Blogger Tips and TricksLatest Tips And TricksBlogger Tricks

1MDB : Laporan JKMR Akan Dedahkan Segalanya!!!


Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) akan memastikan keputusan hasil siasatan mengenai 1 Malaysia Development (1MDB) akan dibentangkan secara terperinci di Parlimen.

JKMR berpendapat bahawa kes 1MDB yang sedang disiasat oleh Pasukan Petugas Khas sekarang merupakan satu kes yang amat penting dan serius demi kepentingan negara.

“Berilah peluang kepada Pasukan Petugas Khas ini terlebih dahulu untuk menjalankan dan menyempurnakan tugas dan tanggungjawab yang mereka telah diamanahkan.”


“Mengikut Akta SPRM 2009, adalah menjadi tanggungjawab JKMR untuk membuat laporan khas, kepada YAB Perdana Menteri dan juga membentangkan laporan tersebut kepada Parlimen setiap tahun.”

“Justeru, dalam perkara ini JKMR akan meminta SPRM membentangkan secara terperinci kepada Parlimen apabila hasil siasatan mereka telah siap kelak.”

JKMR mahu semua pihak termasuk rakyat jelata menghentikan segala kenyataan yang mempertikaikan integriti, kewibawaan dan keanggotaan Pasukan Petugas Khas ini.

“Pasukan Petugas Khas ini sebuah badan yang diwakili oleh empat pemimpin tertinggi agensi-agensi, yang mampu dan berkeupayaan untuk membuat penyiasatan dengan begitu teliti, bebas dan telus,” kata Pengerusinya, Tan Sri ASbu Zahar Ujang.

“Pasukan Petugas Khas ini sedang giat menjalankan tanggungjawab mereka untuk membuat penyiasatan dengan secepat yang mungkin. Semasa siasatan sedang berjalan, diharap semua pihak akan memberi sokongan dan kepercayaan kepada Pasukan Petugas Khas ini.”

Menurut Abu Zahar, JKMR juga amat terkilan dan kecewa dengan adanya kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh pelbagai pihak termasuk kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi pertubuhan bernama Gerakan Harapan Baru (GHB), yang dikeluarkan pada 13 Julai 2015.

Pengerusi GHB sebelum ini mendakwa kononnya siasatan yang dijalankan oleh Pasukan Petugas Khas ini bertujuan untuk melindungi perkara yang sebenarnya.

“Dakwaan ini merupakan kenyataan yang berniat jahat dan tidak bertanggungjawab. JKMR berpandangan kenyataan yang dibuat bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malahan merupakan satu fitnah dan tohmahan yang tidak berasas sama sekali.”

“Di samping itu, kepada semua Ahli Parlimen (Dewan Rakyat dan Dewan Negara), JKMR berharap agar semua mereka tidak lupa kepada kenyataan semasa angkat sumpah sebelum disahkan pelantikan sebagai Ahli Dewan Rakyat atau Ahli Dewan Negara. Mereka hendaklah betul-betul menghayati dan bertanggungjawab kepada lafaz ikrar untuk taat setia kepada Malaysia, dan juga melindungi serta mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.”

“Justeru, dalam keadaan sekarang janganlah ada Ahli-Ahli Parlimen mengingkari atau menodai sumpah taat setia yang telah mereka lafazkan.”

JKMR ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, sebuah badan bebas yang memantau perjalanan SPRM, telah dan sedang mengikuti dengan rapi perkembangan semasa berkaitan siasatan kes 1MDB.

JKMR dianggotai oleh tujuh Ahli Parlimen dari Barisan Nasional, DAP, PKR dan PAS, dilantik oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong.

Selain Abu Zahar, Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah turut dianggotai oleh:

YB Senator Datuk Doris Sophia Anak Brodi (Timbalan Speaker Dewan Negara)

YB Dr Tan Seng Giaw (Ahli Parlimen Kepong)

YB Dato’ Irmohizam Ibrahim (Ahli Parlimen Kuala Selangor)

YB Dato’ Fauzi Abdul Rahman (Ahli Parlimen Indera Mahkota)

YB Dato’ Takiyuddin Hassan (Ahli Parlimen Kota Bharu)

YB Dato’ Noraini Ahmad (Ahli Parlimen Parit Sulong)
Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Networkedblog

MENARIK

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top