BUTTERWORTH - Pemimpin Pas Pulau Pinang mendakwa wujud masalah pembangunan di negeri ini dan perlunya platform untuk Majlis Pakatan Rakyat Negeri bersama-sama membincangkan penyelesaian.
Timbalan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, perkara itu dipersetujui secara konsensus dalam mesyuarat yang diadakan pada 3 Oktober lepas, sehari selepas pertemuan dengan Ketua Menteri Lim Guan Eng.
"Kita memperakui bahawa masalah pembangunan di Pulau Pinang, khususnya di bahagian pulau sudah dan sedang ditangani oleh kerajaan negeri walaupun masih ada ruang yang perlu diperbaiki dan Pas bersedia untuk bersama meningkatkan keberkesanannya.
"Mesyuarat juga memperakui Majlis Pakatan Rakyat Negeri tidak bertemu sejak tahun 2009, justeru masalah pentadbiran, parti dan rakyat tidak dapat dibincang secara tuntas demi pembangunan mapan di Pulau Pinang," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Mujahid berkata, isu yang timbul sebelum ini termasuk penggantungan Bendahari Pas Pulau Pinang Iszuree Ibrahim adalah kerana tiada ruang perbincangan atas sebab teknikal seperti kesibukan.
Berikutan tiada platform untuk perbincangan, masalah pembangunan di Pulau Pinang dibangkitkan Iszuree dalam Muktamar Tahunan Pas ke-60 di Batu Pahat, Johor Baharu pada 28 September lepas berhubung isu perumahan serta menyamakan pentadbiran kerajaan DAP negeri dengan Barisan Nasional dalam meneruskan dasar propemaju ketika menguruskan masalah setinggan.
Berikutan itu, Iszuree digantung sebagai Anggota Majlis Majlis Perbandaran Pulau Pinang sehingga mengeruhkan hubungan antara Pas dan DAP di negeri ini.
Mengulas lanjut, Mujahid berkata, keputusan mesyuarat Badan Perhubungan Pas Pulau Pinang berhubung perkara berkenaan dipersetujui selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk suara akar umbi Pas di negeri ini dan rakyat secara keseluruhannya.
"Kami berpendapat dalam isu Iszuree adalah wajar bagi pihak kami mengambil tanggungjawab penuh atas kenyataan yang dibangkitkan beliau dan bersedia untuk membetulkan keadaan," katanya.
Mujahid berkata, Pas Pulau Pinang mengakui bahawa sebahagian ucapan Iszuree telah menimbulkan salah faham ekoran olahan bahasa untuk menjelaskan intipati ucapan dengan niat baik.
"Oleh itu bagi pihak Iszuree, Pas negeri ingin menyatakan kekesalan terhadap salah faham yang timbul akibat daripada kenyataan tersebut," katanya. - Bernama
0 Komen:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....