Nuffnang

HUDUD : PAS Bakal Keluar Pakatan!!!




Apalah guna "pakatan" kalau keputusan tidak seiringan? Apa guna "kerjasama" andai tindakan tidak bersama? Apalah guna bersandiwara andai hasrat dan matlamat telah diketahui semua?

Dalam perkembangan terbaru, Kerajaan Pas Kelantan tetap akan membentangkan rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat bagi membolehkan hukum hudud dilaksanakan di negeri itu biarpun menerima tentangan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pakatan pembangkang.




Pendirian tegas itu dinyatakan Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah yang turut memberi gambaran jelas bahawa Kerajaan Pas Kelantan tidak akan sekali-kali berganjak daripada keputusan tersebut yang sememangnya menjadi perjuangan sejak dahulu.

Tegas beliau, keputusan melaksanakan hukum hudud di Kelantan tidak akan berganjak walaupun mendapat bantahan daripada sekutu mereka sendiri. Malah katanya, pendirian Pas untuk melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 di Kelantan itu telah diluluskan di peringkat negeri sejak dahulu lagi sebelum pakatan pembangkang wujud.

“Perkara itu (hudud) tidak ada kena mengena dengan pihak lain (DAP dan PKR) kerana ia akan dilaksanakan di Kelantan dan langsung tidak menyentuh kebebasan bukan Islam.

“Tiada pihak yang perlu bimbang. Undang-undang ini hanya untuk umat Islam,” katanya.




Baru-baru ini DAP dan PKR menerusi Ketua Publisitinya, Tony Pua dan Naib Presiden, N. Surendran memberi peringatan keras kepada Pas bahawa hudud tidak pernah menjadi kesepakatan dalam pembangkang dan cubaan membentang rang undang-undang itu akan ditentang.

Pendirian itu bagaimanapun mendapat bantahan Pas, apabila Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud dengan tegasnya menyifatkan PKR dan DAP tidak berhak menghalang hasrat parti itu untuk membentangkan usul rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat.

Sebaliknya kata Mohd. Nassuruddin, kedua-dua parti tersebut sepatutnya menyedari pelaksanaan hudud adalah hak orang Islam yang tidak wajar dicampuri pihak lain terutamanya bukan Islam.




Sebelum itu, Kerajaan Pas Kelantan melalui Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Yakob mengumumkan keputusan untuk membawa usul rang undang-undang persendirian dalam sidang Dewan Rakyat akan datang bagi melaksanakan hukum hudud di negeri itu menjelang 2015.

Keputusan tersebut susulan kesediaan Kerajaan Persekutuan memberi laluan kepada mana-mana kerajaan negeri bagi menguatkuasakan hukum hudud di negeri masing-masing.

Sementara itu, tambah Mohd. Amar yang juga merupakan Pengerusi Jawatakuasa Teknikal Kanun Jenayah Syariah (2) 1993, Malaysia adalah sebuah negara yang demokrasi dan pendirian Pas itu sepatutnya tidak menimbulkan sebarang masalah.

“Kalau semua pihak boleh hormat demokrasi ia (hudud) tidak akan menjadi masalah,” katanya.

Apabila ahli parlimen Umno, Tan Sri Annuar Musa menyatakan sokongannya terhadap hukum hudud PAS, maka isu ini kembali hangat semula. Seperti biasa bekas Pengerusi DAP, Karpal Singh bertegas tidak setuju dengan hasrat PAS.

Jika rang undang-undang ini dibentangkan di Dewan Rakyat, adakah PAS akan disingkirkan dari Pakatan Rakyat? Pakatan Rakyat tidak didaftarkan seperti Barisan Nasional (BN). Oleh itu mungkin Pakatan Rakyat meminta PAS keluar dari pakatan mereka kerana PAS tidak boleh dipecat dari Pakatan Rakyat kerana ia bukan badan berdaftar seperti BN.

Penyingkiran PAS ini yang dinanti-nantikan oleh Umno kerana selama ini Umno mahu PAS bekerja sama dengan mereka. Sebab itu walaupun PAS kalah di Kelantan, tetapi Umno tetap memberikan universiti dan lebuhraya Kota Bharu-Kuala Kerai kepada rakyat Kelantan. Umno berharap sumbangan kerajaan persekutuan ini dapat menarik semula PAS untuk menyertai BN semula.

Seperti kata ahli majlis tertinggi Umno, Datuk Razali Ibrahim, PAS memerlukan 40 orang ahli parlimen bukan Islam untuk mendapatkan kelulusan hukum hudud di Dewan Rakyat. Jika ahli parlimen PKR Islam mengundi pun, sudah tentu sukar rang undang-undang ini diluluskan.

Malah ahli parlimen bukan Islam dalam BN seperti MCA, MIC, Gerakan, PBS, PBB sudah tentu tidak akan mengundi rang undang-undang ini. Justru itu ke mana PAS selepas rang undang-undang persendirian ini dibentangkan di Dewan Rakyat menarik perhatian kita. Adakah PAS akan berjuang secara solo atau akan menyertai BN?
Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top