Blogger Tips and TricksLatest Tips And TricksBlogger Tricks

RASUAH : YDP Agong Mahu Penjawat Awam Terlibat Dikenakan Tindakan


Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhammad V melahirkan rasa dukacita baginda ekoran kegiatan penyelewengan, ketirisan dan rasuah masih lagi berlaku dikalangan penjawat mahupun bekas penjawat awam. 

Dalam titahnya sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kelima sidang Parlimen Ketiga Belas hari ini, Seri Paduka bertitah, sekalipun ia dilakukan oleh segelintir, namun ia menghakis kepercayaan rakyat.

"Justeru, Beta mengalu-alukan tindakan membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan. 

"Rakyat juga perlu memberi sokongan dengan tidak terlibat sebagai pemberi rasuah atau memiliki dokumen terperingkat tanpa kebenaran," titah baginda.

Terdahulu, Baginda merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama bagi penggal kelima Parlimen Ke-13 sebentar tadi. 

Keberangkatan tiba Baginda disambut Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Datuk Seri S A Vigneswaran. 

Turut menyambut keberangkatan baginda ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam pada itu baginda menyambut baik dan menyokong visi Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang disifatkannya sebagai inklusif untuk mendapatkan idea dan inspirasi mengenai hala tuju negara.

"TN50 bersifat inklusif bagi mendapat pandangan, idea dan aspirasi mengenai hala tuju negara melalui national discourse (wacana kebangsaan) yang merangkumi semua segmen masyarakat seperti belia, wanita, ilmuan, budayawan, ulama dan sebagainya.

"TN50 juga merupakan suatu visi 30 tahun ke hadapan dan menjadikan Malaysia sebuah negara berjaya di persada dunia," titah baginda lagi.

Dalam masa yang sama baginda menyambut baik pelbagai langkah kerajaan dalam membantu rakyat, antaranya menerusi pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), bantuan kepada peniaga, golongan pertengahan B40 serta bantuan perumahan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang sedang berhadapan dengan peningkatan kos sara hidup.

"Beta mengalu-alukan usaha kerajaan dalam menyediakan pelbagai insentif bagi menjana pendapatan tambahan dengan meneruskan pemberian subsidi bersasar, meningkatkan kadar dan mempelbagaikan pelaksanaan BR1M, bantuan peniaga kecil dan bantuan pemandu teksi memiliki permit," ujar baginda.

Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 20 hari hingga 6 April, manakala Dewan Negara dari 17 April hingga 27 April selama sembilan hari. 

Persidangan kali ini kembali menggunakan bangunan Dewan Rakyat yang sudah dinaik taraf selepas menjalani ubahsuai sejak 2012.
Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Networkedblog

MENARIK

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top