Nuffnang

RCI FOREX : Keputusan Mahkamah Tamparan Buat Mahathir!!!


Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini gagal dalam rayuannya mencabar pelantikan pengerusi dan seorang anggota Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing dialami Bank Negara pada 1990-an.

Panel 3 anggota Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh menolak rayuan Dr Mahathir terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang tidak membenarkan permohonan beliau mendapatkan semakan kehakiman bagi menolak keputusan RCI mengetepikan permohonannya membatalkan pelantikan pengerusi RCI Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan seorang daripada anggotanya Tan Sri Saw Choo Boon.

Mohd Zawawi yang mempengerusikan rayuan itu bersama-sama Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil berkata, mahkamah berpendapat terdapat beberapa kekangan dan halangan dari segi undang-undang sekiranya panel itu membenarkan rayuan tersebut.

“Kami sebulat suara memutuskan rayuan berkenaan tidak mempunyai merit dan oleh itu menolaknya,” kata Mohd Zawawi serta memerintahkan Dr Mahathir membayar kos RM10,000 kepada kerajaan.

Terdahulu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Dr Mahathir, dalam hujahnya berkata kes berkenaan boleh dibuat penghujahan, oleh itu perlu diberi perbicaran penuh secara semakan kehakiman.

Beliau berkata permohonan itu mengikut batas undang-undang dan oleh demikian, rayuan mendapatkan semakan kehakiman wajar dibenarkan.

Bagaimanapun, peguam kanan persekutuan Alice Loke dalam hujahnya berkata permohonan Dr Mahathir itu hanya bersifat akademik memandangkan RCI telah selesai membuat laporannya serta dibentangkan di Parlimen.

“Dalam kes ini, memandangkan kedua-dua mereka (pengerusi dan seorang daripada anggota RCI) telah selesai melaksanakan tugas mereka, maka tiada gunanya lagi mencabar komposisi suruhanjaya itu.

Beliau juga berhujah bahawa permohonan untuk mengetepikan pengerusi dan anggota suruhanjaya itu tidak wajar dibenarkan kerana dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Dr Mahathir memfailkan permohonan berkenaan pada 9 Ogos bagi mengetepikan keputusan RCI pada 8 Ogos untuk membatalkan pelantikan Mohd Sidek dan Saw sebagai anggota suruhanjaya itu.

Beliau menamakan anggota RCI, Mohd Sidek yang juga pengerusi Petronas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Wira Kamaludin Md Said, ketua pegawai eksekutif Bursa Malaysia Datuk Seri Tajuddin Atan, Saw, yang merupakan pengerusi bersama Pasukan Petugas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah), anggota Institut Akauntan Malaysia K Puspanathan, setiausaha RCI Datuk Dr Yusof Ismail dan kerajaan Malaysia sebagai responden.

Dalam permohonannya, Dr Mahathir juga menuntut satu perintah mandamus agar kerajaan atau Kabinet menasihati Yang di-Pertuan Agong membatalkan pelantikan Mohd Sidek dan Saw sebagai anggota RCI itu.

Dr Mahathir memfailkan permohonan itu atas alasan RCI berkenaan mencabuli keadilan asasi kerana Mohd Sidek dan Saw juga menganggotai pasukan petugas bertanggungjawab dalam siasatan serta mengemukakan syor agar Kabinet menubuhkan RCI itu.

Pada 17 Ogos, Hakim Mahkamah Tinggi Datin Azizah Nawawi, ketika menolak permohonan kebenaran Dr Mahathir, memutuskan keputusan RCI itu betul dan panel berkenaan tidak mempunyai bidang kuasa atau kuasa tentang pelantikan dan/ atau pemecatan anggotanya.

Katanya, RCI itu membuat keputusan betul apabila tidak membenarkan permohonan Dr Mahathir untuk membatalkan pelantikan Mohd Sidek dan Saw. (SUMBER)
Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top