Nuffnang

1MDB : 3 Pembocor Rahsia Dari Bank Negara?


Pengendali portal Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin mendakwa, tiga pegawai kanan Bank Negara Malaysia (BNM) kini sedang disiasat pihak berkuasa kerana disyaki membocorkan maklumat sulit kepada Wall Street Journal (WSJ).

Beliau berkata, laporan telah dibuat terhadap mereka dan kemungkinan besar pegawai kanan terbabit akan menerima nasib yang sama seperti bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid pada 1999.

Raja Petra memberitahu, perbuatan membocorkan maklumat sulit kepada WSJ itu adalah lebih serius daripada skandal yang melibatkan Abdul Murad.

“Pihak berkuasa dipercayai sedang menyiasat sama ada ketiga-tiga pegawai kanan berkenaan cuba mengkhianati kerajaan.

“Perbuatan yang dianggap sebagai sabotaj terhadap kerajaan itu boleh mendatangkan kesan yang buruk kepada negara,” katanya melalui entri bertajuk ‘The Bank Negara Scandal, Yet Again’ hari ini.

WSJ baru-baru ini melaporkan para penyiasat Malaysia didakwa telah mengesan hampir AS$700 juta (RM2.6 bilion) ke dalam apa yang mereka percaya adalah akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sementara itu, pelbagai pihak meminta pihak berkuasa termasuk BNM segera menjalankan siasatan berhubung pendedahan Raja Petra itu.

Pengerusi Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin berkata, dakwaan tersebut bukan sahaja mencemar integriti BNM sebagai pihak berkuasa yang mengawal operasi kesemua bank di negara ini malah turut menjatuhkan imej institusi kewangan negara yang selama ini bersih.

“Jika dakwaan itu benar, ini secara jelas telah melanggar Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA) yang menjamin kerahsiaan setiap maklumat sulit perbankan,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Presiden Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis), Ramlan Abu Bakar meminta BNM menggantung tugas ketiga-tiga pegawai kanan berkenaan bagi memastikan siasatan dalaman dapat dijalankan dengan telus.

“Saya harap mereka digantung tugas sehingga siasatan selesai dan jika didapati bersalah hukuman setimpal perlu dikenakan kerana perbuatan itu sangat berbahaya,” katanya.

Pengerusi Gabungan NGO 1Malaysia (NGO1M), Mohammad Nazlee Aziz Yeop pula menyifatkan perbuatan tersebut sebagai satu pengkhianatan terhadap kepercayaan yang diberikan kerajaan kepada individu-individu berkenaan.

“Mereka adalah pemimpin kanan BNM tetapi sanggup membocorkan maklumat rahsia kepada media antarabangsa menyebabkan isu ini diputar-belit pihak tertentu,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (OMBAK), Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad berharap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut tampil melakukan siasatan. - Utusan
Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top