Nuffnang

GENERASI MUDA : SEMANGAT YANG HILANG

Artikel ini saya kongsikan daripada apa yang diperkatakan oleh Presiden Majlis Belia Malaysia(MBM), Saudara Mohamed Maliki Mohamed Rapiee  di ruangan Minda Harian Metro. Berikut pandangan beliau mengenai daya tahan generasi muda masa kini.

----------------------------------------------------------




ARTIKEL saya bertajuk ‘Ubah mentaliti makan gaji’ yang disiarkan di ruangan Minda Harian Metro minggu lalu mendapat reaksi agak menarik daripada rakan pembaca. Melalui mesej yang dihantar menerusi SMS dan facebook, saya mendapati ramai pembaca bersetuju dengan pandangan saya bahawa golongan belia harus berani membuat transformasi diri untuk menyertai sektor pertanian dan seterusnya merebut peluang pendapatan lumayan yang dijanjikan bidang berkenaan.

Lebih menarik saya mendapat kiriman SMS daripada seorang pegawai kanan polis yang dijadualkan akan bersara wajib pada bulan Julai tahun ini yang turut berhasrat membuka ladang kelapa sawit di kampung halamannya di Kelantan. Namun, terdapat beberapa rakan pembaca yang sangsi mengenai kemampuan golongan belia untuk meneroka bidang tradisi kerana dirasakan mereka kini sudah hilang daya ketahanan untuk menghadapi cabaran yang pada tanggapan umum memerlukan kudrat tulang empat kerat.

Mungkin pandangan ini ada benarnya apabila dilihat fenomena kini orang muda lebih memilih ruang kerja selesa walaupun pulangan gaji bulanan tidak seberapa. Kebetulannya sewaktu saya menyiapkan artikel ini di lobi Hotel Pangeran di Padang, Indonesia, saya sempat bertanyakan gaji bulanan petugas kaunter. Lepasan Sekolah Menengah Kejuruan dalam bidang perhotelan ini menyatakan gajinya meliputi elaun lebih masa sebanyak RM750 sebulan dianggap sangat lumayan bagi beliau yang tinggal bersama ibu bapa.

Jumlah yang sama jika diterima belia kita di Kuala Lumpur atau Pulau Pinang mungkin hanya cukup untuk kos tambang, makan minum dan sedikit keperluan diri. Malah, tidak menghairankan jika pada tengah atau hujung bulan terpaksa pula meminjam dengan ibu bapa. Realiti ini tidak dapat dielakkan kerana kos hidup kini secara relatifnya meningkat. Masalahnya peningkatan kos hidup seperti harga barang jauh lebih pantas berbanding kenaikan gaji.

Majikan juga terkena tempias berikutan kenaikan kos operasi, justeru sudahnya pengambilan staf dilakukan secara berhati-hati dan kadar kenaikan gaji tidaklah begitu menggembirakan. Tekanan hidup sebegini bukanlah mudah dihadapi. Kebanyakan anak sekarang rata-ratanya menikmati kemakmuran dan kesenangan hidup yang disediakan oleh ibu bapa. Ibu bapa pula sanggup menelan kepayahan asalkan mampu menyediakan keperluan setanding dengan apa yang dinikmati anak orang lain.




 Ada yang berpendapat ini hanya akan melahirkan jati diri belia yang rapuh. Ditambah lagi dengan seribu cabaran persekitaran serta penyakit sosial yang sentiasa mengintai dan mengancam. Kita harus berasa bimbang kerana perangkaan Kementerian Kesihatan pada 2011 menunjukkan terdapat lebih 11 peratus rakyat kita menghadapi masalah mental. Sudah pasti hal yang berkaitan kerjaya dan kos hidup adalah satu daripada punca utama.

Prof Rohani Nasir yang menyediakan Modul Ketahanan Diri Belia yang diterbitkan Institut Pembangunan dan Penyelidikan Belia Malaysia (IPPBM) menyatakan bahawa golongan belia harus diperkuatkan dengan ciri-ciri ketahanan diri agar dapat menghadapi cabaran hidup. Beliau amat yakin golongan belia kita mampu membina benteng ketahanan diri kerana kualiti ini sedia ada dalam masyarakat kita terdahulu.

Masyarakat Malaysia tanpa mengira kaum adalah terbentuk daripada golongan pelayar, peneroka dan petani, pengembara, pedagang serta peniaga. Tidak kurang pula datang daripada kalangan pejuang serta pahlawan. Maknanya, kita perlu mengembalikan semangat dimiliki generasi lalu agar diserapkan ke dalam hati dan sanubari belia kita.

Modul di atas menegaskan bahawa belia harus digilap berdasarkan dua komponen utama iaitu Faktor Pelindung Dalaman dan Faktor Pelindung Luaran. Faktor Pelindung Dalaman merujuk kepada elemen dalaman diri yang digilap sehingga mampu membentuk ketahanan diri seperti berikut;


  • Keperibadian: Belia harus mempunyai keperibadian positif bagi memastikan mereka mampu menguruskan cabaran dan menangani tekanan dalam kehidupan.




  •  Sifat Humor: Individu yang memiliki sifat humor akan mampu untuk tertawa terhadap dirinya sendiri dan ketawa bersama orang lain. Justeru, mereka tidak akan terlalu serius dalam reaksi terhadap sesuatu perkara dan ia akan mampu mengelakkan berlakunya tekanan.




  •  Kemahiran Penyelesaian Masalah: Ia dapat mengelakkan belia terjerumus kepada keputusan yang merosakkan kehidupan.

     Autonomi: Ini membawa kesedaran belia terhadap diri, identiti dan kemampuan untuk bertindak secara berdikari dan kemampuan untuk mengawal persekitaran luaran. Ia akan meningkatkan rasa tanggungjawab dan harga diri. Elemen ini mengelakkan belia daripada sindrom menyalahkan pihak lain atas keputusan diambil kepada dirinya. 




  •  Kawalan Dalaman: Maknanya belia boleh menentukan takdir sendiri. Mereka yakin melalui kerja keras, kemahiran dan latihan, akan mampu mencari peneguhan dan mengelak daripada kegagalan. 




  •  Orientasi Masa Hadapan dan Mempunyai Arah Tuju: Belia yang mempunyai orientasi masa hadapan akan lebih bermotivasi dalam mencapai matlamat hidup. Sudah pasti individu sebegini dilihat sebagai seorang mempunyai potensi dan boleh disandarkan harapan kepadanya.




  •  Optimistik: Belia harus optimistik kerana ia akan melihat dunia secara positif. Segala masalah akan dijadikan cabaran yang mampu mematangkan diri. Belia yang tidak bersikap optimistik akan sentiasa berasa takut dan berfikir mengenai kegagalan. 




  •  Penghargaan Kendiri: Ini diperlukan seseorang belia bagi memastikan mereka sentiasa menghargai setiap usaha yang dilakukan walaupun mungkin hasilnya bukanlah seperti diharapkan. Sifat ini akan meningkatkan semangat bagi belia mencapai kejayaan seterusnya. 




  •  Efikasi Diri: Ini adalah persepsi seseorang belia berhubung kemampuan beliau untuk mencapai matlamat. Individu mempunyai tahap efikasi diri yang tinggi akan mampu melaksanakan tugas serta menangani cabaran dengan sebaiknya. 




  •  Kecekapan dan Kemahiran Sosial: Perlu dikuasai belia kerana akan memastikan mereka mampu menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi dan tekanan khasnya yang membabitkan perhubungan dengan rakan sebaya dan orang dewasa.

    Seterusnya belia mampu menjadi individu berketahanan tinggi apabila dipupuk dengan tiga Faktor Pelindung Luaran iaitu persekitaran yang positif melalui institusi keluarga, sekolah dan komuniti.








  •  Ketiga-tiga institusi ini adalah ruang persekitaran yang amat mempengaruhi jati diri belia. Justeru, ia perlu disediakan dalam suasana positif dan membina. Kita harus menghentikan sikap menuding jari dan meletakkan kesalahan kepada pihak lain setiap kali wujudnya masalah belia atau remaja. Sebaiknya ketiga-tiga institusi ini sentiasa bekerjasama dengan matlamat untuk melahirkan seorang individu belia yang unggul.

    Perjalanan seribu tahun bermula pada langkah yang pertama! Mulakanlah langkah tetapi pendakian ke puncak memang memeritkan. Langkah makin kecil dan tenaga makin berkurang. Hanya insan yang tabah dan istiqamah akan berjaya menjejaki puncak kejayaan.


  •  Mohamed Maliki Mohamed Rapiee Presiden Majlis Belia Malaysia




  • Sumber : Majlis Belia Malaysia
    Share this article

    0 Komen:

    Catat Ulasan

    APA Kata Anda?
    Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

    Nuffnang 3

    MENARIK

    BB Followers

     
    Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
    Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
    back to top