Nuffnang

RASUAH : Guan Eng Bakal Berhadapan 60 Saksi, 34 Hari Bicara!!!


Mahkamah Tinggi George Town, Pulau Pinang hari ini menetapkan 34 hari bagi perbicaraan kes rasuah Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng antara Mac hingga Julai tahun depan, dengan kira-kira 60 saksi akan dipanggil memberikan keterangan.
Hakim Hadhariah Syed Ismail juga mengingatkan pihak pendakwaan berhubung isu 13,000 dokumen yang masih belum selesai.

“Jika anda hendak perkara ini diselesaikan segera, kami tidak mahu dengar mengenai masalah dokumen anda.

“Saya mahu pendakwaan dan pembelaan bersetuju dengan fakta dan isu yang akan dibicarakan. Jangan bazirkan masa mahkamah.

“Pihak pendakwa perlu bersedia. Kita tak boleh lengahkan lagi. Sila bersedia pada 6 Januari untuk pengurusan kes,” katanya.

Pada 30 September, Hadhariah membenarkan pihak pendakwaan mengambil masa untuk mengindeks 13,000 dokumen yang diserahkan.

Pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Masri Mohamed Daud terdahulu memberitahu mahkamah terdapat masalah dengan dokumen berkenaan.

“Kami sudah mengindeks dokumen itu, tetapi masih ada 3 dokumen dipertikaikan dan perlu diselesaikan,” katanya.

Pada masa sama, hakim memberitahu peguam bela mereka perlu bersedia dengan penyata pembelaan pada 6 Januari.

Tarikh perbicaraan kes ditetapkan pada 27-31 Mac, 10-14 April, 24-28 April, 15-19 Mei, 29 Mei-2 Jun, 13-16 Jun, 17-21 Julai.

Hadhariah berkata perbicaraan akan diadakan minimum 5 hari dengan jarak seminggu.

“Tidak ada perubahan kepada tarikh ini kerana kita ada 60 saksi. Sila tanda tarikh itu,” katanya.

Di luar mahkamah, ketua pasukan peguam bela Gobind Singh Deo berkata masalah dengan dokumen pendakwaan sama seperti sebelum ini, meskipun ia sudah diindeks seperti diminta.

“Ia mungkin masalah berkaitan fotokopi, banyak salinan dan terlalu tebal,” katanya.

Pada 30 Jun, Guan Eng didakwa menggunakan kedudukannya sebagai penjawat awam untuk kepentingan dirinya dan isteri, Betty Chew dengan meluluskan permohonan Magnificent Emblem Sdn Bhd untuk menukar tanah pertanian kepada tujuan kediaman pada mesyuarat Exco bertarikh 18 Julai 2014.

Seksyen 23 membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Guan Eng juga didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Dalam pertuduhan itu, beliau didakwa menggunakan kedudukannya untuk memperoleh kepentingan menerusi pembelian sebuah banglo daripada Li Khoon pada harga RM2.8 juta, iaitu bawah daripada harga pasaran RM4.7 juta pada 28 Julai 2015.

Jika sabit kesalahan, Guan Eng boleh dipenjarakan maksimum dua tahun, denda dan rampasan hartanah. - SUMBER
Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top