KOTA KINABALU , 30 Sept – Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri DAP kawasan Luyang, Hiew King Cheu yang keluar dari parti tersebut lalu menjadi ADUN bebas cukup untuk membuktikan kecelaruan dan ketidaksfahaman Pakatan Pembangkang di Sabah, demikian kata Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Sapawi Ahmad.
Menurut beliau, tindakan Hiew itu memperlihatkan bahawa ketidaksefahaman antara kepimpinan Pakatan Pembangkang di Sabah tidak mampu dibendung lagi sehingga menyebabkan berlakunya perpecahan di kalangan mereka.
“Sebab itu rakyat di negeri ini tidak memilih pembangkang untuk mentadbir Sabah. Rakyat sebenarnya sudah nampak bahawa tidak ada kesepakatan dan persefahaman di antara pemimpin pembangkang di sini.
“Tindakan ADUN Luyang itu membuktikan bahawa apa yang difikirkan oleh rakyat di negeri ini adalah betul. Kepimpinan pembangkang tidak mampu membentuk persefahaman yang baik khususnya dalam membuat keputusan terbaik untuk rakyat di negeri ini,” jelasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.
Bagaimanapun menurut beliau, tindakan ADUN Luyang itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana majoriti rakyat sudah tahu tentang kecelaruan kepimpinan pembangkang di negeri itu.
“Sebab itu, pembangkang gagal untuk menawan hati rakyat Sabah. Rakyat di negeri ini tahu sejauh mana kemampuan mereka untuk mentadbir negeri ini.
“Kecelaruan dan ketidaksepakatan mereka begitu ketara sehingga mereka tidak dapat nak sorok daripada pengetahuan rakyat. Apatah lagi, setakat ini tidak ada isu yang mampu pembangkang jadikan modal untuk menghentam kepimpinan BN di negeri ini,”jelasnya.
Justeru itu, beliau seterusnya meminta agar semua rakyat, khususnya di Sabah agar terus memberikan keyakinan dan kepercayaan mereka kepada BN untuk terus mentadbir negeri ini di masa yang akan datang.
“Setakat ini, BN telah membuktikan iltizam mereka untuk membantu rakyat khususnya di Sabah, dengan pelbagai-bagai pelan pembangunan baik dari sudut ekonomi dan sosial.
“Tidak seperti pembangkang yang tidak habis-habis berpolitik dan bercakaran sesama sendiri sehingga mengabaikan masa depan rakyat. Persepakatan dan persefahaman mereka amat rapuh dan boleh roboh pada bila-bila masa.
“Apa yang mereka tahu, hanyalah untuk memprovokasi rakyat agar membenci kerajaan, sedangkan hakikatnya mereka sendiri tidak mampu untuk menjadi kerajaan yang berkhidmat dan mendahulukan rakyat sepertimana yang BN lakukan hari ini,” tegasnya.
-MediaUMNO
0 Komen:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....