Nuffnang

TIDAK BERDISIPLIN : Doktor Pelatih Suarakan Ketidakpuasan


Menjadi pemegang peranan paling bawah biasanya menyukarkan, dan sesetengah doktor pelatih berkata mereka boleh tangani keadaan itu, tetapi tidak tahan bila terus “dibelasah” pegawai atasan mereka.
“Majoriti daripada mereka memang merendahkan kami. Mereka biasanya menjatuhkan maruah kami pada kebanyakan hari, dan paling teruk ialah bila pakar dan konsultan membandingkan anda dengan pelatih pada zaman mereka,” kata seorang doktor pelatih.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa, doktor pelatih menjadi kakitangan kerajaan yang paling banyak diberhentikan.

Ali berkata pelatih dipecat kerana ponteng kerja akibat tidak tahan dengan tekanan berkhidmat di hospital kerajaan dan ada hilang sehingga 400 hari pada satu-satu masa.

Doktor pelatih itu berkata tekanan dialaminya bersama rakan pelatih lain bukan saja kerana dihina daripada penyelia atasan mereka tetapi juga daripada jangkaan yang pelatih perlu berfungsi sama seperti doktor sebenar sebaik saja bertugas.

“Pada hari pertama, ada sesuatu yang dipanggil ‘tagging’, iaitu anda belajar bekerja dengan bekerjasama dengan seseorang lebih senior.

“Di sesetengah tempat anda dipantau, tetapi ada tempat lain anda diharap berfungsi, bekerja dan masih lapor kepada penyelia.

“Kita bercakap tentang hari pertama, dan bila saya kata berfungsi, ia bermakna anda boleh memberikan diagnosis dan mengendalikan pesakit yang ditugaskan kepada anda. Anda perlu tahu bagaimana mengambil darah dan buat perkara lain yang diperlukan, termasuk memberi ubat,” katanya.

Bagaimanapun, seorang lagi doktor pelatih berkata dia tidak perlu membuat keputusan penting bagi menjaga kepentingan pesakit pada hari pertama ketika “tagging”.

“Pada saya, ‘tagging’ asasnya ialah mengikut pelatih senior di wad, tahu kawasan persekitaran dan apa yang sepatutnya anda buat selain mengubah diri menjadi pelatih yang berfungsi sepenuhnya.

“Anda diharapkan untuk belajar bekerja ketika masih ‘tagging’. Saya setuju yang ‘tagging’ menjadi latihan kepada pelatih, tetapi tidak ada latihan seragam atau ‘tagging’ di semua tempat,” katanya.

Katanya, dia tidak pernah berdepan masalah dengan senior, tetapi ada mendengar pengalaman ngeri pelatih lain.

“Pengalaman saya dengan senior agak ok. Tetapi saya ada dengar cerita di mana pelatih dimalukan oleh senior mereka di depan pesakit dan pelawat,” katanya.

Katanya, semua sedia maklum tekanan kerja dalam profesion itu.

“Doktor pelatih hanya perlu belajar tangani tekanan itu. Jadi doktor memang susah, dan jika anda bayangkan ia berjalan lancar, maknanya mental anda belum benar-benar bersedia,” katanya.

Katanya, dia berpendapat lebih bermanfaat jika doktor pelatih dilayan dengan rasa hormat yang lebih baik.

“Apa yang perlu berubah di Malaysia ialah hubungan hierarki antara doktor pelatih dan senior mereka. Saya rasa jika semua orang belajar untuk layan satu sama lain seperti rakan sekerja seperti di Barat, maka kita akan mempunyai suasana tempat kerja yang lebih baik,” katanya.

Menurut laman web Majlis Perubatan Malaysia, tugas doktor pelatih termasuk menguruskan kes dan menjalankan prosedur ringkas di bawah penyeliaan sewajarnya.

Doktor pelatih perlu mengambil dan memeriksa sejarah perubatan pesakit dan mengarahkan serta menjalankan siasatan, bekerja rapat dengan pasukan penjagaan kesihatan lain bagi memastikan pengurusan pesakit efektif, serta mengekalkan perkembangan positif rekod pesakit. - SUMBER
Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top