Nuffnang

SAMUN : Lagi Kedai Serbaneka Dirompak!!





Rakaman CCTV menunjukkan suspek yang berjaket hitam sedang mengacukan pedang samurai ke perut mangsa manakala seorang lagi memasukkan cerut dan rokok ke dalam beg ketika berada dalam kaunter juruwang dalam kejadian di Kemaman.


CHUKAI – Dua hari selepas kedai serbaneka 24 jam di Geliga dirompak, kedai serbaneka 24 jam di Jalan Sulaimani pula disamun apabila dua pekerja kedai itu diacu dengan sebilah pedang samurai sepanjang 45 sentimeter di perut oleh dua lelaki bertopi keledar putih bercermin gelap, Sabtu lalu.

Rompakan pada jam 6.15 pagi itu berlaku dalam tempoh hanya 51 saat dengan kedua-dua suspek yang berusia lingkungan 20 hingga 24 tahun berjaya melarikan wang tunai sebanyak RM181.70 dan sejumlah cerut serta rokok yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM400.

Mangsa yang ketika itu berada di kaunter juruwang, Fatin Shahiza Sabri, 22, berkata, akibat terlalu trauma dengan kejadian itu, dia bermimpi mengenai kejadian samun itu beberapa kali ketika tidur.

“Tidur saya terganggu dan banyak kali bermimpi diacu pedang samurai sepanjang 60 sentimeter seperti yang diacu suspek ke perut saya. Saya benar-benar takut.

“Ketika kejadian itu terjadi, saya dan seorang lagi rakan, Nor Hawa Mohd Talib, 21, sedang mengira stok dan secara tiba-tiba masuk seorang lelaki bertopi keledar menuju ke arah rak makanan dan beberapa saat kemudian masuk lagi seorang lelaki juga bertopi keledar serta menggalas beg yang meluru ke depan saya sambil menghunus pedang samurai,” katanya ketika ditemui semalam.

Katanya, lelaki di hadapannya itu kemudian mengarahkan dia mengeluarkan duit dan memasukkan ke dalam beg galas yang dibawa sementara seorang lagi lelaki yang lebih awal masuk pantas menuju ke dalam kaunter lalu mengambil sejumlah cerut dan rokok pelbagai jenama.

“Sebaik dia arahkan saya memasukkan duit, saya hanya membuka mesin juruwang dan menyuruhnya mengambil sendiri kerana terlampau ketakutan. Dia juga arahkan saya keluarkan barangan kemas dan telefon bimbit tapi saya suruh dia ambil sendiri,” katanya.

Bagaimanapun, apabila terdapat pelanggan lain mahu masuk ke dalam premis itu kedua-dua suspek segera keluar dan melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal Honda Wave menuju ke arah Jalan Jakar.

Katanya, suspek yang menghunus pedang samurai yang bertubuh kurus, berkulit gelap dan setinggi kira-kira 5 kaki 3 inci memakai jaket hitam dengan di bahu kanan terdapat angka sementara rakannya yang berketinggian kira-kira 5 kaki dan berkulit cerah pula memakai berseluar pendek dan memakai baju t.

“Suspek yang berkulit putih berbadan tegap dengan rambut mempunyai ekor di bahagian belakang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, kedua-dua mangsa gagal mengecam muka kerana suspek memakai topi keledar justeru rakaman kamera litar tertutup (CCTV) akan diteliti bagi membantu siasatan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 382 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata dan polis kini giat memburu kedua-dua suspek.

Orang awam yang mempunyai maklumat diharap dapat tampil membantu siasatan,” katanya.

- Sinar Harian
Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top