Lepas satu-satu. Banyak sungguh dugaan yang menimpa MAS. Sekali imbas seolah-olah ia satu usaha terancang pihak tertentu untuk sabotaj MAS. Penggodam yang menceroboh laman web Malaysia Airlines (MAS) pagi semalam mengugut untuk mendedahkan maklumat yang dicuri daripada pelayan (server) malaysiaairlines.com ke Internet.
Kumpulan penggodam yang menggelar diri mereka Lizard Squad itu memuat naik foto di Twitter didakwa memaparkan maklumat penerbangan pengguna MAS termasuk seorang menteri kabinet.
Foto berkenaan memaparkan maklumat tempahan yang dibuat seorang pengguna, Amy Keh yang berkata, tempahan dibuat pada Oktober lalu untuk ibu dan dua saudara yang akan terbang ke Taiwan, Mac depan.
"Saya risaukan keselamatan mereka. Sekarang seluruh dunia tahu mereka akan ke Taipei," kata Amy yang dihubungi agensi berita AP hari ini.
Sementara itu pegawai menteri berkenaan yang dihubungi wartawan memberitahu maklumat destinasi menteri terbabit adalah benar namun tiada pengesahan sama ada beliau menggunakan perkhidmatan MAS atau syarikat penerbangan lain.
“Saya sahkan beliau ke Kota Bharu untuk beberapa mesyuarat penyelarasan pasca banjir,” katanya yang enggan memberi komen lanjut mengenai isu godam berkenaan.
Dalam posting twitter, Lizard Squad memuatnaikkan imej tawan skrin (screen capture) yang kelihatan seperti sistem e-mel MAS.
MAS dalam satu kenyataan menafikan bahawa laman web dan data penumpang mereka digodam.
"Malaysia Airlines memberi jaminan kepada pelanggan dan klien bahawa lamanweb MAS tidak digodam dan gangguan sementara ini tidak memberi kesan kepada tempahan mereka dan pengguna data tersebut masih selamat," kata kenyataan itu.
Sebaliknya, syarikat itu mendakwa Sistem Nama Domain (DNS) terkesan dan pengguna dilencongkan laman yang digodam.
Lizard Squad turut mendakwa bertanggungjawab ke atas serangan terhadap rangkaian Sony PlayStation dan laman Microsoft Xbox tahun lalu. - AP
0 Komen:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....