Akaun Twitter palsu yang dibina untuk menyerang lawan masing-masing. Kempen untuk pemilihan kepimpinan PKR mula menampakkan kehodohannya apabila pihak yang berlawanan saling serang menyerang bahkan akaun palsu dibuat untuk memfitnah lawan masing-masing.
Ia berlaku 48 jam menjelang pemilihan PKR bermula Sabtu ini yang bakal berlangsung di beberapa negeri.
Menurut Edy Noor Reduan, pemerhati tidak rasmi pemilihan ini daripada Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), satu akaun Twitter palsu bernama "Masa Depan Bersama" yang menjadi tema kempen tiga pemimpin PKR dibentuk untuk memfitnah mereka.
Bagi beliau, ia tindakan terdesak dan panik kehilangan jawatan.
“Masa Depan Bersama” adalah tema kempen untuk calon timbalan presiden PKR, Datuk Saifudin Nasution Ismail bersama dua calon naib presiden iaitu Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar.
Melalui Twitter palsu itu, ketiga-tiga mereka seolah-olah berkempen memburukkan Azmin dengan mengungkit laporan media massa sebelum ini yang mengatakan kononnya Azmin melakukan tidak bermoral dengan seorang perempuan di dalam sebuah tandas.
"Apakah ahli parti mahu pemimpin yg terpalit dgn skandal seks makan aiskrim dalam jamban? Bukalah mata dan marilah kita buat perubahan!" tulis Twitter daripada akaun “Masa Depan Bersama”.
Pejabat Nurul Izzah dan Rafizi Ramli kemudiannya menghantar satu tweet yang memaklumkan mereka tidak tahu menahu mengenai akaun Twitter itu.
"Harap maklum & mohon sebarkan: Akaun Twitter @MasaDepanBersama tiada kena mengena dengan YBs @n_izzah @saifnasution & @rafiziramli.”
Rafizi juga melalui Twitternya membuat penafian yang sama.
"Modus operandi ini pernah digunakan dalam pemilihan 2010 dan tidak mustahil ia dilaksanakan semula oleh kumpulan yang sama," kata Edy Noor dalam satu kenyataannya.
Sebelum ini, Azmin dalam satu kenyataannya menyerang tindakan Saifudin, Rafizi dan Izzah yang disifatkannya membentul “kartel” dalam pemilihan kali ini.
Namun, Azmin juga dilihat membentuk 'kartel' yang sama apabila membentuk pasukan bersama calon Ketua Wanita, Zuraidah Kamarudin dan calon ketua Pemuda, Amiruddin Shaari.
Walaupun tidak diumumkan terus-terang, namun gambar kempen menunjukkan mereka bersama bergerak ke sana sini.
Namun begitu ramai yakin pemilihan PKR kali ini bukan berdasarkan kumpulan kerana ramai memilih individu bukan kerana kumpulan yang disertainya.
Seorang bloger PKR, Omakkau misalnya memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk presiden (sekarang tinggal Datuk Seri Dr Wan Azizah sahaja selepas Anwar menarik diri) dan Azmin sebagai timbalan.
Namun untuk ketua Wanita, beliau memilih Rodziah Ismail bukannya Zuraidah yang bersama dalam pasukan Azmin.
Untuk ketua Pemuda pula, beliau memilih Amiruddin yang berada dalam kem Azmin namun bagi naib, beliau memilih Fuziah Salleh, Nurul Izzah, Tian Chua, N Surendran dan Rafizi Ramli.
Proses pemilihan PKR akan diadakan mengikut zon. Minggu pertama akan diadakan pada 25 hingga 27 April melibatkan Sarawak, Johor, Melaka, Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Minggu berikutnya disusuli dengan Sabah, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis pada 2 hingga 4 Mei.
Minggu terakhir akan melibatkan Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan yang diadakan pada 9 hingga 11 Mei.
Keputusan dijangka akan diperoleh pada malam 11 Mei.
biasalah kalau lagi musim politik,segala cara di lakukan..
BalasPadam