BARU ini ketika sedang menyelak Bintang Timur, sebuah akhbar terkemuka di utara tanah air lebih 30 tahun lalu, saya terbaca tajuk berita ‘Komunis guna Islam tindas orang2 Islam’. Tindas membawa maksud yang amat luas, bukan sekadar bermakna ‘kekerasan’ perbuatan atau tindakan. Tindas juga membawa maksud menghimpit, menekan atau menghapuskan.
Saya tidak bermaksud mahu mengulas lebih lanjut mengenai makna ‘tindas’ tetapi lebih kepada isi kandungan kenyataan di Bintang Timur itu. Kenyataan itu dibuat oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Shariff Ahmad di Alor Setar pada Ahad, 1 Ogos 1976. Shariff ketika itu berucap di majlis penyampaian ijazah Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia di Kolej Sultan Abdul Hamid.
http://www.utusan.com.my/rencana/agama-bangsa-jadi-alat-8232-8216-tindas-8217-orang-islam-melayu-1.132403
Dalam ucapan itu seperti dilaporkan, timbalan menteri berkenaan berkata: Mereka (komunis) mengguna dan memperalatkan orang-orang yang zahirnya saja Islam untuk memusuhi Islam bagi mencapai tujuan jahat mereka. Perbuatan dan strategi mereka itu tidak nampak jika tidak diteliti dengan sedalam-dalamnya. Apa yang diharapkan kepada ahli-ahli Silat Lincah ialah supaya berjaga-jaga dengan anasir ini kerana mereka mungkin mencari kelemahan-kelemahan kita untuk berpura-pura bersedia menolong dalam sesuatu perkara.
Sebagai contoh, komunis akan mencari jalan supaya timbul dalam pertubuhan ini perasaan curiga dan mencurigai antara satu sama lain untuk mencapai strategi mereka dengan menjatuhkan seseorang. Komunis juga akan menjalan character assignation terhadap sasarannya hingga mencemarkan nama seseorang di kalangan rakan-rakan karib mereka untuk membolehkan penyingkiran berlaku terhadap seseorang.
Komunis akan memberi sebarang pertolongan dan sokongan kepada sesiapa jua yang memerlukan tetapi pada akhirnya pertolongan yang diberi itu akan menghancurkan mereka yang menerima. Peperangan menentang komunis ini amat rumit kerana musuh tersebut melancarkan gerakan bawah tanah dengan menyamar dalam berbagai-bagai bidang masyarakat yang terkadang-kadang tidak munasabah.
Kini di atas kertas, komunis sudah tidak ada. Fahamannya pula bagaimana? Adakah sudah berkubur? Adakah diperjuangkan dalam bentuk lain selain perjuangan bersenjata? Adakah orang Islam dan Melayu sudah terlepas daripada diperalat atau dipergunakan untuk kepentingan pihak tertentu selepas komunis? Seperti ingatan yang dibuat itu, komunis menyusun strategi yang sukar dilihat secara mata kasar. Maka nasihat seumpama itu masih terpakai dan perlu menjadi ingatan kepada masyarakat Melayu Islam.
Sebelum ini ada pihak yang cuba ‘menghidupkan semula komunis’ dengan sasaran mahu merombak sejarah lampau komunis. Ada juga pihak yang mahu pengktirafan diberi kepada perjuangan komunis. Siapakah mereka? Adakah orang Melayu Islam? Sejarah tidak pernah menipu. Jika kita cetek sejarah, adakah sesuatu yang sudah menjadi sejarah itu harus ‘ditulis’ semula?
Orang Islam dan Melayu tidak boleh alpa dengan kemungkinan wujudnya fahaman tersebut yang mahu `menindas’ orang Melayu Islam. Mereka berhadapan dengan cabaran kemungkinan ‘ditindas’ melalui gerakan yang menggunakan bangsa dan agama untuk menghancurkan sesama sendiri. Lihat sahaja gerakan militan negara Islam (IS) yang menggunakan umat Islam untuk memusuhi orang Islam sehingga sanggup membunuh sesama agama. Lihatlah di beberapa negara Islam, umatnya bersengketa. Akibat fahaman atau aliran yang berbeza, umat Islam bermusuhan. Adakah peranan yang dimainkan oleh komunis pada masa lalu terus meresap sehingga sekarang?
Tidak mustahil musuh Islam dan Melayu sedang menunggu dengan penuh minat untuk melihat perpecahan umat Islam sama ada orang Melayu atau Arab. Ingatlah hadis yang diriwayatkan daripada Thauban RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Setelah aku wafat, setelah lama aku tinggalkan, umat Islam akan lemah. Di atas kelemahan itu, orang kafir akan menindas mereka bagai orang yang menghadapi piring dan mengajak orang lain makan bersama.
Para sahabat pun bertanya: Apakah ketika itu umat Islam telah lemah dan musuh sangat kuat?
Sabda Baginda SAW: Bahkan masa itu mereka lebih ramai tetapi tidak berguna, tidak bererti dan tidak menakutkan musuh. Mereka adalah ibarat buih di laut.
Sahabat bertanya lagi: Mengapa seramai itu tetapi seperti buih di laut?
Jawab Rasulullah SAW: Kerana ada dua penyakit, iaitu mereka ditimpa penyakit al - Wahn.
Sahabat bertanya lagi, Apakah itu al-Wahn?
Rasulullah SAW bersabda: Cintakan dunia dan takut akan kematian.
Di negara kita, akibat pertelagahan dalaman parti, perebutan kuasa, perbezaan pendapat dan perasaan tidak puas hati, orang Melayu Islam berpecah. Selak kembali bagaimana perpecahan UMNO yang melahirkan Parti Negara, Kelahiran Pas juga dikaitkan dengan UMNO. Perebutan kuasa di dalam UMNO juga melahirkan Semangat 46. Begitu juga dengan perpecahan dalaman Pas yang melahirkan Berjasa, Hamim dan kini Gerakan Harapan Baru (GHB) yang akan didaftarkan sebagai Parti Amanah Negara (Amanah). Siapakah yang akan ‘melompat’ kegembiraan dengan perpecahan yang menjadikan Melayu Islam semakin mengecil?
Tanpa disedari di sekeliling orang Melayu Islam lebih banyak musuh. Jika bersahabat pun, umpama ada udang di sebalik batu. Mereka bukan komunis tetapi mungkin menjadi musuh dalam selimut, musang berbulu ayam, gunting dalam lipatan atau api dalam sekam. Apa yang membimbangkan, mereka ini menggunakan agama untuk mencapai matlamat sama ada dalam bidang ekonomi, politik dan sosial.
Kelmarin Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor mendedahkan terdapat kumpulan yang mengaku sebagai tabligh bergerak aktif di Putrajaya meminta alamat penduduk untuk pendaftaran pengundi. Kumpulan tabligh wanita itu bukan membawa ajaran Islam, tetapi meminta kebenaran supaya alamat rumah dapat digunakan oleh orang luar untuk menjadi pengundi di Putrajaya.
Kumpulan ini turut menyebarkan dakyah dan fitnah terhadap kepemimpinan negara. Siapakah kepemimpinan negara itu? Tentunya orang Melayu Islam. Siapa pula kumpulan yang didakwa sebagai ‘tabligh’ itu? Pastinya orang Melayu Islam. Adakah kumpulan ini juga menjadi alat politik? Ingatlah, selagi ada kesempatan, musuh Melayu Islam akan terus menggunakan bangsa dan agama. Pada mata kasar mungkin nampak elok. Berhati-hatilah kerana musuh akan ‘menyerang’ dari pelbagai sudut sama ada agama, ekonomi, politik dan sosial. Mereka akan meracuni pemikiran anak-anak muda untuk membenci sesama sendiri.
Kesan akibat keputusan atau tindakan yang kita ambil pada hari ini tidak akan dirasai dalam tempoh terdekat tetapi mungkin 30 tahun lagi. Insaflah, hasil kemerdekaan yang dinikmati kini dapat dirasai oleh anak serta cucu cicit pejuang terdahulu. Kita yang masih hidup ini adalah kumpulan yang sedang menikmati hasil kemerdekaan itu. Apakah yang akan dirasai oleh cucu cicit Islam dan Melayu dalam tempoh 30 tahun lagi? Bagi kita yang masih bernafas pada hari ini harus bersyukur kerana dapat merasai satu suasana yang baik pada hari ini. Jika ada kekurangan atau kepincangan sekali pun, janganlah kerana seekor kerbau membawa lumpur habis semua terpalit. Jangan marahkan nyamuk kelambu dibakar!
- SUMBER
0 Komen:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....