Nuffnang

PANASSS! Bila Agamawan Dibadutkan - Ridhuan Tee


Ramai yang tidak selesa apabila saya menyentuh soal program realiti TV agama apabila agamawan dibadutkan ketika beraksi di pentas realiti atas nama kononnya untuk mencari bakat. Bakat apa yang dicari? Agamawan diperalatkan untuk mencari keuntungan. Malang sekali jika agamawan tidak menyedari.

Orang kampungpun boleh berfikir lebih jauh. Yang dicari di sini bukan pelakon, penyanyi atau pelawak tetapi bakal pendakwah? Maka, sepatutnya yang diuji adalah teknik, intonasi, bahasa dan gaya penyampaian yang melibatkan seni pengucapan awam, athos, pathos dan logos, bukan yang lain.

Walaupun saya belum dengar lagi istilah-istilah tersebut,  termasuk dari juri, tidak mengapalah. Tetapi cara latihan yang dibuat dengan membadutkan peserta-peserta agak sukar untuk diterima. Adakah program realiti ini akademi lakonan? Pasti mereka yang terlibat tahu jawapannya.

Hina sekali apabila menonton tajuk penyampaian berkaitan dengan syaitan, maka muka seperti diconteng seperti syaitan dengan mempunyai tanduk. Siapa pernah melihat syaitan? Adakah pengarah pentas, tenaga pengajar atau juri disebabkan kealimannya?

Lebih dahsyat lagi, ada cubaan untuk melakonkan keadaan sebenar syurga dan neraka. Nasib baik ada yang protes. Siapakah pernah memasuki syurga atau neraka? Saya, tenaga pengajar dan juri pun belum tentu. Apatah lagi krew. Ditakdirkan dilakonkan juga, apakah juri akan mengatakan; “bagus penyampaian dan lakonan itu, apa orang nak kata, lantak dia oranglah?” Ini bukan soal siapa nak kata, lantak atau tidak? Apakah Islam layak digambarkan sedemikian rupa? Apakah matlamat dakwah sebenarnya? Mencari glamour?

Saya tidak menyalahkan stesen penyiaran, kerana mereka tidak tahu halal haram. Mereka hanya mengejar keuntungan dan rating. Halal haram sudah tidak penting. Sebab itu, ketika peserta diujibakat, juri yang dilantik hanya sebagai syarat sahaja.

Melalui pengalaman, peserta yang pilihan juri, diketepikan begitu sahaja. Stesen penyiaran, mereka hanya mahukan menarik perhatian penonton. Ilmu bukan lagi sandaran.  Pengucapan awam bukan begitu ekstrem sehingga tidak boleh melawak dan mungkin menyanyi. Boleh diselitkan, tetapi biar berpada. Nyanyilah dan lawaklah dengan ilmu, tetapi bukan badut.

Justeru, saya ingin mencadangkan. Pertama, tenaga pengajar dan juri yang terlibat, haruslah mempunyai dan mempelajari ilmu asas pengucapan awam. Bahan-bahan melambak dalam internet. Bacalah. Cuba banding dengan komen juri program realiti di barat, ternyata kualitinya sangat berbeza. Keilmuannya terpancar.

Kedua, letakkan syarat, sekurang-kurang mereka yang terlibat ada ijazah asas. Ini tidak, kadang kala peserta ada ijazah, mereka yang terlibat, termasuk juri langsung tiada. Komen berasaskan kepada pengalaman. Kelayakan dinilai dengan air liur dan pengalaman berceramah. Adakah mereka ini layak dikategorikan sebagai pakar? Pakar apa? Bukankah pelik jika pelajar sarjana diseliakan oleh pemegang sarjana muda atau sijil.

Ketiga, siapakah penasihat agama di sebalik program realiti di stesen tv ini? Jika ada, sejauhmana suara mereka didengar? Pihak JAKIM mesti dibawa bersama. Serlahlah keterlibatan JAKIM, supaya jangan ada orang kata, JAKIM tidak buat kerja dan patut ditutup. Kata-kata sebegini amat kurang ajar. Orang sebegini patut dihumban dipenjara, walaupun anak seorang pembesar seperti kumpulan pesara kerajaan yang berpengaruh kononnya. Tidak semestinya anak pembesar ini bagus dan boleh dipercayai. Masih ramai yang jahil murakab. Tetapi itulah sasaran ultra kiasu untuk diwawancara bagi meliberalkan negara ini.

Keempat, juri atau tenaga pengajar yang dilantik hendaklah dibuat dengan berhati-hati kerana ini program agama. Kita tidak mahu lihat ada makhluk dua alam. Di pentas agama, bukan main ayu dan santun penampilannya, seperti seolah-olah seperti insan tidak berdosa. Tetapi apabila menjadi tenaga pengajar atau juri realiti hiburan tv, penampilan sangat jauh berbeza. Hilang habis keayuan dan kesantunannya.  Yo sana yo sini.

Kelima, produk akhir realiti tv ini nanti, sudah tentu pemenangnya akan menjadi rebutan masyarakat. Akhir-akhir ini saya sudah tidak nampak. Mereka seolah-olah hilang ditelan zaman. Kenapa? Logiknya mudah, kerana keilmuannya tidak terserlah. Rupanya mereka diajar menghafal, bukan membaca.

Keenam, kita berada di alam realiti bukan fantasi. Apakah mungkin apabila finalis ini nanti dijemput berceramah, misalnya mengenai alam kubur, maka mereka akan datang dengan pakaian kafan, batu nisan dan kubur. Kemudian menyanyi lagu, “bila izrael datang memanggil, jasad terbujur di pembaringan.... Kemudian datang mungkar nangkir, kita pun berlari ke belakang pentas, bertukar baju untuk melakonkan watak malaikat. Lantaklah biarlah apa orang nak kata!

Saya tidak akan menjejakkan  kaki ke program realiti sebegini, sehingga format realiti tv sebegini tidak berubah dan keilmuannya tidak terpancar. Orang Kedah kata “kita tidak kelapaq”. Bukan cara ini kita buat duit. Saya pun tidak pasti ianya halal ke tidak?

Apapun saya memuji, penggunaan teknik multimedia, muzik dan props yang tidak berlebihan yang menceriakan program realiti tv. Hak lain-lain itu fikirkanlah.
Share this article

1 Komen:

  1. Setuju. Masyarakat kita tidaklah lemah sehingga setiap satu topik agama perlu di visualkan. Kita perlu mengorak langkah mendidik penonton berfikir supaya kesannya lagi tinggi. Dan juga mendidik para agamawan muda kita berfikir dan berhujah secara bernas. Aspek drama bagi saya sesuatu yang tidak perlu. Janganlan rancangan agama dibuat mengikut ukuran rating sehingga terlepas pandang hingga terkeluar dari tujuan asal.

    BalasPadam

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top