Nuffnang

PARAS GAJI : Bank Negara Syor Paras Dinaikkan!!


Dalam usaha Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi, sudah tiba masanya, rakyat memperoleh paras gaji bersesuaian, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Muhammad Ibrahim.

Beliau berkata paras gaji dalam pasaran buruh adalah rendah dengan separuh daripada tenaga kerja menerima pendapatan kira-kira RM1,700 sebulan, manakala purata gaji permulaan bagi pemegang diploma hanya kira-kira RM350 melebihi gaji minimum sebanyak RM1,200.

“Sejak 2014, pendapatan kumpulan isi rumah 40% terendah (B40) naik sebanyak 5.8% setiap tahun, bersamaan RM156 sebulan.

“Bagaimanapun, perbelanjaan meningkat pada kadar lebih cepat sebanyak enam peratus, atau RM120 sebulan, menjadikan kumpulan B40 mempunyai wang sedikit untuk berbelanja,” katanya pada taklimat media mengenai Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran BNM 2017 semalam.

Muhammad berkata paras gaji di Kuala Lumpur (KL) pada 2016 dianggarkan RM2,700 bagi golongan dewasa, RM4,500 bagi pasangan tanpa anak dan RM6,500 bagi pasangan 2 anak.

“Ini hanya garis panduan yang digunakan oleh banyak negara maju untuk memberi idea mengenai paras gaji yang dianggap sesuai.

“Di Malaysia, kos sara hidup paling tinggi sebenarnya di sini, dan pada tahap tertentu, cadangan gaji minimum juga boleh diaplikasikan di Pulau Pinang dan Johor Bahru.

“Jika anda bujang menetap di Muar dan memperoleh RM2,700, anda akan hidup dengan selesa kerana kadar sewa dan kos sara hidup rendah,” katanya.

Katanya taraf hidup sedemikian melebihi keperluan asas, berikutan ia membabitkan penyertaan yang bermakna dalam masyarakat, perkembangan peribadi dan keluarga selain bebas daripada tekanan kewangan yang teruk.

Penetapan gaji juga perlu sepadan dengan produktiviti, dan boleh menjadi langkah ke arah kualiti hidup lebih tinggi di Malaysia, katanya sambil menambah, gaji boleh menjadi panduan kepada tahap pendapatan diperlukan untuk mencapai taraf hidup yang boleh diterima.

Muhammad berkata sebanyak 27% daripada isi rumah di KL memperoleh pendapatan di bawah gaji minimum, dan mereka kebanyakannya lepasan sekolah menengah dengan kemahiran kerja yang rendah hingga sederhana.

Sebaliknya, mereka yang memperoleh pendapatan melebihi gaji minimum kebanyakannya graduan dengan kemahiran tinggi, katanya.

Beliau berkata dapatan turut menekankan kepentingan untuk mewujudkan tenaga kerja yang dilengkapi dengan keupayaan untuk memperoleh kemahiran yang lebih tinggi dan pekerjaan dengan gaji yang tinggi, membawa kepada taraf hidup lebih tinggi.

“Terdapat 2 aspek perlu dipertimbangkan, kos sara hidup dan peningkatan pendapatan, dan ini sebabnya kerajaan melaksanakan pelbagai strategi untuk mewujudkan pekerjaan dengan gaji tinggi,” katanya.

Muhammad berkata BNM merancang menubuhkan Biro Perangkaan Buruh Malaysia pada tahun depan, yang membolehkan kerajaan memantau peluang pekerjaan dan gaji bulanan.

Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

Networkedblog

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top