“Dulu apabila doktor sahkan saya dijangkiti virus HIV, saya rasa macam terkena sumpahan dan menjangka dua isteri akan meminta cerai serta hidup saya akan berakhir.
Mohamad bersama 2 anak lelakinya
“Tapi, alhamdulillah semua itu tidak berlaku kerana kedua-dua isteri saya tetap bersama saya dan hingga kini kami hidup bahagia bersama anak,” kata penghidap virus HIV, Mohamad Wahid, 46. Dia yang lebih mesra dengan nama Pie dalam kalangan rakan berkata, sudah tiba masanya masyarakat lebih memahami keadaan sebenar individu dijangkiti HIV atau dalam istilah perubatan disebut ‘People Living With HIV’ (PLHIV).
Menurutnya, pemahaman itu penting bagi mengelakkan PLHIV terus menerima layanan tidak adil hingga menyebabkan mereka tertekan dan sukar meneruskan kehidupan.
“Masalah utama individu dijangkiti HIV seperti saya ialah stigma dan salah tanggapan masyarakat hingga menyebabkan kami dipulau, disisih dan difitnah.
“Hakikatnya, dengan kaedah perubatan terkini kami sebenarnya boleh hidup berkeluarga seperti insan normal,”katanya yang sudah lebih dua tahun dijangkiti HIV akibat proses pemindahan darah. Pie berkata, amat menyedihkan apabila ada PLHIV hilang pekerjaan, putus hubungan dengan rakan dan keluarga, tidak dibenarkan berkahwin serta gagal mempertahankan perkahwinan hanya disebabkan salah faham masyarakat.
“Perkara itu tidak sepatutnya berlaku dan saya kini aktif membantu insan senasib dengan saya,” katanya yang aktif menulis dalam blog http://akuhivpositif.blogspot.com selain melakukan aktiviti sukarela melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Positive Warrior.
Mengimbas kisah lampaunya ketika peringkat awal disahkan doktor dijangkiti HIV, Pie mengakui ketika itu dia menjadi seperti ‘separuh gila’ dan pernah terfikir membunuh diri.
Katanya, dia mengambil masa lama memaklumkan perkara itu kepada isterinya, Mariani Sulaiman, 46, dan Hashimawati Hashim, 36, kerana takut mereka tidak dapat menerima berita buruk menimpa dirinya. “Ketika itu saya beranggapan orang sekeliling pasti menjauhkan diri daripada saya dan saya percaya mereka akan meminta menceraikan mereka. “Nak batuk, bersin, kongsi makanan dengan mereka (isteri dan anak) pun saya takut, saya mahu menjauhkan diri daripada mereka sebenarnya,” katanya.
Berikutan itu, kata Pie, dia mengambil masa lama memaklumkan perkara itu kepada kedua-dua isterinya.
“Selepas beberapa lama, barulah saya mendapat kekuatan berterus-terang dengan mereka. Pada mulanya mereka terkejut, namun mereka pasrah dan menerima perkara itu sebagai takdir. “Untuk tidak menzalimi mereka, saya memberi mereka pilihan sama ada meneruskan perkahwinan atau meninggalkan saya kerana tidak mahu mereka terseksa hidup dengan penghidap HIV seperti saya. “Saya bersyukur kerana mereka masih lagi ingin bersama saya dan sangat positif menerima berita itu,” katanya sambil menegaskan sokongan keluargalah membuatkan dia mampu meneruskan kehidupan seperti biasa.
Pie berkata, selepas mengambil ubat secara konsisten dan mengikut segala nasihat doktor, dia lega kerana dia tidak ‘mewariskan’ virus HIV kepada kedua-dua isterinya.
Malah, hasil pengambilan ubat dan pemantauan berterusan doktor, dia tidak berdepan masalah melakukan hubungan kelamin dengan kedua-dua isterinya.
“Bukan setakat itu, doktor juga mengesahkan PLHIV sebenarnya boleh mendapat zuriat yang bebas daripada HIV atau penyakit AIDS,” katanya.
Sama seperti isteri Pie, dua anak lelakinya yang berusia 17 dan 21 tahun turut menerima keadaan dirinya dengan hati terbuka. “Kami sekeluarga mengambil keputusan menghadapi situasi itu seperti biasa. Saling menyokong dan menjaga rahsia itu selama-lamanya,” katanya.
0 Komen:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....