Blogger Tips and TricksLatest Tips And TricksBlogger Tricks

TERBUKA : Penjawat Awam Perlu Sedia Terima Kritikan - Mahkamah Rayuan


PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa pegawai awam perlu bersikap terbuka terhadap kritikan orang ramai dan oleh itu mereka perlu dihalang daripada menyaman media kerana memfitnah atas kedudukan rasmi masing-masing.

Dalam penghakiman mahkamah itu setebal 31 muka surat, Hakim Tan Sri Idrus Harun berpendapat bahawa Datuk Seri Adnan Yaakob, sebagai Menteri Besar Pahang dan wakil rakyat, tidak mempunyai locus standi untuk menyaman Utusan Melayu (M) Bhd kerana memfitnah atas kedudukan rasmi beliau berhubung satu artikel yang disiarkan syarikat media itu.

Beliau berkata pentadbiran negeri di bawah kepimpinan Adnan perlu menerima dan bersikap terbuka terhadap semua kritikan, komen atau perbincangan orang ramai.

“Dalam masyarakat bebas dan demokratik, adalah bercanggah dengan kepentingan awam sekiranya mereka yang memegang jawatan dalam kerajaan atau bertanggungjawab bagi pentadbiran awam, dibenar mengemukakan saman fitnah kerana ini akan mewujudkan sekatan yang tidak sepatutnya terhadap kebebasan bersuara,” kata Idrus.

Beliau berkata terdapat mekanisme perundangan dan cara secukupnya bagi melindungi Adnan daripada serangan terhadap reputasinya melalui kenyataan jahat atau palsu berkaitan prestasi rasminya.

Idrus berkata Adnan boleh mempertahankan dirinya melalui kata-kata, penjelasan atau penafian awam serta dalam perbahasan di dewan undangan dan beliau juga boleh memberi respons kepada artikel seperti itu melalui sidang media.

“Sebagai sebuah organisasi media arus perdana yang mengamalkan etika medianya sendiri serta prinsip etika khusus dan standard bagi media, adalah menjadi tugas perayu (Utusan Melayu) untuk menyiarkan reaksi atau respons berkenaan agar orang ramai mempunyai akses kepada pemberitaan seimbang dan adil,” kata hakim itu dalam penghakimannya yang dikeluarkan pada 1 Jun.

Pada 1 Mac lepas, panel tiga anggota dipengerusikan Hakim Datuk Rohana Yusuf, Idrus dan Hakim Datuk Mary Lim membenarkan rayuan Utusan Melayu untuk mengetepikan saman fitnah yang difailkan Adnan terhadap syarikat itu berhubung penerbitan satu artikel dalam Mingguan Malaysia bertajuk, ‘Hebat Sangatkah Adnan?’ pada 9 Nov tahun lepas.

Utusan Melayu mengemukakan rayuan itu selepas cubaannya untuk mengetepikan saman berkenaan ditolak Mahkamah Tinggi pada 23 Julai tahun lepas.

Idrus berkata kandungan artikel itu ialah mengenai Adnan sebagai Menteri Besar Pahang, bukan atas kedudukan peribadinya.

Katanya, kritikan yang disiarkan itu adalah semata-mata tentang pentadbiran Adnan dan ditujukan kepada beliau atas kedudukan rasminya.

Menurut beliau, perbuatan seseorang untuk memfitnah pihak berkuasa atau pegawai awam melalui kata-kata atau tulisan yang mengandungi kenyataan palsu, boleh diambil tindakan melalui Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Mahkamah ini berpendapat bahawa mengenakan pendakwaan jenayah bagi kesalahan yang dilakukan mengikut undang-undang itu merupakan langkah lebih wajar untuk menghalang sesuatu artikel berunsur jahat dan memfitnah daripada diterbitkan, kata Idrus.

Beliau berkata pegawai awam boleh mengemukakan saman fitnah atas kedudukan peribadi mereka sekiranya terdapat perkataan atau penerbitan yang secara jahat mencemarkan reputasi atau nama baik mereka secara peribadi.

— BERNAMA
Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Networkedblog

MENARIK

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top