Nuffnang

KILANG ANAK : 2 Wanita Kongsi Pengalaman Ngeri Sertai IS Di Syria


Indah khabar dari rupa. Syurga yang didambakan, Neraka yang menjelma. Dua wanita warga Indonesia yang pernah menyertai kumpulan pengganas IS berkongsi pengalaman perit menjadi “hamba seks” kepada pejuang militan di Syria.

Nurshadrina Khaira Dhania dan Lasmiati berkongsi pengalaman mereka menerusi saluran berita Indonesia, Kompas TV semalam selepas kembali ke negara itu pada pertengahan Ogos lalu.

Mereka berjaya melarikan diri daripada cengkaman IS selepas lebih 2 tahun tinggal di Syria.

Nurshadrina mengaku tertipu dengan janji dan propaganda IS yang diperoleh melalui internet.

Antaranya, IS menjanjikan kehidupan lebih baik di bawah konsep khilafah yang diketuai Abu Bakar al-Baghdadi.

Nurshadrina Khaira Dhania (Sumber: YouTube Kompas TV)

Bagaimanapun, katanya, apabila tiba di sana, dia tidak dilayan seperti manusia biasa.

“Wanita dari luar Syria ditempatkan di asrama yang kotor, manakala kaum lelaki pula diarahkan ke medan perang.

“Setiap wanita dicatatkan status mereka sama ada sudah berkahwin, belum berkahwin dan janda. Mereka ditempatkan secara berasingan di asrama.”

Nurshadrina berkata, hampir setiap hari anggota IS datang ke asrama untuk melamar wanita yang belum berkahwin atau janda sebagai isteri.

“Pejuang IS melamar wanita yang disukainya secara paksa tidak kira sama ada wanita itu setuju atau tidak.

“Mereka meminta isteri daripada ketua asrama kami kerana ketua asrama mempunyai senarai sesiapa sahaja yang belum mempunyai pasangan.

“Mereka datang dan berkata ‘Saya mahu orang ini’ pada awal pagi dan meminta jawapan pada sebelah petangnya dan memaksa kami berkahwin dengan mereka. Secara peribadi saya merasakan pejuang IS menganggap wanita hanyalah ‘kilang melahirkan anak’,” katanya.

Selepas setahun berada di sana, Nurshadrina menyedari tindakan IS sangat berbeza dengan ajaran Islam. Malah, warga Syria juga dilayan dengan kejam jika mereka berani menentang IS.

“Lelaki terpaksa berperang dan wanita pula dijadikan objek seks kepada pejuang IS. Saya boleh katakan mereka adalah pembohong besar,” katanya.

Lasmiati (Sumber: YouTube Kompas TV)

Lasmiati, seorang suri rumah yang juga ibu saudara Nurshadrina menyokong kenyataan gadis itu.

Dia mendakwa ditipu oleh propaganda IS yang dibacanya menerusi internet.

Dia yang mengimpikan kehidupan yang lebih baik, akhirnya kecewa selepas berhijrah ke Syria.

“Saya membayangkan orang di sana berlumba-lumba melakukan kebaikan, tetapi bila sampai di sana ternyata banyak yang menyimpang, tidak seperti yang saya bayangkan,” katanya.
Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top