Nuffnang

ANALISIS : BN TAMBAH MAJORITI, PAS GIGIT JARI DI PRK K. BESUT




ANALISIS Ketika kempen pilihan raya kecil DUN Kuala Besut memasuki hari terakhir hari ini, BN dijangka mempertahankan kerusi yang dimenangi pada pilihan raya umum lalu dengan pertambahan majoriti berbanding sebelum ini.


Pada pilihan raya umum lalu, calon BN Datuk A Rahman Mokhtar menang dengan majoriti 2,434 undi menewaskan calon PAS Napisah Ismail. A Rahman mendapat 8,809. Napisah mendapat 6,375 undi.

BN dilihat tiada masalah untuk mempertahankan lima daripada lapan daerah mengundi - Seberang Barat, Seberang Barat Luar, Kampung Nail, Tok Saboh dan Pulau Perhentian - di Kuala Besut, kawasan simpanan tetap BN sejak 2004.


Tiga lagi daerah mengundi kubu kuat PAS.

Antara faktor yang bakal menyumbang kemenangan BN adalah kempen calon dan jenteranya di semua peringkat di lima pusat mengundi, termasuk tumpuan menteri berkempen, khususnya di Seberang Barat Luar dan Tok Saboh.

Malah, pada pilihan raya umum 5 Mei lalu, di dua daerah mengundi tersebut, BN mengutip majoriti undi tertinggi dengan masing-masing sebanyak 756 dan 617 undi.

Mereka mengadakan program kemasyarakatan dan bertemu pengundi secara sentuhan peribadi dari rumah ke rumah bagi mengukuhkan lagi sokongan terhadap calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman atau mesra dipanggil 'Abe Ku'.

Dengan pengumuman pembinaan pangsapuri di Kampung Lay Out bernilai lebih RM10 juta dan pembinaan sekolah menengah bernilai RM28 juta di kawasan Tok Saboh kali ini, sokongan kepada BN kepada BN dijangka bertambah.


Jentera Wanita Umno agresif

Tambahan pula, jentera BN khususnya Wanita Umno dilihat bergerak agresif ke pelosok kampung.

Malah banyak pembinaan pondok panas di merata-rata tempat sentiasa dipenuhi dengan petugas dan penyokong parti itu khususnya selepas solat tarawih.

Berhubung isu yang dibangkitkan seperti masalah tanah, prasarana dan tema 16:16 Terengganu Baru PAS, rata-rata penduduk kurang memahami perkara yang dibangkitkan. Apatah lagi media arus perdana kurang membuat liputan berhubung perkara itu.

Sebaliknya BN pantas 'menutupnya' dengan menjanjikan projek mega jutaan ringgit seperti projek mendalamkan muara Sungai Besut dan pembinaan Gerbang Pelancongan Antarabangsa. Ia sudah pasti meyakinkan pengundi untuk menyokong BN.

Tidak dinafikan, pada masa yang sama, BN turut memberi perhatian di tiga kubu kuat PAS apabila ramai para menteri secara aktif mengadakan program khusus dengan pengundi di Bukit Puteri, beberapa hari sebelum hari pengundian.

Lebih 10 program, antaranya majlis berbuka puasa dan beramah mesra antara pengundi dan menteri yang terlibat sepanjang dua minggu berkempen di daerah pengundi itu.

Maka tidak hairanlah daerah mengundi Bukit Puteri menjadi sasaran utama BN mencapai kemenangan apabila PAS menang dengan majoriti 90 undi sahaja.

Daripada 2,133 pengundi di Bukit Puteri, PAS menang 1,102 undi (52.13 peratus) berbanding BN dengan 1,012 (47.87 peratus).

Bagaimanapun, satu-satunya masalah bagi BN, apabila pengundian dibuat pada hari bekerja, sekali gus menyukarkan kepulangan pengundi luar. Parti itu amat yakin kebanyakan golongan itu menyokong mereka.


PAS berhempas pulas

PAS pula dilihat turut berhempas pulas mempertahankan daerah mengundi Kampung Nangka yang dimenanginya dengan majoriti 79 undi pada pilihan raya umum lalu.

Bagaimanapun, PAS berpeluang merampas daerah mengundi Kampung Baharu memandangkan calonnya Azlan Yusof dilahirkan di situ.

Saudara maranya yang pernah menyokong BN, juga dikatakan akan memberi sokongan kepadanya kali ini.

Keputusan pilihan raya umum lalu menyaksikan PAS memperoleh 575 undi daripada 1,083 pengundi, manakala BN pula mendapat 496 undi di Kampung Nangka.

BN tetapi tewas di Kampung Baharu sebanyak majoriti 61 undi. PAS mendapat 1,032 undi, BN mendapat 1,092 undi.

Ketiga-tiga daerah mengundi ini berada bersebelahan dan tidak mustahil pengaruh faktor peribadi calon PAS yang seney kiro, mudoh jupo (senang berbincang, mudah jumpa) bakal menjadi faktor mempengaruhi pengundi khususnya anak muda.

"Kekalahan kita (dengan) 61 undi di Kampung Baharu itu akan dapat diimbangi dan (maklum balas) positif. Yang lainnya, keseluruhan kita cula, kita ada peningkatan (sokongan).


"Kita dapat mengecilkan kekalahan kita, dan kita (juga) akan mengembalikan (sokongan) di tempat lain," kata Pengarah Pilihan Raya PAS Hatta Ramli ketika ditemui Malaysiakini kelmarin.


Tidak mustahil juga sokongan bakal melimpah ke kawasan lain, sekali gus boleh mempengaruhi jumlah majoriti BN memandangkan maklum balas dari bahasa badan yang ditunjukkan oleh penyokong BN yang mengenali Che Long.


Ketengah slogan 'Undilah Che Long'


"Sokongan mereka secara spontan. Jadi kita dapat dua kategori undi. Satu undi kerana PAS dan satu lagi undi kerana Che Long," kata Pengurus kempen PAS Hanafiah Mat yang sentiasa turun padang bersama calon sepanjang dua minggu kempen.


Rata-rata pengundi yang kurang kefahaman politik ketika ditemui menyenangi Che Long yang dikatakan sanggup bersusah payah dan pemurahnya kepada masyarakat.


Pendek kata, bagi mereka, beliau menjalankan kerja-kerja 'Yang Berhormat' sebelum dicalonkan menjadi wakil rakyat di DUN Kuala Besut lagi.


"Kempen saya tidak ada masalah. Rakyat tunjuk respon positif kepada saya (khusus di kawasan kuat BN)," kata Azlan kepada Malaysiakini semalam.


PAS juga dilihat mengguna sepenuhnya pengaruh Che Long yang peramah dan mesra untuk menarik sokongan secara maksimum khususnya penyokong BN yang dikatakan turut mengenali bendahari PAS Besut itu.


PAS juga dilihat mengubah strategi kempen dengan memperbanyak kain rentang, poster dan sebaran dengan memperkenalkan "Undilah Che Long" berbanding "Undilah PAS" dan mengadakan karnival "Jom bersama Che Long".

Berdasarkan pemerhatian, karnival "Jom Bersama Che Long" yang diadakan pada 19 dan 20 Julai - yang diadakan secara santai - juga mengukuhkan sokongan termasuk penyokong Umno dan kumpulan anak muda untuk memeriahkan program itu termasuk


Oleh yang demikian, kempen di saat-saat akhir sangat penting untuk kedua-dua kumpulan.

Bagi BN, walaupun dilihat dapat mempertahankan kerusi itu, apakah mereka mampu merealisasikan kemenangan undi majoriti 4,000 seperti yang diuar-uarkan sebelum ini?

Pengundi bakal menentukan nasib BN dan PAS esok.
Share this article

1 Komen:

  1. sape yer penulis blog ni? msti hebat dpt but analisis mcm ni. perghhhh! hebat giler. analisis pru-13 dlu pn mcm sampah je.

    BalasPadam

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top