Nuffnang

BLACK HAWK DOWN : Akhirnya Amerika Akui Selepas 20 Tahun!!!




PORT DICKSON — Amerika Syarikat (AS) akhirnya menyatakan penghargaan terhadap pengorbanan dan sumbangan tentera pengaman Malaysia yang terbabit dalam misi menyelamatkan anggota tentera kuasa besar dunia itu di Mogadishu, Somalia pada 3 Okt 1993.

Penghargaan dan ucapan terima kasih itu diutarakan oleh Pemangku Penolong Setiausaha Negara bagi Biro Hal Ehwal Politik Tentera AS, Tom Kelly hari ini setelah lebih 20 tahun kejadian itu berlaku.

Katanya, tentera pengaman Malaysia yang terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menyertai operasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Somalia ketika itu telah membuktikan keberanian dan kehebatan mereka dalam menjalankan tugas.

“Dalam operasi keamanan global, kami sentiasa mengagumi peranan pasukan pengaman Malaysia, dan kami juga mendapat manfaat daripada keberanian dan keperwiraan anggota pasukan pengaman Malaysia.

“Dan seorang anggota pengaman Malaysia terkorban dalam usaha menyelamatkan tentera Amerika di Mogadishu, 20 tahun lepas,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan pengiktirafan ‘Full Training Capability’ dan pelancaran pelan induk Pusat Latihan Pengaman Malaysia, di sini hari ini.

Turut hadir Panglima ATM Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.




Dalam kejadian 20 tahun lalu, sekumpulan askar AS terperangkap di kawasan musuh iaitu tentera militan Somalia selepas dua helikopter Black Hawk mereka ditembak jatuh di bandar Mogadishu.

Pasukan pengaman Malaysia bersama pasukan pengaman Pakistan dan AS yang menyertai operasi UNOSOM II di bawah PBB kemudian ditugaskan menyelamatkan kumpulan askar terbabit.

Operasi menyelamat tersebut akhirnya berjaya bagaimanapun seorang tentera pengaman Malaysia terbunuh sementara lapan lagi mengalami kecederaan.

Biar pun sudah 20 tahun berlalu, tiada penghargaan rasmi diberikan oleh pihak AS terhadap pasukan pengaman Malaysia yang telah menyelamatkan tentera mereka dan langsung ‘dilupakan’ dalam sebarang babak dalam filem ‘Black Hawk Down’ arahan pengarah Ridley Scott pada 2001 yang kononnya memaparkan kisah benar kejadian itu.

Kelly berkata, pasukan pengaman Malaysia kini sudah menerajui di peringkat rantau ini dan global dan dengan kewujudan Pusat Latihan Pengaman Malaysia, di sini membuktikan Malaysia mempunyai pasukan pengaman yang terbaik.

“Saya fikir semua rakyat Malaysia harus berbangga dengan apa yang telah dicapai pasukan pertahanan Malaysia,” katanya. - BERNAMA
Share this article

1 Komen:

  1. Ok la tu. Walaupun 20 tahun terlambat, lebih baik dari tiada terus.
    Sekurang-kurangnya Amerika Syarikat MENGHARGAI pengorbanan anggota2 tentera Malaysia.

    Yang pembangkang2 khinzir yang menetap di Malaysia pulak menghina anggota2 tentera Malaysia yang gugur di Lahad Datu dengan mengatakan itu semua sandiwara Barisan Nasional untuk memancing undi,

    Kami dapat lihat di sini siapa musuh di dalam selimut di Malaysia tanah bertuah ni.

    BalasPadam

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top