Beberapa pertubuhan dari penggiat seni tanah air menyokong cadangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) supaya nyanyian lagu Negaraku di pawagam tanah air dilanjutkan sehingga 16 September sempena Hari Malaysia.
Langkah itu dianggap mampu menaikkan semangat patriotik masyarakat berbilang kaum serta tanda penghargaan ke atas perjuangan mencapai kemerdekaan.
Seniman veteran, Datuk Mustapha Maarof berkata, nyanyian lagu Negaraku harus dijadikan amalan supaya masyarakat mencintai tanah air sendiri.
“Dari kecil saya sudah merasai pengalaman menyanyikan lagu God Safe The Queen sebelum filem ditayangkan di pawagam pada zaman pemerintahan British. Begitu juga ketika penjajahan Jepun yang mana semua orang harus menyanyikan lagu Aikoku Koushin di pawagam.
“Kenapa hari ini baru ingin kita bersuara selepas negara menyambut kemerdekaan ke-56 untuk lagu Negaraku dimainkan di pawagam. Saya menyokong 100 peratus jika kerajaan ingin melaksanakannya.
“Saya fikir belum terlambat dan jika boleh, lagu itu dimainkan bukan saja untuk musim kemerdekaan, tetapi dapat dilaksanakan berterusan,” katanya ketika dihubungi HIP.
Semai semangat patriotisme
Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia, Jurey Latiff Rosli, berkata masyarakat harus diserapkan semangat patriotisme melalui medium sasaran.
“Pawagam adalah medium popular dan paling berkesan untuk menyerapkan nilai patriotisme dalam masyarakat terutama remaja. Usaha kerajaan untuk memainkan lagu Negaraku di seluruh pawagam disokong sepenuhnya.
“Saya menimba pengalaman di Thailand yang mana sebelum tayangan filem, semua penonton perlu bangun menandakan hormat kepada nyanyian lagu kebangsaan mereka.
“Begitulah yang sepatutnya diamalkan di Malaysia. Setidak-tidaknya, masyarakat kita lebih menghargai pengorbanan pejuang dan menaikkan semangat menjaga tanah air. Selain itu, rakyat asing akan menghormati amalan kita serta mengiktiraf kemerdekaan negara,” katanya.
Setiausaha Kehormat Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Norman Abdul Halim berkata, semangat patriotisme perlu diserap dalam diri rakyat setiap masa, bukan pada bulan kemerdekaan saja.
“Secara peribadi saya menyokong lagu Negaraku dimainkan berterusan di pawagam. Lebih-lebih lagi apabila timbul pelbagai isu yang boleh meruntuhkan keharmonian masyarakat.
“Saya melihat di semua majlis keraian termasuk bidang sukan, lagu Negaraku perlu dinyanyikan. Kita boleh buat tempoh percubaan sehingga 16 September depan sebelum diteruskan sampai bila-bila,” katanya.
0 Komen:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....