Nuffnang

PENGALAMAN NGERI ANGGOTA KOR KESIHATAN DIRAJA (KKD)



MESKIPUN tidak pernah terlibat dengan pertempuran menentang musuh negara, namun khidmat beliau sentiasa diperlukan ketika berada di medan pertempuran.

Masakan tidak, setiap pertempuran pasti akan mengundang kecederaan dan setiap kecederaan pastinya memerlukan rawatan secukupnya.

Ketika ada anggota yang tercedera dalam peperangan, beliau dan rakan sepasukan adalah orang yang bertanggungjawab merawat mangsa. Mungkin ramai yang tertanya-tanya, siapakah ‘beliau’ itu dan apakah tugas-tugasnya.

Beliau yang dimaksudkan ialah Sarjan (B) Daud Ng Mat Nooh, 51, yang telah berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejak tahun 1980, dalam Kor Kesihatan Diraja (KKD).

Berkhidmat sebagai anggota tentera selama 21 tahun, banyak pengalaman pahit manis yang pernah dilalui Daud terutamanya sepanjang bergelar Pembantu Pegawai Perubatan untuk KKD.

Pembantu Pegawai Perubatan merupakan satu daripada jawatan dalam ATM. Tugas utama mereka adalah untuk merawat anggota tentera dan juga keluarga anggota tentera di kawasan mereka ditugaskan.

Malah, khidmat mereka kadang kala diperlukan untuk merawat anggota yang tercedera dalam operasi menentang musuh negara seperti komunis dan pemberontak.


Peluru tembusi kepala

Menceritakan kisahnya, Daud tidak akan lupa pengalaman menjahit kepala mayat seorang anggota yang telah ditembak di bahagian mata sebelah kiri dalam operasi menentang komunis sekitar 1980-an.

“Masa itu ada operasi menentang komunis di Keroh, Gerik. Saya tunggu di pangkalan di Kalian Intan untuk "standby" bagi menjaga kesihatan anggota yang bertugas di situ.

“Pada suatu hari, jam 5 petang, ada anggota dapat telegram dari kampung yang memintanya pulang. Jadi, ada lima anggota perlu mengiringi anggota tersebut dari kawasan operasi ke pangkalan.

“Dalam perjalanan, mereka diserang hendap dan seorang anggota terkena tembakan di bahagian mata. Peluru itu menembusi kepalanya,” cerita Daud.

Tambahnya, apabila mayat tiba di pangkalan, beliau diarahkan untuk menjahit koyak di kepala mangsa.

“Sayu hati bila lihat rakan kita maut dengan cara sebegitu. Tapi itulah lumrah dan semangat anggota tentera, kami rela mati mempertahankan kedaulatan negara," katanya.

Sepanjang bertugas dalam KKD, Daud tidak banyak menyertai operasi menentang musuh negara sebaliknya beliau lebih banyak terlibat dengan misi menyelamat.


Helikopter bergegar

Antara misi yang masih segar dalam ingatan anak kelahiran Bota, Perak ini adalah misi menyelamatkan mangsa yang terlibat dalam nahas kapal terbang di Sarawak.

Menurutnya, misi menyelamat itu turut disertai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), namun tugasan yang diamanahkan kepada beliau pada waktu itu hampir meragut nyawanya dan rakan seangkatan lain.

“Masa itu, kami melakukan misi menyelamat menggunakan tali. Helikopter kami turun agak rendah kerana mangsa berada jauh di dalam gaung. Tiba-tiba, bilah helikopter terkena pokok.

“Helikopter terus bergoyang kuat. Saya memang takut masa itu. Memang saya fikir helikopter yang saya naik ini akan terhempas.

“Tapi juruterbang nekad untuk terbangkan juga helikopter itu sebab nak selamatkan tiga mangsa yang masih hidup. Dia (juruterbang) memang seorang yang berani,” ujarnya.

Nahas tersebut mengorbankan dua orang sementara tiga lagi mangsa yang masih hidup dibawa ke pekan Balaga untuk menerima rawatan lanjut. Mangsa yang masih hidup pula melecur teruk kerana terkena minyak dari kapal terbang yang terhempas itu.

“Semua mangsa dipercayai bukan warga Malaysia. Sedih bila lihat keadaan mereka. Badan mereka melecur teruk sebab kena minyak dari kapal terbang.

“Saya lihat ada seorang mangsa melecur bersandar di sebatang pokok. Bila badannya ditarik, kulitnya juga tercabut kerana melekat di pokok,”katanya.


Pendaratan cemas

Kisah Daud tidak berakhir di situ. Beliau dan rakan terpaksa melalui detik mencemaskan dalam perjalanan pulang ke pekan Balaga. Bilah helikopter yang bengkok teruk menyebabkan helikopter terbang dalam keadaan yang tidak stabil dan mungkin terhempas jika sebarang kesilapan berlaku pada masa itu.

“Masa kami terbang dari hutan untuk ke pekan Balaga, helikopter terbang dalam keadaan bergegar dan tak seimbang. Saya hanya berdoa sahaja pada masa itu, memohon supaya kami selamat sampai ke tempat yang dituju.

“Setelah 45 minit terbang, akhirnya kami tiba juga di Balaga. Lega sungguh rasanya bila helikopter berjaya mendarat,” katanya.

Daud menyifatkan pengalaman yang beliau tempuhi sepanjang bergelar anggota tentera merupakan pengalaman yang sangat bernilai dan akan terus berada dalam kotak fikirannya.

“Kerjaya sebagai anggota tentera bukanlah tugas yang mudah sebenarnya. Jadi janganlah anda memandang rendah kepada anggota tentera.

“Tanpa mereka, keselamatan dan kedaulatan negara akan mudah diperkotak-katikkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” tegasnya mengakhiri perbualan.


Sinar Harian
Share this article

3 Komen:

  1. Aku sangat menghormati serta menyanjungi ketabahan dan kegagahan ATM, walaupown aku bertugas dlm PDRM, mereka ibarat saudara /adik beradik dlm menjaga keamanan negara Malaysia tercinta, bertambah akrab kami dengan gabungan Blue Ocean Strategi oleh PM

    BalasPadam
  2. correction :
    bukan pembantu pegawai perubatan tapi dikenali sebagai
    MA @ pembantu perubatan @
    penolong pegawai perubatan @ Dressar

    Mekasih...
    InsyAllah nak diserap jugak dalam kor kesihatan diraja.

    BalasPadam
  3. correction :
    bukan pembantu pegawai perubatan tapi dikenali sebagai
    MA @ pembantu perubatan @
    penolong pegawai perubatan @ Dressar

    Mekasih...
    InsyAllah nak diserap jugak dalam kor kesihatan diraja.

    BalasPadam

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top