Dua waris penyimpan relik atau barangan peribadi peninggalan Nabi Muhammad SAW bersetuju menghadiahkan sehelai rambut baginda kepada Malaysia sebagai hadiah serta lambang sebuah negara Islam yang progresif.
Menurut Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, dua waris keturunan Arab Al Ansar Madinah itu, Dr. Sheikh Ahmad Al Khazraji dan Sheikh Muhammed Al Khazraji menghadiahkan sehelai rambut Rasulullah untuk dipamerkan di negara ini.
“Rambut baginda itu sebagai hadiah kepada umat Islam di negara ini dan ia akan disimpan serta dipamerkan di Muzium Diraja, Jalan Istana, Kuala Lumpur pada setiap hari sepanjang tahun,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Pameran Menghayati Rasulullah yang akan diadakan secara percuma di Muzium Diraja mulai 30 Julai hingga 9 Ogos ini.
Dalam pameran itu, sebanyak 20 hingga 27 relik atau barangan peribadi Rasulullah dan sahabat baginda akan dipamerkan.
“Selain pengunjung tempatan, pameran barangan yang dipinjamkan secara percuma itu juga akan menarik pengunjung dari Brunei, Singapura, Indonesia, Thailand dan India.
“Pameran itu pertama kali diadakan di Asia Tenggara dan rantau Pasifik. Ia akan menjadi acara rasmi yang diiktiraf oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan,” ujarnya.
Selain rambut, turut akan dipamerkan pada pameran itu adalah helaian janggut, kesan tapak kaki, kain dan jubah baginda.
- SUMBER
0 Komen:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....