Himpunan Rakyat Bersatu yang menyaksikan hampir 200,000 orang Melayu menyertainya pada Rabu lalu di ibu negara telah menjadi satu simbol kebangkitan orang Melayu. Lebih menggembirakan lagi, ramai anak muda Melayu turut terlibat.
Ini mengenepikan persepsi pelbagai pihak bahawa anak muda Melayu tidak bersama kerajaan. Siapa kata anak muda tidak peduli? Lihatlah anak muda Melayu yang begitu bersemangat menyatakan sokongan kepada kerajaan.
Sebenarnya, sikap cauvinis parti DAP sendiri telah menarik minat orang Melayu berduyun-duyun berarak ke Padang Merbok.
Tindakan ini boleh dilihat sebagai satu amaran keras daripada peserta-peserta kepada pihak yang sering memainkan isu-isu perkauman, memperlekeh orang Melayu dan menghina pemimpin-pemimpin Melayu agar segera menghentikan tindakan-tindakan yang mengguris hati orang Melayu itu.
Walaupun perhimpunan ini bukan bermotifkan politik tetapi tidak dapat dinafikan bahawa semangat serta kesedaran anak muda untuk mempertahankan pemimpin-pemimpin Melayu yang berjiwa Melayu semakin bertambah.
Dalam keadaan ibu negara yang berjerebu dan hawa panas terik, kesemua peserta sanggup berarak jauh untuk berkumpul di Padang Merbok. Lautan merah menjadi satu simbol penyatuan dan kebangkitan orang Melayu yang dilihat boleh bersatu tanpa mengira fahaman politik.
Puak-puak DAP terutamanya pasti tidak senang duduk melihat perkembangan ini dan tidak mahu keadaan ini berterusan.
Mereka tentu bimbang, impian DAP untuk menakluki Putrajaya hanya tinggal angan-angan kerana masih gagal memperdayakan orang Melayu.
Perhimpunan Rakyat Bersatu wajar diiktiraf sebagai contoh kepada perhimpunan aman di negara ini. Keakuran pihak penganjur yang bersedia mematuhi semua syarat-syarat perhimpunan membuktikan mereka menyanjungi undang-undang negara dan keamanan.
Ini berlainan sekali dengan sikap penganjur Bersih yang degil dan tidak mahu berkompromi dengan cadangan yang diberikan oleh pelbagai pihak termasuk pihak berkuasa yang sekali gus memberi gambaran bahawa penganjur tidak profesional dan angkuh.
Justeru kelulusan permit kepada Himpunan Rakyat Bersatu tidak boleh dilihat sebagai satu tindakan pilih kasih atau double standard sebaliknya membuktikan dengan jelas siapa yang akur kepada undang-undang sudah pasti pihak berkuasa sanggup memberi kerjasama.
Contohnya, Himpunan Rakyat Bersatu berlangsung hanya beberapa jam dan tepat pukul 5.30 petang peserta-pesertanya bersurai.
Pemandangan ini tidak seperti semasa perhimpunan Bersih 4.0 yang peserta-pesertanya duduk dan tidur di kaki-kaki lima.
Malah ada yang tidur berhari-hari dan bersembahyang di tepi jalan sedangkan di Kuala Lumpur ada masjid yang selesa yang boleh digunakan.
Sesungguhnya, Himpunan Rakyat Bersatu ini telah memberi suntikan semangat baharu kepada anak muda Melayu untuk bersama-sama setiap peringkat masyarakat untuk mempertahankan negara ini.
Jarang sekali perhimpunan terbesar orang Melayu diadakan dan ia wajar dilakukan setiap tahun untuk meniupkan kembali semangat orang Melayu.
Sebanyak 14 Resolusi Himpunan Rakyat Bersatu wajar direnungi oleh semua pihak kerana ia merupakan isi hati orang Melayu dan juga rakyat Malaysia.
Kerajaan harus mempertimbangkan isi hati orang Melayu agar pemimpin Melayu tidak terlena dan terleka dan pihak yang tidak bertanggungjawab akan mengambil kesempatan daripada sikap tersebut.
Sudah pastinya mereka yang hadir di Padang Merbok tidak mahu perhimpunan tersebut dilihat hanya sekadar menang sorak atau pertandingan membawa sepanduk semata-mata.
Semua menuntut agar tindakan diambil oleh pemimpin kerajaan terhadap mana-mana pihak yang sengaja mencetuskan kekacauan dan menggugat keharmonian rakyat berbilang kaum di negara ini.
Sesungguhnya, Perhimpunan Rakyat Bersatu ini bukan sekadar sorakan dan perhimpunan yang biasa-biasa, tetapi ia memberi makna yang besar kepada cerminan masa depan orang Melayu.
Kehadiran anak muda yang terlalu ramai menguatkan keyakinan bahawa kesedaran telah mulai timbul. Mungkin melihat kepada senario-senario perhimpunan haram Bersih 4.0 yang lalu, telah membuatkan anak-anak muda Melayu bangkit daripada kelekaan mereka.
Walaupun masih ada lagi orang Melayu memperlekehkan perhimpunan Melayu ini melalui media sosial, anggaplah ia satu perjuangan untuk memberi kesedaran dan jangan berputus asa.
Orang Melayu jangan gentar dan goyang apabila berhadapan dengan cabaran. Pertahankan survival bangsa Melayu kerana ia adalah tanggungjawab kita bersama-sama bukannya terletak kepada parti politik semata-mata.
Anak-muda Malaysia kena berfikir tentang masa hadapan negara. Dan pada masa yang sama pihak kerajaan, jangan biarkan mereka ibarat layang-layang putus tali tanpa memberi perhatian.
Justeru, pemimpin Melayu perlu mewujudkan pelan agenda anak muda Melayu. Isikan kekosongan semangat mereka kembali serta sediakan tapak yang cukup kukuh bagi anak muda supaya mereka tidak lalai.
Mungkin semangat anak muda Melayu belum sampai kepada ‘pencapaian’ anak muda 1940an dan 1950an namun sekurang-kurangnya ada kebangkitan kembali.
Pada penulis, perhimpunan di Padang Merbok itu adalah sebagai satu isyarat kebangkitan anak muda. Isyarat ini harus dimanfaatkan oleh pelbagai pihak. Ia seolah-olah satu isyarat ‘Ping’ sudah mula kedengaran kesedaran yang bergelora anak muda Melayu di Padang Merbok.
Oleh
EZARUDDIN ABBD RAHMAN ialah Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS)
Utusan
0 Komen:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....