Nuffnang

JUTAWAN : 2 Beradik Capai Kejayaan Di Usia Muda!!





DUA beradik ini begitu istimewa. Pencapaian mereka luar biasa! Pada awal 20-an mereka mencari haluan sendiri, mengubah destinasi ke arah peluang yang lebih besar.

Mengelak pekerjaan makan gaji dan mahu menjana pendapatan yang ditentukan sendiri hingga akhirnya; pada usia 25 tahun, mereka memegang status jutawan!

Dalam dunia pelaburan dan insurans, siapa tidak kenal Nor Akmar Hanif, 34, dan Aida Nurlin Hanif, 30. Pengasas Amazing Millionairessisters Group ini terkenal bak selebriti.

Wajah cantik mereka terpampang di dada-dada akhbar dan majalah tempatan. Kejayaan mereka di usia muda menjadi simbolik belia negara.

Mereka merupakan jutawan pelaburan berasaskan saham amanah dan insurans terkenal di negara ini. Dek keterbiasaan mereka berdepan bidikan flash kamera, kedua-duanya kini tidak kekok lagi. Lincah dan bijak beraksi sehingga menerima pujian juru foto.

Sememangnya dua wajah cantik yang bertubuh kecil molek ini menyenangkan krew WOW dalam sesi fotografi.

Kelihatan lebih bersemangat dan petah memulakan bicara, Nor Akmar @ Akmar bijak memainkan peranan agar adik turut sama-sama seiring bercerita dengannya.

“Kami minat bergambar, fesyen dan apa sahaja mengenai kecantikan. Apabila belek majalah, mulalah nak buat macam dalam majalah. Kadang-kadang selfie,” ujar Akmar.

Bagi penulis, karisma Akmar terserlah saat dia bersuara. Maka tidak hairanlah pembentangan wanita cantik ini mampu memberikan pulangan, baik dari segi persepakatan pelaburan mahupun insurans.

Akmar adalah mentor yang membawa Nurlin@Elynn ke bidang ini.

“Terus terang, saya terlibat secara langsung kerana lihat kejayaan Akmar. Dia mentor dan inspirasi saya. Pada awalnya saya terkejut dengan tindakan dia berhenti kerja.

Akmar graduan Kejuruteraan Sistem Maklumat Universiti Manchester. Dapat kerja bagus di bidang IT tapi berhenti semata-mata nak buat bisnes ini. Akhirnya bila saya sendiri sertai, baru saya tahu keseronokannya.” kata Elynn, diiringi senyuman tulus dari si kakak.


Tidak rapat

Bercerita mengenai hubungan keduanya, Akmar mengakui mereka tidak serapat sekarang sewaktu kanak-kanak dulu sehingga tempoh habis belajar.

“Beza umur kami empat tahun. Saya bersekolah di Sekolah Seri Puteri Jalan Kolam Ayer (asrama penuh yang kini berada di cyberjaya) manakala Elynn di asrama penuh Kolej Tunku Kursiah di Seremban, Negeri Sembilan.

Ketika Elyyn di tingkatan 5 pun saya dah berada di Manchester. Masa dan jarak memisahkan kami. Hanya setelah Elynn bercuti habis SPM hubungan kami mula rapat.

“Elynn datang ke Manchester untuk bercuti dan temankan saya di sana. Ketika itulah kami lebih mengenali sikap antara satu sama lain. Kami pergi Disneyland dan saya demam di sana. Cuaca winter, saya tak larat dan Elynn dukung saya. Kami berada di Eropah lebih kurang seminggu. Ketika di Eropah itulah bonding kami bertaut.

“Balik ke Malaysia saya dan Elynn tinggal bersama dan ketika saya buat kerja, Elynn akan sentiasa bersama-sama saya. Jumpa klien saya, jumpa kawan-kawan saya. Jadi dia cepat matang,” katanya.


Pentingkan pelajaran

Lahir dalam kalangan keluarga yang menitikberatkan soal pendidikan dan pelajaran, Elynn mengakui mereka sudah mempunyai perancangan masa depan dari sejak kecil. Sifat itu ditanam oleh kedua ibu bapanya.

“Abang dan kakak-kakak kami berjaya dalam pelajaran. Mungkin sebab itu kami berdua terdorong untuk mengikut laluan yang sama. Masa darjah 6 kami dah fikir dan target nak masuk sekolah mana. Dan kami berusaha ke arah itu.

“Lagi satu, mak dan ayah tanamkan budaya membaca dalam keluarga kami. Kat rumah ada perpustakaan. Macam-macam buku ada. Saya masih ingat buku yang paling kami suka masa kecil koleksi Ladybird.” kata anak-anak kepada Timbalan Pengarah Pelajaran Perak, Hanif Amran ini.

Mereka yang mempunyai empat beradik kesemuanya dididik berdikari dengan bersekolah di sekolah asrama penuh. Akmar dan Elyyn dinobatkan sebagai Belia Ikon 2011 sehingga kini oleh Kementerian Belia dan Sukan.


Tiga bulan sahaja
Akmar menyambung pelajaran di luar negara atas tajaan sebuah syarikat public listed. Sekembalinya ke Malaysia, dia yang mendapat Ijazah Kelas Pertama terikat dengan prasyarat syarikat agar bekerja dengan tempoh tertentu.

Hanya tiga bulan Nur Akmar mampu bertahan, namun akhirnya jiwa Akmar semakin membuak-buak untuk meninggalkan syarikat itu kerana sudah berjinak-jinak dengan unit amanah (1999).

“Nekad dengan kehendak sendiri, saya memberi tender berhenti kerja. Syarikat panggil dan buat rundingan. Kawan-kawan pun berpendapat saya gila. Berhenti kerja bererti saya perlu melunaskan tajaan bernilai RM300,000 serentak.

“Tapi saya percaya, tak kira kerja di mana, bidang apa, jika bersungguh-sungguh kita akan cemerlang. Saya mohon buat bayaran secara berperingkat dengan syarikat tersebut.

Bagi saya, Rezeki ada di mana-mana. Yang penting attitude. Sijil universiti adalah satu sijil tapi apa yang kita buat dalam mengejar pelajaran itulah yang membentuk peribadi,” sambung Akmar.


Latih capai target
Akmar yang sudah berpengalaman selama 15 tahun dalam bidang unit amanah mengakui gemar meletakkan target dalam setiap perbuatan hariannya.

“Saya seorang yang gigih bekerja. In term of business pasti ada rejection. Jadi kita kena kental dan kenyal. Saya jenis yang takkan balik rumah selagi tak capai target sale yang saya nak setiap hari. Itu sikap saya,” kata Akmar.

Dan berkat kesungguhan itu, jualan unit saham amanah Nur Akmar mencecah RM1 juta dalam masa tiga bulan awal penglibatannya.

Kemampuannya meletakkan diri sebagai pengurus agensi kumpulan termuda di sebuah institusi kewangan terbesar negara ini.

Pada 2006 mereka mencapai Million Sales Achiever. Kini, dia melahirkan 13 Pengurus Agensi Kumpulan (GAMS). Pencapaian terbesar Akmar yang lain adalah ketua pengurus kumpulan Master Builder iaitu anugerah yang dimenangi empat kali berturut-turut.

Anugerah lain; Brand Ambassador, Top GAM, Group Agency Manager Platinum, Master Recruiter, dan Million Dollar Round Table.

Diam-diam berisi, aura Elynn terletak pada senyumannya. Si cantik manis yang kini ayu bertudung baru sahaja mendirikan rumah tangga.

Resepsi yang diadakan di ibu negara dan Bali Indonesia, disambut gilang-gemilang malah, dua beradik yang gemar menari ini turut mempamerkan bakat tarian masing-masing menerusi satu video Wishing & Hoping yang boleh ditonton menerusi www.jewedding.net. Mereka boleh dihubungi menerusi emel akmar@millionairesisters.org dan elynn@millionairesisters.org serta instagram MillionaireSistersAkmar dan MillionaireSistersElynn.

Akhir kalam, dua figura cantik ini berharap semua wanita muda di luar sana tidak goyah memulakan langkah dalam bidang insurans dan pelaburan. Bukan sahaja perempuan malah lelaki.

“Bisnes membentuk personaliti dan attitude. Mereka yang berumur sekali pun masih belum terlambat. Bahkan bagi saya, mereka mempunyai potensi networking yang lebih luas.

“Tidak tahu boleh bejalar, yang penting ada attitude dan berfikiran poositif. Datang dan sertai Millionairesisters, kami ada sediakan kursus dan seminar untuk anda,” kata Elynn. – SINAR HARIAN
Share this article

1 Komen:

  1. Mereka berjaya kerana bijak dan tekun meletakkan diri mereka dalam bidang rundingcara unit amanah. Pendek kata mereka mengumpul komisyen atas setiap caruman dan seterusnya menikmati imbuhan dari pihak unit amanah setelah mencapai tahap pencapaian tertentu.Mereka berusaha dan mereka sememangnya layak menikmati apa saja komisyen atau apa saja imbuhan.
    Masalahnya, bagi yang tidak mampu untuk jadi perundingcara yang hebat atau yang hanya agak pasif dalam bersemuka dengan khalayak ramai tetapi menyimpan hasrat untuk menyimpan atau melabur dengan unit amanah melalui akaun 1 KWSP. Maka kenapa ditingkatkan garis simpanan sehingga peluang unutk melabur bagi mendapatkan dividen yang lebih tinggi dari apa yang diberikan oleh KWSP!? Tidakkah ini menyekat peluang untuk memperoleh keuntungan yang lebih baik dengan mencarum dalam dana unit amanah yang KWSP hanya mampu tawarkan separuh dari pengurus dana yang mengekalkan reputasi dalam dunia pelaburan unit amanah?
    Kami pun nak jadi jutawan! Kalau tak jadi pun boleh hidup senang dan bebas hutang!!

    BalasPadam

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top