Nuffnang

MH370 Tenggelam Dalam ‘Bentuk Asal’ – Pakar


KUALA LUMPUR – Pesawat MH370 yang hilang dipercayai sebahagian besarnya masih berada dalam ‘bentuk asal’ dan terdampar di dasar kawasan selatan Lautan Hindi, menurut pakar komunikasi satelit tempatan, Zaaim Redha Abdul Rahman.

Teori beliau menyatakan kemungkinan bahawa pesawat itu ‘terapung untuk seketika’ sebelum tenggelam dalam kejadian malang pada hari pesawat itu jatuh.

“Saya percaya pesawat itu telah kehabisan minyak, menjunam ke lautan dengan daya tujah perlahan… dengan demikian, saya berfikiran bahawa badan pesawat kekal seperti asal,” kata Zaaim Redha yang, selepas MH370 dilaporkan hilang, segera membantu untuk membaca dan membuat kesimpulan mengenai bacaan data penerbangan tersebut yang diperoleh daripada satelit dikendalikan oleh Inmarsat, sebuah firma komunikasi satelit bumi yang berpangkalan di United Kingdom.

Dalam satu temu bual dengan Bernama baru-baru ini, Zaaim Redha berkata, bahawa teori beliau yang menyatakan pesawat itu menjunam ke dalam laut disokong oleh penemuan flaperon sepanjang dua meter baru-baru ini, di Pulau Reunion yang terletak di Lautan Hindi, disahkan sebagai bahagian daripada pesawat MH370 yang hilang.

“Flaperon tersebut hanya mengalami sedikit kerosakan dan hanya diselaputi teritip. Keadaannya menunjukkan bahawa ia tidak terpisah daripada badan pesawat secara kasar… malah bekas tanggalan pada serpihan itu kelihatan seolah-olah terpisah dengan baik di bahagian tepian sayap,” jelas beliau.

Zaaim Redha, yang kini perunding utama di Zeta Resources Sdn. Bhd. – yang menyediakan, antara lain, perkhidmatan perunding komunikasi satelit dan kejuruteraan.

Beliau pernah menjadi sebahagian daripada pasukan perintis di Measat yang bertanggungjawab membangunkan dan melancarkan satelit pertama Malaysia. Ketika berkhidmat dengan NEC Jepun, beliau mengetuai pasukan multinasional untuk mereka bentuk dan membangunkan sistem komunikasi satelit Inmarsat-P ICO System (Generation 4).

Mengulas lanjut mengenai saiz serpihan bencana udara didapati konsisten dengan impak kemalangan, Zaaim Redha memberi contoh kemalangan pesawat Germanwings Flight 9525 di Alps Perancis pada Mac tahun ini, di mana tidak ada serpihan yang melebihi satu kaki (kira-kira 0.3 meter) panjang disebabkan oleh kesan terhempas yang kuat.

“Jika MH370 telah terhempas dengan kuat, kita akan mendapati banyak serpihan kecil daripada pesawat itu terapung di atas air sebaik saja selepas kemalangan itu berlaku.

Tambahan pula, flaperon yang dijumpai (dari Pulau Reunion) tidak mungkin akan berada dalam bentuk kepingan besar… kita mungkin hanya menemui serpihan-serpihan kecilnya sahaja,” kata beliau. Beliau yakin bahawa selepas menjunam ke dalam lautan, pesawat MH370 itu ‘terapung untuk seketika’ sebelum tenggelam ‘dalam bentuk asalnya’.

Menurut beliau, adalah tidak mus­tahil juga untuk sebuah kapal terbang terapung di permukaan air seperti dibuktikan oleh US Airways Flight 1549, yang terpaksa membuat pendaratan cemas di Sungai Hudson selepas bertembung sekumpulan be­bu­rung sehingga menyebabkan kedua-dua enjin jetnya gagal, pada Januari 2009.

“Terdapat juga kemungkinan bahawa pesawat (MH370) pesawat telah tenggelam jauh ke dasar lautan untuk beberapa lama sebelum flaperon (sebahagian daripada sayap pesawat) itu tertanggal.

Mengenai kemungkinan jika flape­ron itu telah terapung di permukaan air selama lebih 4,000 kilometer sebelum berakhir di Pulau Reunion, Zaaim Redha berkata, keadaan itu adalah munasabah berdasarkan keadaan arus semasa lautan tersebut.

“Berdasarkan corak bumi berputar, besar kemungkinan sekeping pesawat boleh terapung (lebih jauh) kerana arus lautan boleh menjadi sangat kuat.

“Kuasa arus lautan memang sukar dijangkakan… umpamanya baru-baru ini, seorang wanita Rusia yang merupakan seorang penerjun bebas terhebat sepanjang zaman, gagal untuk timbul selepas menyelam di Mediterranean dan dikhuatiri berdepan dengan arus dasar laut yang kuat ketika di dalam air.”

Baru-baru ini pada 29 Julai, sebahagian daripada sayap pesawat, dirujuk sebagai flaperon, ditemui di pantai Pulau Reunion di bawah pentadbiran Perancis yang terletak di Lautan Hindi. Pada 6 Ogos, Najib mengumumkan bahawa pakar-pakar antarabangsa mengesahkan bahawa kesan materi penyelenggaraan pada bahagian pesawat itu sepadan dengan yang ada pada pesawat MH370.

Pasukan penyiasat yang melakukan pencarian di pesisiran pantai pulau berkenaan selepas penemuan itu turut menemui beberapa serpihan lain termasuk kusyen tempat duduk, bingkai tingkap, serta sisa-sisa sebuah beg pakaian dan botol kosong.

Bagaimanapun, penemuan tinggalan berkenaan masih belum dikenal pasti sebagai sebahagian daripada pesawat yang hilang itu.- BERNAMA
Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top