GEORGE TOWN - Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi mencabar individu yang menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan kepadanya pada Isnin lepas untuk bersemuka.
Abdul Rahim berkata, beliau tidak gentar dengan SMS yang diterima dan perkara itu tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus memerangi jenayah di negeri ini sekali gus menjalankan tugas dengan lebih tegas.
"Saya nasihatkan kepada penghantar mesej (ugutan) itu, jangan ingat dia terlepas daripada tindakan pihak polis.
"Tak payahlah ugut-ugut hantar SMS, beritahu saja... telefon mana mahu jumpa, saya akan pergi. Kalau dah berani sangat, beritahu tempat, tunggu saya...saya akan pergi,” katanya kepada pemberita selepas majlis makan malam sempena Kejohanan Bola Jaring Piala Ketua Polis Negara 2013 di sini malam ini.
Beliau menerima lebih tiga SMS ugutan pada Isnin dan sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini pukul 9 malam semalam.
Antara kandungan SMS berkenaan ialah “Hello kepala Penang mau kasi ingat U sudah ambil saya punya kawan lima orang, U jangan ingat U The Best”.
Selain itu, pengirim SMS turut mengugut untuk “mengambil” Abdul Rahim atau rakannya, jika tidak berjaya “mengambil” Abdul Rahim.
Kesemua SMS diterima daripada nombor yang sama bermula pukul 9 pagi ketika Abdul Rahim berada di pejabatnya. - Bernama
0 Komen:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....