Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Selangor telah sebulat suara menolak RM200,000 yang diperuntukkan kepada mereka di bawah bajet 2015 yang dibentangkan oleh Menteri Besar Mohamed Azmin Ali.
Ketua Pembangkang Selangor Datuk Shamsudin Lias berkata, 12 wakil rakyat BN menolak peruntukan itu kerana tidak mencerminkan keadilan.
Menurut beliau peruntukan lebih besar telah diberikan kepada penyelaras kawasan dari Pakatan Rakyat.
Penyelaras Pakatan dilantik untuk mengawasi kawasan yang diterajui oleh pembangkang dan telah diberi peruntukan sebanyak RM700,000.
“Kami adalah wakil yang dipilih oleh rakyat dengan undian manakala penyelaras tidak.
“Ia tidak adil kerana mereka mendapat peruntukan lebih besar daripada kami,” kata Shamsudin pada sidang akhbar selepas membahaskan bajet di Dewan Undangan Negeri Selangor, Selasa, lapor Mstar.
Shamsudin yang turut dilaporkan FMT mencadangkan supaya Azmin melucutkan jawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penasihat ekonomi negeri.
katanya, pelantikan Anwar sebagai penasihat ekonomi langsung tidak memberi kesan positif apatah lagi dalam meningkatkan pelaburan ekonomi negeri itu.
Menurutnya lagi, Anwar menggunakan jawatan tersebut untuk kepentingan peribadi dan bukannya kepentingan rakyat Selangor.
Beliau turut mendakwa langkah Kajang dan isu pemilihan MB sebelum ini merupakan hasil pengaruh Anwar yang merupakan Ketua Pakatan Rakyat.
“Kita nampak jelas apabila Anwar melantik isterinya Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail untuk bertanding di Kajang dan cuba melantiknya menjadi MB,” ujar beliau.
0 Komen:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....