Nuffnang

KERAJAAN CARETAKER : Antara Mitos Dan Fakta


SEBAIK sahaja Parlimen dibu­barkan Sabtu 7 April kelmarin, adakah kerajaan (pe­ngawalan) sementara atau caretaker government yang wujud termasuklah dalam tempoh kempen pilihan raya umum sehinggalah pembentukan Kabinet yang baharu itu ‘tidak bergigi untuk mengu­nyah atau tiada taring untuk me­nggigit’?

Pada 1970-an, sifat dan elemen kerajaan sementara pernah dipersoalkan oleh satu pihak di mahkamah.

Ketika itu, tindakan menteri berkenaan, Tengku Razaleigh Hamzah dipersoalkan kerana mengumumkan satu bantuan untuk rakyat semasa Parlimen telah dibubarkan untuk menghadapi pilihan raya umum.

Keputusan mahkamah ba­gaimanapun akhirnya memutuskan bahawa kerajaan sementara masih berhak memberikan bantuan kepada rakyat semasa tempoh Parlimen bubar asalkan ia tidak melibatkan kepentingan peribadi calon pilihan raya.

Dengan ini juga bermakna semua menteri dan timbalan menteri semasa tempoh kerajaan sementara masih boleh menggunakan peruntukan untuk rakyat.

Antaranya seperti memberi bantuan kewangan untuk membaiki jambatan usang, baik pulih sekolah daif dan memberi sumbangan kepada mangsa banjir, cuma asalkan jangan dikaitkan dengan undilah saya, demikian kata pakar Perlembagaan Persekutuan, Tan Sri Dr. Rais Yatim kepada akhbar ini dalam satu temu bual sebelum ini.

Menurut Rais, fungsi kerajaan sementara berlaku selepas Parlimen dibubarkan yang urusan itu ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong serta diuruskan oleh Jabatan Perdana Menteri.

Maka, apa yang wujud dalam struktur kerajaan ialah kerajaan se­mentara yang semata-mata men­tadbir negara mengikut lunas-lu­nas Perlembagaan. Namun ia bukan bermakna kerajaan sebe­lumnya tidak berkuasa. Cuma, yang lupus hanyalah amalan di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Juga hak lupus yang kerajaan sebelumnya tidak boleh laksanakan ialah meluluskan peruntukan undang-undang dan dasar baru menerusi kuasa Parlimen.

Peruntukan undang-undang menerusi Parlimen baharu tidak boleh dibuat. Namun begitu, kuasa-kuasa di bawah semua undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen sebelum bubar boleh dilaksanakan terus oleh kerajaan sementara.

Satu lagi aspek kerajaan sementara, kata Rais, ialah ia membawa pengertian mengambil alih kerja-kerja pentadbiran. Ia selaras dengan amalan berkerajaan dunia dan Komanwel semasa Parlimen dibubarkan sehingga Dewan Parlimen baru diwujudkan semula, maka kerajaan sementara itu hendaklah secara berhati-hati menjalankan tugasnya. Ini bermakna secara minimum kerajaan sementara menyudahkan sahaja kerja-kerja pentadbiran yang dilaksanakan.

Namun, sekiranya muncul sebarang peristiwa yang memerlukan tindakan tegas misalnya yang menghendaki Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan tugas penguatkuasaan undang-undang, maka perkara itu masih boleh diteruskan oleh kerajaan sementara. Ia bukan bermakna kuasa itu dihentikan.

Hakikatnya dalam semua amalan Komanwel yang berasaskan undang-undang Common Law dan amalan berkerajaan berparlimen dunia, Malaysia sebenarnya telah lama menghormati amalan itu sejak merdeka.

Dalam aspek ini, kata Rais lagi, jika Perdana Menteri berdepan de­ngan sesuatu darurat, beliau sebenarnya masih boleh menggunakan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dengan menasihati Yang di-Pertuan Agong sewajarnya serta melaksanakan apa juga tugas sedia ada di bawah undang-undang.

Antaranya, Perdana Menteri masih boleh memberi arahan se­dia ada, cuma untuk memper­kenalkan undang-undang yang memerlukan kelulusan Parlimen sahaja tidak boleh.

Rais bagaimanapun mengakui Perlembagaan Malaysia tidak memperuntukkan kewujudan sifat kerajaan sementara. Ini kerana ia merupakan satu Konvensyen Berparlimen yang telah menjadi amalan dan adat negara-negara di dunia.

Masih boleh pihak tertentu mempertikaikan kewujudan ke­rajaan sementara ini, namun konvensyen berkerajaan dunia ini menjadi terasnya (untuk dikekalkan), kata beliau.

Dalam hal ini, umum tentunya masih mengingati pertikaian me­ngenai sifat kerajaan sementara ini yang pernah menarik perhatian ramai pada persidangan Dewan Rak­yat 1999 selepas Barisan Nasional (BN) meraih semula majoriti dua pertiga pada pilihan raya umum 29 November tahun tersebut.

Ini berlaku setelah Yang di-Pertuan Agong mengeluarkan notis memanggil mesyuarat pada 13 Di­sember tahun itu iaitu dua hari sebelum Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad (kini Tun) membentuk kabinet.

Semasa itu, kesemua 43 ahli Parlimen pembangkang yang ha­dir bertindak keluar dari Dewan Rakyat sebagai membantah notis mesyuarat tersebut kerana mendakwa ia dikeluarkan secara tidak sah kerana ketika itu Kabinet baru belum dibentuk.

Namun, beberapa pengamal undang-undang berpendapat keputusan kerajaan memanggil persidangan Dewan Rakyat sebelum pembentukan Kabinet itu tidak melanggar aturan urusan mesyua­rat atau mencabuli Perlembagaan negara.

Tindakan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengeluar­kan notis memanggil mesyua­ra­­t Parlimen, menurut mereka, adalah perkara biasa, yang boleh dilakukan oleh Perdana Menteri mewujudkan sebuah kerajaan sementara.

Konsep kerajaan sementara ini secara umumnya dipraktikkan di semua negara Komanwel dan Amerika Syarikat.

Negara-negara yang mempraktikkan undang-undang sivil seperti Eropah amat mengagumi dan menghormati sifat kerajaan sementara ini dengan tidak mengaitkannya dengan sebarang kepentingan politik dan peribadi.- SUMBER



KENYATAAN MEDIA TAN SRI KSN
Perlembagaan Persekutuan Perkara 40 menyatakan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong hendaklah bertindak atas nasihat Jemaah Menteri atau Menteri yang diberikan kuasa am oleh Jemaah Menteri. Oleh yang demikian, Jemaah Menteri yang sedia ada merupakan Kerajaan Caretaker bermula dari masa pembubaran Parlimen sehingga Jemaah Menteri baharu dilantik selepas pilihan raya umum atau Parlimen bersidang semula selepas pilihan raya umum mengikut mana yang lebih awal.
Konsep Kerajaan Caretaker ini adalah suatu konvensyen perlembagaan (constitutional convention) yang turut diamalkan di Negara Komanwel seperti United Kingdom dan Australia yang mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen. Dalam kes Abdul Ghani Ali lawan Pendakwaraya, Mahkamah Persekutuan turut mengiktiraf bahawa Jemaah Menteri hendaklah ada pada setiap masa untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong walaupun selepas Parlimen dibubarkan, selaras dengan peruntukan Perkara 43(1) Perlembagaan Persekutuan.
Kerajaan Caretaker boleh membuat tindakan-tindakan bagi maksud menjalankan urusan pentadbiran Kerajaan sehingga suatu Kerajaan baharu dibentuk. Antara contoh perkara pentadbiran tersebut ialah seperti meneruskan pelaksanaan dasar sedia ada dan mengadakan majlis rasmi kerajaan.
Tan Sri Dr. Ali Hamsa
Ketua Setiausaha Negara
Share this article

0 Komen:

Catat Komen

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top