Nuffnang

Minyak Masak - KPDNKK Akan Umum 285 Jenama Yang Mendapat Subsidi


PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan mengumumkan 285 jenama minyak masak dalam bungkusan satu kilogram yang mendapat subsidi kerajaan.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perjumpaan dengan syarikat-syarikat minyak akan diadakan secepat mungkin.

“Selain daripada 285 jenama yang dikenal pasti, selebihnya adalah minyak kitar semula,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Integriti KPDNKK 2016, semalam.

Sementara itu kata beliau, usaha membanteras penyeludupan barangan keperluan bersubsidi ke negara jiran memerlukan kerjasama menyeluruh daripada semua pihak berkaitan.

Menurutnya, masyarakat tidak boleh menyalahkan penguat kuasa KPDNKK apabila ketirisan berlaku menyebabkan barangan bersubsidi dijual di negara jiran.

Katanya, semua pihak berkaitan, termasuk ketua kampung dan masyarakat di kawasan-kawasan sempadan, perlu turut sama bertindak dengan menyalurkan maklumat mengenainya.

Hamzah berkata, pihaknya melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan sememangnya menjalankan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain, termasuk kastam dan polis, bagi membanteras penyeludupan.

“Usaha mengetatkan lubang-lubang tikus ini perlukan pemantauan semua, selain 2,600 penguat kuasa KPDNKk dan 4,000 anggota yang giat menjalankan tugas penguatkuasaan,” katanya.

Hamzah berkata, pihaknya belum menentukan mekanisme baharu bagi memastikan minyak masak paket plastik satu kilogram sampai kepada golongan sasar.

Tegasnya, berdasarkan kajian, minyak masak yang dikeluarkan adalah mencukupi untuk dinikmati pengguna.

Hamzah menjelaskan, jumlah bungkusan minyak masak yang diberikan subsidi adalah 85,000 tan metrik, satu angka yang besar melebihi permintaan dalam negara.

“Dalam kajian, setiap individu hanya menggunakan satu setengah kilogram minyak masak dalam sebulan. Jika semua rakyat guna minyak masak, hanya 45,000 tan metrik minyak masak digunakan, ada lebihan 40,000 tan metrik,” katanya.

“Kementerian tidak membuat pemberian subsidi yang berlebih-lebihan bagi mengelakkan mereka yang tidak berintegriti menjualnya di luar negara,” katanya.

Mengulas mengenai minyak kitar semula yang didakwa dijual di pasaran, Hamzah berkata, kementeriannya tidak memberi kebenaran kepada mana-mana pihak untuk melakukan tindakan itu.

Jelas beliau, pihaknya sedang mengenal pasti mereka terlibat dan akan memanggilnya agar minyak kitar semula tidak dibungkus sama seperti minyak bersubsidi dalam paket plastik supaya pengguna tidak keliru.
Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top