KUALA LUMPUR, 18 Jan – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
berkata perbincangan soal pembahagian kerusi antara parti komponen
Barisan Nasional (BN) telah hampir selesai dan begitu juga pemilihan
calon-calon di mana sebahagian besarnya telah pun diputuskan di dalam
beberapa siri perbincangan sebelum ini.
Menurut Najib, biarpun begitu namun masih ada beberapa perkara yang
memerlukan penelitian yang lebih mendalam untuk memastikan bahawa
pilihan calon tersebut tepat bukan sahaja dari sudut kebolehan tetapi
juga dari sudut penerimaan rakyat.
“Dalam menghadapi PRU tidak lama lagi, semua parti komponen BN telah
diberikan panduan yang jelas dan kita akan tentukan beberapa perkara
lain seperti manifesto, logistik dan beberapa perkara lain yang
berkaitan dengan persediaan menghadapi PRU ini.
“Manakala tarikh pengumuman calon pula setakat ini kita masih belum
putuskan bila, namun perbincangan serta pandangan tentang perkara
tersebut telah pun ada. Namun kita belum buat keputusan lagi bila masa
yang sesuai untuk membuat pengumuman tersebut,” kata beliau kepada para
pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi BN di PWTC,
Khamis semalam.
Sementara itu, ketika diminta mengulas tentang sokongan rakyat
terhadap BN, beliau berkata bahawa setakat ini banyak petanda bahawa
sokongan rakyat kini bertambah dan lebih positif kepada BN.
“Namun kita sedar dalam masa pilihanraya ini ada banyak faktor yang
boleh mempengaruhi keputusan akhir pilihanraya nanti. Oleh itu, kita
tak mahu bersikap terlalu selesa dan terlalu yakin seolah-olah tidak ada
apa yang boleh menggugat kedudukkan kita.
“Saya berharap agar BN terus menggandakan usaha untuk memastikan
semua urusan yang perlu dilakukan, akan dilakukan dengan sebaik mungkin
dan kita akan terus memberikan semangat serta keyakinan kepada jentera
BN untuk memenangi PRU akan datang ini,” ujarnya.
0 Komen:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....