PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan
Kepenggunaan (KPDNKK) akan mengumumkan 285 jenama minyak masak dalam
bungkusan satu kilogram yang mendapat subsidi kerajaan.
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perjumpaan dengan syarikat-syarikat minyak akan diadakan secepat mungkin.
“Selain daripada 285 jenama yang dikenal pasti, selebihnya adalah
minyak kitar semula,” katanya pada sidang media selepas merasmikan
Majlis Sambutan Hari Integriti KPDNKK 2016, semalam.
Sementara itu kata beliau, usaha membanteras penyeludupan barangan
keperluan bersubsidi ke negara jiran memerlukan kerjasama menyeluruh
daripada semua pihak berkaitan.
Menurutnya, masyarakat tidak boleh menyalahkan penguat kuasa KPDNKK
apabila ketirisan berlaku menyebabkan barangan bersubsidi dijual di
negara jiran.
Katanya, semua pihak berkaitan, termasuk ketua kampung dan masyarakat
di kawasan-kawasan sempadan, perlu turut sama bertindak dengan
menyalurkan maklumat mengenainya.
Hamzah berkata, pihaknya melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan
sememangnya menjalankan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain,
termasuk kastam dan polis, bagi membanteras penyeludupan.
“Usaha mengetatkan lubang-lubang tikus ini perlukan pemantauan semua,
selain 2,600 penguat kuasa KPDNKk dan 4,000 anggota yang giat
menjalankan tugas penguatkuasaan,” katanya.
Hamzah berkata, pihaknya belum menentukan mekanisme baharu bagi
memastikan minyak masak paket plastik satu kilogram sampai kepada
golongan sasar.
Tegasnya, berdasarkan kajian, minyak masak yang dikeluarkan adalah mencukupi untuk dinikmati pengguna.
Hamzah menjelaskan, jumlah bungkusan minyak masak yang diberikan
subsidi adalah 85,000 tan metrik, satu angka yang besar melebihi
permintaan dalam negara.
“Dalam kajian, setiap individu hanya menggunakan satu setengah
kilogram minyak masak dalam sebulan. Jika semua rakyat guna minyak
masak, hanya 45,000 tan metrik minyak masak digunakan, ada lebihan
40,000 tan metrik,” katanya.
“Kementerian tidak membuat pemberian subsidi yang berlebih-lebihan
bagi mengelakkan mereka yang tidak berintegriti menjualnya di luar
negara,” katanya.
Mengulas mengenai minyak kitar semula yang didakwa dijual di pasaran,
Hamzah berkata, kementeriannya tidak memberi kebenaran kepada mana-mana
pihak untuk melakukan tindakan itu.
Jelas beliau, pihaknya sedang mengenal pasti mereka terlibat dan akan
memanggilnya agar minyak kitar semula tidak dibungkus sama seperti
minyak bersubsidi dalam paket plastik supaya pengguna tidak keliru.
0 Komen:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....