Nuffnang

BAHAYA!!! Johor Bakal "Dijajah" Sekiranya......



Kegiatan warga asing membeli hartanah di Johor dikesan semakin berleluasa terutama dengan kemasukan lebih 10 pemaju dari China yang membangunkan beberapa kawasan elit sekitar pesisir Selat Johor menimbulkan kebimbangan awam.

Berikutan masalah yang semakin membarah itu kerajaan negeri terpaksa mengambil langkah drastik dengan memperkenalkan zon antarabangsa selewat-lewatnya akhir tahun ini.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya sedang mengenal pasti kawasan sesuai untuk membina zon berkenaan dan ia akan mengenakan cukai tanah dan harta yang tinggi terhadap warga asing.

“Kemungkinan zon antarabangsa akan ditempatkan di kawasan tambak dan Iskandar Malaysia. Kita akan kenakan cukai tanah dan cukai harta yang lebih tinggi di zon itu bagi membezakan mereka (orang asing) dan rakyat tempatan,” katanya.

Selepas zon antarabangsa diperkenalkan, kerajaan negeri juga akan menyekat atau menghadkan pembelian hartanah oleh warga asing di luar zon ini bagi memberi lebih banyak peluang kepada rakyat tempatan.

“Kita (kerajaan) akan hadkan warga asing daripada membeli rumah di luar zon, mungkin ada kadar tertentu tapi itu belum ditetapkan lagi,” kata Khaled yang juga Pengerusi Bersama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).

Menurutnya, pihaknya perlu melaksanakan perancangan rapi, jika tidak rakyat asing akan membeli rumah di merata tempat di Johor dan ia akan menjejaskan peluang rakyat tempatan kerana harga pasaran rumah menjadi tidak stabil.

Justeru itu, beliau berkata ini adalah menjadi tanggung jawab kerajaan negeri mengimbangi keperluan rumah mampu milik kepada rakyat tempatan dan pada masa yang sama memenuhi permintaan semasa yang bakal menyumbang kepada ekonomi Johor.

Menerusi zon antarabangsa, difahamkan hasil cukai tersebut akan turut digunakan bagi pembangunan di kawasan luar daerah Johor Baharu.

Selain itu, Khaled berkata kerajaan negeri juga akan menambah bilangan tanah rizab Melayu di negeri ini dan mewujudkan lingkaran Melayu di bandar sebagai salah satu usaha untuk mengimbangkan populasi pelbagai kaum.

Beliau berkata, selain usaha kerajaan untuk terus komited menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat, pihaknya juga membuat persiapan bagi menampung permintaan pekerja asing yang dijangka meningkat disebabkan pertambahan pelaburan asing ke Iskandar Malaysia.

Iskandar Malaysia dilaporkan mengunjurkan pelaburan baharu bernilai RM22 bilion tahun ini berbanding RM21 bilion pada tahun lepas.


Johor dalam bahaya, hartanah diburu warga asing

Mengenai kebimbangan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tentang kepesatan pembangunan Johor dan kebanjiran pendatang asing yang boleh mengakibatkan hak rakyat tempatan terjejas, Khaled berkata kerajaan negeri sedar mengenai perkara itu.

“Kita hargai pandangan beliau. Kita sedar mengenai perkara itu dan kewujudan Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) adalah salah satu daripada usaha kita untuk merangka dan merancang (serta mengatasi cabaran itu),” katanya.

Pada 8 Julai lalu, Dr Mahathir, menerusi blognya, bimbang akan kepesatan pembangunan di Johor yang mengundang kebanjiran pendatang asing serta mengakibatkan sebilangan harga hartanah naik mendadak yang boleh mengurangkan peluang rakyat tempatan memiliki kediaman sendiri.

Menyifatkan isu LPHJ adalah antara cabaran terhebat yang dihadapinya sejak memegang tampuk pimpinan kerajaan negeri sejak Mei tahun lepas, Khaled berkata isu itu kurang difahami oleh masyarakat terutamanya yang tinggal di luar Johor.

“Jadi, hendak betulkan persepsi mereka yang seolah-olah tujuan enakmen tu untuk memberi kuasa yang mutlak kepada raja, padahal ia tidak bermaksud sedemikian dan soal nak betulkan persepsi tu dan untuk mengatasi kebimbangan pihak-pihak tersebut, merupakan cabaran terhebat,” kata beliau.

Khaled berkata LPHJ diwujudkan bagi mengatasi cabaran utama di Johor iaitu bagaimana mahu memenuhi permintaan rakyat berkaitan perumahan.

“Rakyat hendak supaya mereka memiliki rumah yang mereka mampu beli. Tujuan lembaga ini adalah agar perkara ini dapat direalisasikan dan dapat dipermudahkan,” kata beliau.

Kerajaan negeri menyasar untuk membina sebanyak 28,000 rumah mampu milik dalam masa lima tahun. Selain itu, katanya, tindakan tegas turut diambil dengan menyenaraihitamkan 28 pemaju tahun ini kerana gagal membina lebih 30,000 unit rumah kos rendah terutama di kawasan Iskandar Malaysia dalam tempoh ditetapkan.- bnbbc.my
Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top