Nuffnang

ASAL BUKAN MAT SABU : HUSAM Sertai Kem MB Kelantan!!!






Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berpegang kepada kata-kata yang dilafazkan dalam sebuah forum sebelum ini bahawa beliau tidak akan mencabar Mohamad sabu untuk jawatan Timbalan Presiden.

Husam hari ini dengan rasminya mengumumkan beliau hanya akan mempertahankan jawatan Naib Presiden pada pemilihan PAS yang dijadualkan 22 November nanti.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan sebaik sahaja menyerahkan borang penerimaan calon, Husam menjelaskan beliau memutuskan untuk bertanding jawatan Naib Presiden PAS berdasarkan jumlah pencalonan yang lebih tinggi beliau perolehi untuk jawatan tersebut berbanding jawatan Timbalan Presiden.

"Penerimaan untuk bertanding hanya jawatan Naib Presiden sahaja dan tidak jawatan lain adalah berpedoman kepda jumlah pencalonan terbanyak untuk saya adalah untuk jawatan tersebut.

"Saya menganggap itu adalah isi hati dan pilihan akar umbi PAS, jawatan mana mereka inginkan saya tempatkan diri saya," katanya.

Keputusan Husam ini membuatkan jawatan Timbalan Presiden bakal menyaksikan pertandingan jawatan satu lawan satu antara penyandang, Mohamad sabu dan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Pertandingan antara Mohamad dan Mohd Amar juga bakal menyaksikan pertembungan antara calon pilihan kumpulan pro-profesional dan kumpulan pro-ulama.

Mengulas persaingan pemilihan PAS kali ini, penganalisis politik, Sayuti Omar berpendapat Mohamad atau dikenali Mat Sabu lebih berpeluang untuk memenangi jawatan Timbalan Presiden.

Sayuti berkata Mohamad lebih layak berada di kerusi nombor dua PAS kerana telah menunjukkan keupayaannya selama dua tahun memegang jawatan Timbalan Presiden.

Katanya, peranan Mohamad untuk menjadikan PAS sebagai sebuah gerakan politik dan tidak hanya gerakan Islam dan dakwah semata-mata agak memuaskan.

"Mohd Amar hanya popular di Kelantan, itu pun tidak semua PAS Kelantan memberi sokongan kepada Mohd Amar, jadi laluannya agak sukar.

"Mohd Amar mungkin boleh menang jika ada endorsement dari Dewan Ulamak dan Timbalan Mursyidul Am PAS, kalau tidak ada 'talian hayat' ini rasanya peluang untuk beliau sukar," katanya kepada Astro AWANI.

Bagi pertandingan merebut jawatan Naib Presiden, selain Husam, dua lagi penyadang jawatan tersebut, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar bakal berdepan saingan Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik.

Tuan Ibrahim membuat keputusan untuk bertanding jawatan Naib Presiden biarpun mendapat pencalonan tertinggi untuk jawatan Timbalan Presiden.

Seorang lagi calon yang layak bertanding jawatan Naib Presiden, Idris Ahmad dikatakan lebih berminat untuk bersaing bagi jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Bagi jawatan Naib Presiden pula, Sayuti menjangkakan Tuan Ibrahim akan mendapat undi paling tinggi, diikuti oleh Salahuddin dan Husam.

"Tuan Ibrahim dan Salahuddin berkemungkinan tidak berdepan laluan sukar untuk mendapat tempat di jawatan naib Presiden.

"Satu lagi kekosongan untuk jawatan Naib Presiden lebih berpeluang untuk dimenangi oleh Husam, kerana perwakilan PAS melihat beliau sebagai pemimpin masa depan parti itu.

"Namun jika sekiranya ada 'tangan ghaib' yang mencatur pemilihan kali ini, kemungkinan Bakar Chik akan memenangi kerusi Naib Presiden," katanya lagi.

Selain pertandingan untuk jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden, pemilihan PAS kali ini juga bakal menyaksikan pertandingan untuk jawatan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) antara bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaiat dan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayan Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad.

Penyandang jawatan Ketua Dewan Pemuda, Nasrudin Hassan sudah mengumumkan untuk tidak mempertahankan jawatan tersebut sebaliknya akan bertanding merebut salah satu tempat dalam barisan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Bagi jawatan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi yang juga anak Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bakal bertarung dengan Naib Ketua DPPM, Raja Ahmad Iskandar Raja Yaakob.

Sementara bagi jawatan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, penyandang jawatan tersebut, Siti Zailah Mohd Yusoff dijangka akan dicabar lawannya ketika pemilihan lepas, Nuridah Salleh.

Nama calon-calon yang akan bertanding untuk pemilihan pucuk pimpinan PAS penggal 2013-2015 dijangka akan diumumkan esok.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Asmuni Awi dijangkakan akan membuat sidang media mengenai perkara tersebut pukul 11 pagi esok (Sabtu) di ibu pejabat PAS.

Pemilihan PAS untuk penggal 2013-2015 dijadualkan akan berlangsung pada 22 November depan selepas perasmian Muktamar Tahunan PAS ke-59 yang bermula pada tarikh yang sama.

Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top