Nuffnang

Minyak Masak Tidak DiBenar Seberang Sempadan - Kastam






ALOR SETAR – Minyak masak tidak lagi dibenarkan dibawa keluar dari negara ini ke negara jiran terutama Thailand bagi mengelakkan masalah kekurangan bekalan barang kawalan itu.

Malah agensi penguat kuasa seperti Jabatan Kastam dan Pasukan Polis Marin telah diarah meningkatkan operasi bagi menangani penyeludupan minyak masak ke negara jiran.

Pengarah Kastam Kedah Datuk Abdul Latif Abdul Kadir berkata pihaknya sudah menerima arahan daripada ibu pejabat berhubung tindakan itu bermula 1 Nov lalu.

“Walaupun kurang sekilogram, kita tak benarkan sekalipun ia untuk kegunaan peribadi…kita akan periksa setiap kenderaan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurut Abdul Latif, pihaknya turut meningkatkan pemeriksaan ke atas setiap kenderaan yang melalui sempadan di Bukit Kayu Hitam dan Durian Burung.

Sebelum ini, ada dakwaan menyatakan minyak masak dari Malaysia terutama yang bersubsidi mudah didapati di kebanyakan kedai di selatan Thailand sedangkan rakyat Malaysia sendiri berhadapan bekalan yang tidak mencukupi.

Pengarah Kastam Perlis Datuk Kamarudin Jaafar turut mengesahkan arahan telah dikeluarkan kepada semua pegawai kastam di pintu masuk supaya mulai 1 Nov, tindakan merampas dilakukan walaupun membawa keluar paket minyak masak 1kg.

Bagi Kelantan pula, Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 3 Pengkalan Kubor meningkatkan penguatkuasaan kawalan di beberapa stor sekitar daerah itu yang dipercayai dijadikan transit simpanan minyak masak sebelum diseludup ke negara jiran.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor ASP Ahmad Amri Abd Rahman berkata langkah itu antara fokus utama PPM ketika ini dalam usaha mengekang penyeludupan barang kawalan berkenaan.

“Minyak masak dikumpulkan sedikit demi sedikit (di stor) sebelum diseludup ke Thailand. Kita percaya aktiviti tersebut didalangi individu yang licik kerana minyak masak berkenaan hanya ditempatkan dalam waktu yang singkat di stor berkenaan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata PPM juga sedang melaksanakan penguatkuasaan ke atas pergerakan kenderaan darat sepanjang sempadan Sungai Golok yang dipercayai digunakan penyeludup untuk membawa keluar minyak masak ke Thailand.

“Perkara ini perlu diberi perhatian serius bagi menghalang minyak masak dipindahkan ke bot melalui pengkalan haram. Adalah sukar untuk pihak berkuasa mengejar penyeludup selepas minyak masak dipindahkan ke bot kerana mereka boleh menghilangkan diri dengan pantas berikutan jarak sungai yang pendek,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Amri berkata penguatkuasaan di sempadan Sungai Golok agak sukar berikutan terdapat lebih 100 pengkalan dan laluan haram dengan jarak sempadan yang panjang dari Pengkalan Kubor hingga ke Jeli.

Katanya permintaan yang tinggi terhadap barangan kawalan di Malaysia yang lebih rendah harganya menjadi tarikan utama aktiviti penyeludupan minyak masak.-Bernama.
Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top