Nuffnang

PEMBERSIHAN : Tun M Tidak Berlengah Lagi


Tun Dr Mahathir Mohamad dengan pantas melaksanakan "langkah-langkah pembersihan" sejak menerajui Pakatan Harapan (PH) mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya Umum pada 9 Mei, dan satu perkara yang pasti ialah beliau tidak akan menyembunyikan apa-apa salah laku dalam pentadbiran yang lalu.

Beliau tanpa melengahkan masa mengambil langkah untuk membetulkan apa yang dianggapnya kepincangan dalam negara, mengadakan sidang media hampir setiap hari yang menceriakan media yang mengambil peluang untuk bertanya apa-apa soalan kepada tokoh yang berjaya memecahkan tembok kekebalan Barisan Nasional (BN).

Tidak dapat dinafikan bahawa Dr Mahathir, yang mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong pada 10 Mei, mempunyai banyak tugas berat untuk dilaksanakan.

Yang pertama ialah membentuk Kabinet yang terbukti lebih rumit daripada yang dijangkakan bagi Pengerusi PH itu. PH terdiri daripada empat parti iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Democratic Action Party (DAP) and Parti Amanah Negara (Amanah).

Dr Mahathir telah menamakan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, sebagai Timbalan Perdana Menteri, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, sebagai Menteri Kewangan, Presiden Amanah, Mohamad Sabu, sebagai Menteri Pertahanan dan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagai Menteri Dalam Negeri.

Di samping itu, Dr Mahathir mengumumkan beliau akan memegang portfolio Menteri Pelajaran sementara Dr Wan Azizah diberi portfolio Menteri Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan. Beliau dijangka menamakan menteri-menteri lain dalam masa terdekat.

Seterusnya, beliau menyasarkan langkah pembersihan kepada pegawai tertinggi kerajaan yang didakwa terlibat dalam isu-isu yang berlaku sebelum pilihan raya umum seperti skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).


Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, ditukar ke Jabatan Perkhidmatan Awam dan kontrak perkhidmatannya dipendekkan.

Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang namanya disebut-sebut dalam skandal 1MDB, dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, disekat daripada meninggalkan negara oleh Jabatan Imigresen.

Polis membuat serbuan ke kediaman peribadi Najib di Kuala Lumpur semasa menjalankan siasatan. Najib dan 1MDB menafikan sebarang salah laku. Dr Mahathir berikrar untuk mendapatkan kembali berbilion-bilion dolar Amerika yang dikatakan dilesapkan dari 1MDB.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir mengarahkan status rahsia laporan audit 1MDB digugurkan pada Selasa, yang bakal mendedahkan pelbagai kepincangan dan salah laku tentang bagaimana dana pelaburan strategik itu diuruskan.

PH memenangi Pilihan Raya Umum ke-14, yang menyaksikan pertandingan paling banyak penjuru dengan memecahkan monopoli kerajaan BN yang telah memerintah negara selama 61 tahun.

Berikutan kekalahan teruk BN, Najib meletakkan jawatan sebagai presiden UMNO dan pengerusi BN tiga hari selepas pilihan raya.

Seperti dijanjikan, PH menunaikan janjinya dengan pengumuman oleh Kementerian Kewangan bahawa Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) diturunkan pada kadar sifar, berkuat kuasa 1 Jun ini.

Satu lagi perkembangan yang signifikan sejak tujuh hari lalu ialah penubuhan Majlis Penasihat untuk menasihati kerajaan berhubung hal ehwal ekonomi dan kewangan negara semasa tempoh peralihan.

Pasukan itu, yang mempunyai tempoh hayat 100 hari, diketuai oleh bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin dan dianggotai oleh bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas presiden dan ketua pegawai eksekutif Petronas Tan Sri Hassan Merican, tokoh perniagaan Robert Kuok dan pakar ekonomi Dr Jomo Kwame Sundaram.

Majlis itu kemudian mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Pembaharuan Institusi yang terdiri daripada lima anggota. Mereka ialah bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk K.C. Vohrah, Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Datuk Mah Weng Kwai, Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan Brig-Jen (B) Datuk Mohamed Arshad Raji, Pensyarah undang-undang dan pemegang Kursi Tunku Abdul Rahman di Universiti Malaya Prof Emiritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi dan Presiden Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan Datuk S. Ambiga.

Satu lagi perkembangan yang ditunggu-tunggu ialah apabila Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan Rabu lalu selepas Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan memberi pengampunan penuh kepada beliau.

Anwar menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas pembebasannya dan juga mengucapkan terima kasih kepada Dr Mahathir kerana mempercepatkan pembebasannya. Anwar menjalani hukuman penjara lima tahun selepas disabitkan kesalahan liwat. Beliau sepatutnya dibebaskan pada 8 Jun.

-- BERNAMA
Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top