Nuffnang

BUKAN MUSLIM!!! JAIPk Serbu Restoran Perdaya Guna "ISLAM"



Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) menggempur restoran milik bukan Islam di Jalan CM Yusuf yang menyalahgunakan kalimah ALLAH dan Muhammad untuk menarik perhatian pelanggan Muslim. 

Operasi disertai beberapa pegawai Jaipk dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Panglima Kinta itu dilakukan sekitar jam 10.30 pagi pada Khamis 22 Januari 2015 yang lepas. 

AJK Masjid Panglima Kinta, Roslan Ali yang mendedahkan isu itu berkata, ketika sepasukan pegawai Jaipk tiba di lokasi, pekerja restoran sedang bekerja seperti biasa, seolah-olah tiada apa berlaku. 

Malah katanya, walaupun sebelum ini sudah dinasihatkan supaya menurunkan kaligrafi kalimah ALLAH dan Muhammad, ia masih dipaparkan di ruangan berhampiran kaunter restoran itu. 

“Beberapa pegawai Jaipk bertemu dan menasihati pekerja restoran supaya menurunkannya tetapi mereka enggan berbuat demikian kerana akur arahan pemilik. 

“Perbincangan antara pekerja dan Jaipk ambil masa lama juga tetapi ia berlangsung dalam suasana harmoni,” katanya. 

Menurutnya, tindakan pantas Jaipk itu harus dipuji demi menjaga kesucian agama Islam selain menyelamatkan umat Islam dari perkara dianggap syubhah. 

Roslan berkata, pihaknya berharap restoran-restoran lain turut dipantau oleh pihak berkuasa agama termasuk agensi penguat kuasa lain. 

Dalam pada itu, Jaipk akan menjalankan siasatan terperinci berhubung operasi sebuah restoran bukan Islam di Jalan CM Yusuf yang dikatakan memaparkan kalimah ALLAH di premis tersebut. 

Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Ahmad Nizam Amiruddin berkata, pihaknya sudah mengadakan pemeriksaan lanjut di premis itu bagi mendapatkan gambaran lebih tepat. 

Menurutnya, ketika kunjungan pada kira-kira jam 10.30 pagi itu, tiada sebarang tangkapan atau rampasan dibuat terhadap premis berkenaan. “Kita hanya dapat menemui pekerja dan bercakap dengan pemilik restoran melalui panggilan telefon. Jaipk akan jalankan siasatan lanjut kes ini dengan mendapatkan keterangan pemilik,” katanya.

Bukan perkara baharu. Itu dinyatakan Presiden Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Noorul Hassan Saul Hameen ketika diminta mengulas isu salah guna Kalimah ALLAH dan Muhammad oleh restoran milik bukan Islam. 

Menurutnya, isu itu bukan sahaja melibatkan warga tempatan bukan beragama Islam tetapi warga asing yang menggunakan lesen ali baba. 

Beliau berkata, menyedari industri makanan India Muslim begitu popular, ada dalam kalangan peniaga bukan Islam bertindak sedemikian untuk menarik perhatian orang Islam makan di kedai mereka dengan hanya menggantungkan kaligrafi kalimah yang mempunyai kaitan dengan Islam seperti ALLAH, Muhammad dan Bismillah. 

“Kita alu-alukan tindakan pihak berkuasa untuk menyiasat dan mengenakan hukuman ke atas premis yang mengelirukan orang Islam untuk keuntungan,” katanya. 

Noorul Hassan berkata, Presma tiada kuasa untuk mengambil tindakan bagi menghalang mereka, sebaliknya pengguna boleh melaporkannya kepada pihak berkuasa agama dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). 

Beliau berkata, pihaknya akan menyokong penuh sebarang tindakan undang-undang dikenakan terhadap peniaga terbabit. 

Dalam perkembangan sama, beliau menasihatkan orang ramai khususnya penggemar nasi kandar supaya menyiasat atau mendapatkan kesahihan status halal restoran dikunjungi sebelum menjamu selera di situ. 

Sementara itu, Persatuan India Muslim Perak (PRIM) akan bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) dan agensi berkaitan untuk memantau restoran bukan Islam yang menyalahgunakan kalimah ALLAH. 

Pengerusinya, Mohamad Arib Aliah berkata, perkara itui sangat sensitif kerana menyentuh soal halal dan haram dalam Islam. 

“Perkara seumpama ini sepatutnya tidak berlaku lebih-lebih lagi menyentuh soal agama. Soal makan dan minum sangat dititik berat dalam Islam. 

“Setakat ini memang kita tidak terima sebarang aduan. Cuma tindakan kita selepas ini akan turun ke restoran-restoran seperti ini untuk memberikan nasihat,” katanya.







Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top