah hari pada tarikh dan tempat yang sama.

Kedua-dua seksyen itu boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau tidak kurang dari lima kali nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.

Pegawai Pendakwa dari SPRM Mohd Nur Lokman Samingan sebelum itu memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal yang bersifat mencegah dan memberi pengajaran terhadap tertuduh dan juga masyarakat.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam Mohd Zulfiqri Zakaria. - Bernama


Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top