Nuffnang

BERITA MENYEDIHKAN BUAT AHLI PAS!!!



Soalan sebenar selepas berakhirnya Muktamar Tahunan PAS Ke-60 yang penuh hangat semalam bukan mengenai hala tuju parti itu, tetapi tindakan yang akan diambil ahli progresif dan liberal selepas ini.

Apakah mereka yang tidak setuju dengan cara Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang konservatif itu akan terus berdiam diri atas nama wala' dan taat kepada pemimpin, atau mengambil sesuatu tindakan.

Berbeza dengan kebiasaan pemimpin tertinggi parti melafazkan ikrar perpaduan dan kesatuan pada penutup persidangan, Hadi pada hari terakhir muktamar melontarkan cabaran kepada mereka yang tidak bersetuju dengan pendekatan beliau agar meninggalkan parti itu.


"Dalam jamaah (parti) hanya ada satu imam. Kalau nak jadi imam juga, cari tanah lain dan buat masjid lain," katanya ketika memberikan ucapan penggulungan semasa muktamar di Batu Pahat, Johor semalam.

Ucapan itu adalah yang paling ketara menunjukkan sikap beliau terhadap pihak yang berbeza pendapat dengannya.


Sikap Hadi ini sangat berbeza dengan pimpinan PAS yang lain, termasuk pimpinan PAS sebelum ini.

Bekas presiden, Allahyarham Datuk Fadzil Noor dalam usaha menyatukan dua kumpulan besar dalam PAS mengambil pendekatan memprofesionalkan ulama dan mengulamakan profesional.

Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali sewaktu penggulungan muktamar semalam berkata, PAS tanpa ulama buta, tanpa profesional tempang.

Ucapan penutup lazimnya digunakan oleh pimpinan PAS untuk menyatukan perbezaan pendapat dalam parti, tetapi Hadi pula mengambil sikap "menghalau" mereka yang tidak bersetuju dengannya.

Awal bulan ini, ketika berdialog dengan penyokongnya di Terengganu, Hadi juga membuat ungkapan hampir sama ketika ditanya mengenai badan bukan kerajaan (NGO) baru, PasMa.


"Penubuhan parti baru, ini perkara biasa dalam negara demokrasi berparlimen, siapa-siapa yang nak tubuh parti, sila tubuh.

"Jadi mereka yang berlainan pendapat dalam PAS ni, dia nak tubuh parti, sila. Baik dia keluar, dia tubuh parti sendiri, senang tak payah duduk dalam," katanya dalam satu sesi penjelasan isu semasa di Rusila, Marang.


Sejak kebuntuan kes menteri besar Selangor, para pemimpin dalam Jawatankuasa PAS Pusat banyak berbeza pendapat dengan Hadi.

Ia bermula apabila presiden parti Islam itu mengumumkan sokongan kepada Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai MB Selangor, selepas PKR dan DAP memutuskan menyingkir Khalid dan menggantikannya dengan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pada waktu itu, sokongan yang dibuat Hadi terhadap Khalid sebelum mesyuarat yang dijadualkan pada 17 Ogos mengejutkan ramai pemimpin PAS.

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar kemudiannya berkata, ia adalah pandangan peribadi Hadi kerana keputusan rasmi belum dibuat.

Ekoran itu, para penyokong Hadi terus menerus menyerang mereka dan memomokkan mereka sebagai tidak wala' dan taat kepada presiden sehinggalah ke muktamar tiga hari yang berlangsung di Batu Pahat, Johor.

Dalam muktamar kali ini, sekurang-kurangnya tiga kejadian besar menjadi bukti perkara ini.

Pertama, peristiwa 50 perwakilan Pemuda PAS yang memakai jaket "Kami sokong presiden dan Majlis Syura" meninggalkan dewan ketika Mat Sabu memulakan ucapan perasmian muktamar sayap itu.

Kedua, perwakilan Wilayah Persekutuan Dr Azhar Yaakub berdoa sambil melaknat mereka yang tidak wala' dan tidak taat kepada Hadi.

Ketiga, ketika Pengerusi Lujnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS (Luham), Mohamed Hanipa Maidin berkata PAS perlu menolak jika dilantik sebagai menteri besar Selangor, beliau dicemuh dengan seruan "boo" oleh pengikut fanatik Hadi.

Sesuatu yang di luar dugaan apabila beliau dicemuh kerana yang diperkatakannya ialah keputusan mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat.

Ketiga-tiga peristiwa ini menjadi titik hitam dalam muktamar itu.


Ke mana hala tuju PAS selepas ini?


Ramai berpendapat cara Hadi memberi ucapan penutup di muktamar itu menunjukkan PAS sedang merancang satu tindakan yang lebih besar dalam hubungannya dengan Pakatan Rakyat selepas ini.

Namun, mereka tidak mahu membuat demikian dalam muktamar.

Ini dibayangkan melalui ucapan penutup beliau dan ucapan Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din semasa merasmikan Muktamar Dewan Ulama.

Haron ketika itu berkata tahaluf siyasi dengan Pakatan ada syaratnya. Jika syarat itu dilanggar, ia perlu dikaji semula.

Namun, ketika muktamar panas pada hari kedua sidang, Haron bangkit dan memberi arahan agar tidak dibincangkan lagi soal perbezaan antara presiden dengan pucuk pimpinan PAS yang lain.


"Tindakan besar mahu diambil tetapi tidak mahu dibincangkan dalam muktamar.

"Sebab itu semua usul berkaitan dengan kedudukan PAS dalam Pakatan dan isu menteri besar Selangor tidak dibahaskan," kata seorang pemimpin PAS yang tidak mahu dinamakan.

Persoalannya kini, apakah ahli parti yang tergolong dalam kumpulan liberal dan progresif, dan tidak bersetuju dengan Hadi akan terus wala' dan taat kepada beliau?


Kumpulan yang fanatik ulama jelas mengambil sikap 'mahu membunuh' semua yang berbeza pendapat dengan mereka. Ini diperlihatkan melalui lamanFacebook El-Haraki, yang digunakan sepenuhnya untuk menyerang lawannya dalam PAS.

Sebab itulah apabila timbul sahaja isu PasMa, El-Haraki membariskan semua yang dianggap berbeza pendapat dengan Hadi, memegang jawatan dalam NGO baru yang dituduh berhasrat menubuhkan parti politik baru ini.


Kini semua menunggu dengan penuh debaran, apakah sikap yang akan diambil oleh mereka? Berdiam diri dengan wala' dan taat sehingga mereka 'dipenggal' dalam muktamar tahun depan atau bertindak dari sekarang?

Semua mata tertumpu kepada kumpulan yang dilabelkan sebagai Erdogan, progresif atau profesional ini. ~malaysian insider
Share this article

1 Komen:

  1. Pedulikan la....lebih baik cari jalan utk mantapkan UMNO/BN....UMNO perlu lebih muhasabah diri....penerapan nilai2 Islam perlu dipertingkat dan diperteguh....pemimpin2 UMNO perlu menjadi contoh terbaik keperibadian Islam dan kesahsiahan Melayu

    Agak pelik dan meluat bila baca Utusan Malaysia....sentiasa memaparkan berita ttg puak2 PR....siap highlight lagi.....UM tanpa sedar telah mengundang lebih kebencian golongan dari puak PR yg mungkin ingin berpaling arah menyertai BN.....kena fikir juga gen muda dan golongan atas pagar....UM mesti menjadi wadah penyampai dan penyantun politik yg boleh menarik minat rakyat menyokong BN lebih jitu

    BalasPadam

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top