Nuffnang

PENYATUAN MELAYU? Mimpi Di Siang Hari Atau Angan-Angan Sahaja - UNGKUAZIZ





TOKOH akademik, Prof Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid (gambar) tidak yakin kaum Melayu akan bersatu kerana faktor sejarah dan penjajahan yang dialami sejak berabad lamanya.

Dalam wawancara yang disiarkan sebuah akhbar tempatan hari ini, Ungku Aziz berkata kaum Melayu mempunyai ciri sama dengan masyarakat Arab yang juga sukar untuk bersatu.

“Pada saya orang Melayu tidak mungkin bersatu.

“Orang Melayu seperti orang Arab kerana payah bersatu, tak boleh bercampur. Itu bezanya orang kita dengan orang Jepun,” katanya menurut laporan akhbar itu.


Ungku Aziz menegaskan perbezaan yang memisahkan antara orang Jepun dengan bangsa Melayu adalah kerana penduduk negara matahari terbit tersebut berkongsi banyak persamaan, tidak seperti kaum Melayu.

“Mereka (orang Jepun) bersatu dalam satu negara, bangsa dan sejarah yang sama.

“Orang Melayu pula dikacau oleh penjajah Portugis, Belanda dan itu antara faktor yang merosakkan orang Melayu,” kata Ungku Aziz merujuk kepada sejarah pembentukan Malaysia yang pernah dijajah oleh beberapa kuasa besar dunia suatu ketika dahulu.

Zaman penjajahan Eropah ke Tanah Melayu bermula pada tahun 1511, apabila Melaka ditakluki oleh Portugis untuk dijadikan tanah jajahan, disusuli pula pengambilalihan Belanda terhadap Melaka pada tahun 1641.

Empayar British kemudian menjejakkan kaki di Semenanjung Melayu pada tahun 1786.

Selain itu, Ungku Aziz juga menyifatkan faktor kepelbagaian etnik dalam kaum Melayu juga dianggap sebagai punca perpecahan.
“Selain itu, orang Melayu ada yang datang dari Jawa dan bercampur-campur.

“Kita suka bergaduh sesama sendiri dan ada saja agenda,” katanya.

Ungku Aziz kemudiaan menegaskan penyatuan kaum Melayu adalah suatu angan-angan yang tidak tercapai sehinggalah tahap pemikiran kaum tersebut mula meningkat pandai.

“Pada saya, penyatuan Melayu hanya angan-angan.

“Itu kita mesti terima. Tetapi kalau orang Melayu pandai, dia akan lebih bersatu,” katanya.

Ungku Aziz juga menyifatkan orang Melayu sebagai suka mengamalkan sikap dengki dan menjatuhkan sesama sendiri.

Masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, dimana majoriti 50.4% merupakan orang Melayu dan 11% adalah kaum Bumiputera lain.

23.7% penduduk Malaysia berketurunan Cina, manakala 7.1% lagi berketurunan India.

Walaupun kaum Melayu membentuk majoriti penduduk di Malaysia, kumpulan tersebut masih ketinggalan daripada segi ekonomi walaupun pelbagai dasar diperkenalkan untuk meningkatkan ekonomi dan kualiti hidup kaum Melayu.

Pegangan ekuiti korporat masih belum mencapai 30% dan golongan tersebut kini masih dalam tempoh transformasi sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

Perpecahan Melayu kembali hangat diperkatakan selepas kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah negara sejak merdeka hilang majoriti dua pertiga dalam dua pilihan raya lalu, pada tahun 2008 dan 2013 lalu.

Undi kaum Melayu dikatakan terpecah kepada tiga, iaitu Umno, PAS dan PKR dalam dua pilihan raya lalu.

Umno selaku parti dominan masyarakat Melayu menyalahkan dan menunding jari kepada dua parti komponen Pakatan Rakyat (PR) iaitu PAS dan PKR sebagai punca undi tersebut pecah.

Bekas presiden Umno paling lama, Tun Dr Mahathir Mohamad juga menyifatkan PAS dan PKR sebagai parti yang menjadi penyebab kepada berlakunya perpecahan dalam kalangan masyarakat Melayu di negara ini.


Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top