Azizul Raheem Awalluddin, pasangan warga Malaysia yang dipenjarakan di Sweeden atas kesalahan mendera empat anak mereka pada Disember lalu, bakal dibebaskan di penjara hari ini, lapor akhbar Utusan Malaysia.
Manakala isterinya Shalwati Nor Shal pula hanya akan dibebaskan tiga bulan lagi mengikut hukuman penjara selama enam bulan yang diputuskan Mahkamah Daerah Solna, Stockholm, Sweeden pada hujung Mac lalu.
Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam) Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata meskipun Azizul dibebaskan hari ini namun pegawai Tourism Malaysia itu perlu menandatangani beberapa dokumen melibatkan Kedutaan Sweeden sebelum dibenarkan pulang ke Malaysia.
"Semua persediaan dan urusan pembebasan Azizul Raheem sudah diuruskan dan akan dimeterai sebaik saja keluar dari penjara.
"Saya percaya segalanya berjalan lancar dengan adanya wakil daripada ahli keluarganya sendiri," katanya dipetik daripada akhbar Utusan.
28 Mac lalu susulan daripada kes kontroversi itu, mahkamah Sweeden mendapati pasangan itu bersalah mengasari serta mencabuli integriti anak mereka seterusnya menjatuhkan hukuman penjara selama 10 bulan terhadap Azizul.
Sementara itu, isteri Azizul yang merupakan seorang guru, dipenjara selama 14 bulan.
Kes itu juga mendapat perhatian antarabangsa apabila keempat anaknya mengadu mempunyai masalah apabila diletakkan di bawah jagaan sementara keluarga bukan Islam apabila pasangan itu ditahan.
Shalwati dan Azizul didakwa memukul serta mendera anak mereka di kediaman pasangan itu di Spånga antara 15 September 2010 dan 17 Disember 2013.
Sweeden merupakan negara yang memandang serius perlindungan terhadap kanak-kanak apabila pada 1970-an, negara itu menggubal undang-undang melarang ibu bapa atau sesiapa pun memukul atau menggunakan sebarang kekerasan fizikal ke atas kanak-kanak.
Selain itu, Khairul juga menyifatkan pengurangan hukuman penjara oleh mahkamah sebagai satu kejayaan terbesar buat negara.
Katanya, kini pihaknya berharap agar Shalwati terus bersemangat sementara menunggu giliran dibebaskan.
"Tahniah kepada semua pihak yang bertungkus lumus termasuk Wisma Putra kerana menjayakan hasrat semua untuk membebaskan mereka secepat mungkin.
"Saya percaya empat anak mereka sudah tidak sabar mendakap bapa mereka sebaik tiba di Malaysia," katanya.
Difahamkan Azizul akan tiba di tanah air pada 14 Julai ini setelah semua urusan penyediaan dokumen selesai.
Empat anak pasangan itu kini diletakkan di bawah jagaan ibu saudara mereka di Wakaf Tok Wali, Melor, Kelantan. – 9 Julai, 2014.
0 Komen:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....