Nuffnang

LAHAD DATU : Saksi Imbau Insiden Serangan Pengganas!!!



KOTA KINABALU: Komander Taktikal dalam insiden pencerobohan di Kampung Tanduo Datuk Abdul Rashid Harun dimaklumkan bahawa satu serangan berlaku di kampung itu pada 11 Mac tahun lepas, yang meragut dua nyawa anggota keselamatan Malaysia.

Maklumat itu disalur menerusi walkie-talkie daripada tiga ketua lima sektor di mana penembak tepat VAT69 ditempatkan.

Abdul Rashid, bekas Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Pasukan Gerak Khas) Bukit Aman, berkata seorang daripada ketua sektor itu memaklumkan bahawa lokasi mereka diserang dan beliau mendengar bunyi tembakan menerusi walkie-talkie.

"Ketika itu kira-kira pukul 10 pagi dan saya dimaklumkan oleh seorang daripada ketua sektor, Superintenden Macha, bahawa berlaku serangan. 

"Kemudian seorang lagi ketua sektor, DSP Anwar, turut memaklumkan berlaku serangan di tempat beliau dan saya mendengar bunyi tembakan.

"Sejurus kemudian (komunikasi dengan Anwar), saya dimaklumkan oleh ketua sektor ketiga, DSP Rani, bahawa seorang anggota pasukannya terkorban dan selepas itu, saya dimaklumkan seorang lagi maut oleh Superintenden Macha," katanya ketika memberi keterangan pada hari kedua perbicaraan 30 individu yang didakwa dengan pelbagai pertuduhan berkaitan keganasan di Sabah di Mahkamah Tinggi, yang bersidang di penjara negeri di sini semalam.

Abdul Rashid, yang kini Pengarah Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) di Lahad Datu, juga berkata beliau dimaklumkan bahawa anggota yang terbunuh ialah Inspektor Zulkifli Mamat dan Koperal Sabaruddin Daud manakala tiga lagi cedera.

Beliau turut dimaklumkan bahawa kumpulan penceroboh itu yang memulakan serangan dan ketika itu, Abdul Rashid berada di Pangkalan Taktikal VAT69 di Felda Sahabat, Lahad Datu.

Terdahulu, Abdul Rashid memberitahu mahkamah beliau bertemu seorang daripada tertuduh iaitu Datu Amirbahar Hushin Kiram dan dua lelaki yang menyertainya dalam lawatan kedua ke Kampung Tanduo pada pagi 16 Feb.

Katanya, beliau tidak tahu siapa mereka dan tidak mempersoal tujuan kedua-dua individu pada lawatan itu kerana perhatiannya tertumpu pada tugas untuk menilai kawasan berkenaan apabila tiba di kampung tersebut. 

Daripada 30 individu yang didakwa melakukan pelbagai kesalahan berkaitan kegiatan keganasan di Sabah antara 12 Feb dan 10 April, 22 termasuk dua rakyat Malaysia, didakwa menganggotai kumpulan pengganas, dan jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara seumur hidup dan denda. 

Mereka turut berdepan pertuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, yang membawa hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup. 

Seorang daripada mereka turut berdepan dua pertuduhan tambahan iaitu merekrut anggota kumpulan pengganas dan melindungi individu yang diketahui anggota kumpulan pengganas. 

Lima individu daripada lapan tertuduh lagi berdepan pertuduhan menjadi anggota kumpulan pengganas manakala seorang lagi, iaitu satu-satunya wanita dan merupakan warganegara Malaysia, didakwa melindungi individu yang diketahuinya anggota kumpulan pengganas. 

Dua lagi berdepan pertuduhan cuba melindungi individu yang diketahui anggota kumpulan pengganas.

Sejumlah 27 tertuduh merupakan warga Filipina manakala bakinya adalah warga tempatan. 

Perbicaraan di depan Hakim Stephen Chung dibantu pasukan pendakwaan tujuh anggota diketuai Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail manakala sejumlah 10 peguam mewakili tertuduh termasuk pasukan pembelaan enam anggota diketuai peguam Datuk N. Sivananthan bagi 28 tertuduh. 

Perbicaraan bersambung hari ini. - Bernama
Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top