Nuffnang

KABINET : LEBIH RAMAI WAKIL DARI SABAH DAN SARAWAK




Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menamakan lebih ramai wakil Sabah dan Sarawak dalam barisan Kabinet baharu, yang menyaksi enam orang dari setiap negeri dilantik menteri penuh manakala empat lagi masing-masing sebagai timbalan menteri.

Jumlah itu meningkat daripada hanya tujuh wakil Sarawak dan empat wakil Sabah dalam senarai menteri dan timbalan menteri sebelum berlangsungnya pilihan raya umum ke-13 pada 5 Mei.

Daripada 10 wakil Sabah, enam adalah dari UMNO, dua Parti Bersatu Sabah (PBS), masing-masing satu dari Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO).

Antara yang dilantik ialah Tan Sri Joseph Kurup (Menteri di Jabatan Perdana Menteri), Datuk Seri Anifah Aman (Menteri Luar) dan Datuk Seri Maximus Ongkili (Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air) manakala timbalan menteri ialah Mary Yap (Kementerian Pelajaran) dan Datuk Abdul Rahim Bakri (Kementerian Pertahanan).

Tujuh wakil Sarawak pula adalah dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), dua wakil Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan seorang daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Antara yang dilantik ialah Datuk Seri Idris Jala (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) dan Datuk Fadillah Yusof (Menteri Kerja Raya) manakala timbalan menteri ialah Datuk Joseph Salang (Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan) serta Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Kementerian Dalam Negeri).

Sementara itu, seorang ahli akademik dari Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Teo Kok Seong berkata pelantikan sebilangan besar menteri dan timbalan menteri dari Sabah dan Sarawak adalah wajar bagi membolehkan mereka memain peranan penting dalam kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata pelantikan itu merupakan ganjaran daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas kesetiaan dan sokongan kedua-dua negeri kepada parti.

"Saya berpendapat kedua-dua negeri diberi ganjaran sewajarnya kali ini atas sokongan mereka selama ini kepada BN. Ia benar-benar satu langkah yang positif dan bijak oleh Perdana Menteri, selain mencerminkan pengiktirafan untuk pengundi," katanya kepada Bernama.

Sabah dan Sarawak sentiasa dianggap sebagai deposit tetap Barisan Nasional yang menyumbang sejumlah besar kerusi Parlimen kepada parti gabungan itu.

Daripada 133 kerusi yang dimenangi Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-13, 22 adalah dari Sabah manakala Sarawak menyumbang 25 kerusi.

Teo berkata pelantikan itu juga mampu mempertingkat integrasi nasional dan memperkukuh perpaduan di kalangan rakyat negara ini.

Sementara itu, wakil wanita dalam barisan Kabinet kekal tujuh orang dengan dua daripadanya dilantik menteri penuh manakala lima lagi sebagai timbalan menteri.

Seramai empat wakil MIC juga menganggotai kepimpinan negara dengan dua menteri dan dua timbalan menteri, kekal seperti komposisi sebelum ini.

Tiada wakil parti MCA dan Gerakan yang memutuskan tidak akan menganggotai Kabinet. Sebelum ini MCA mempunyai 10 wakil manakala Gerakan tiga.

Parti Progresif Penduduk (PPP) masih kekal dengan seorang wakil.

Barisan Kabinet Kerajaan Malaysia 2013 yang diumum Najib mempunyai 24 kementerian yang memperuntukkan 30 jawatan menteri termasuk Timbalan Perdana Menteri dan 27 jawatan timbalan menteri.

Ia juga merangkumi lima Senator baharu yang akan dilantik selain seorang Senator sedia ada.

Pada pilihan raya umum 5 Mei lepas, Barisan Nasional memperoleh 133 daripada 222 kerusi Parlimen dan membolehkannya membentuk kerajaan Persekutuan yang baharu.

- BERNAMA
Share this article

1 Komen:

  1. terima kasih kepada rakyat sabah dan sarawak yang membantu bumiputera di semenanjung.. nak harapkan melayu disemenanjung, lingkuplah negara.. hanya ALLAH shj yg dpt membals jasa kalian

    BalasPadam

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top