Nuffnang

PEMBUBARAN DUN : "Kejutan" Kit Siang Demi Jangka Hayat Dinasti Dan Proksi?"


JIKA tidak minggu ini sekali pun, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang akan tetap berlaku dalam masa terdekat. Ia hanya soal masa kerana ke­sungguhan DAP untuk mengadakan pilihan raya negeri mengejut nampaknya tidak tertahan-tahan lagi.
Khabarnya selepas gagal membubarkan DUN kelmarin, DAP akan tetap berusaha sehingga akhirnya dapat bertemu Yang Dipertua Nege­ri, Tun Abdul Rahman Abbas selewat-lewatnya minggu depan.

Apa yang menghalang DAP ketika ini hanyalah kegagalan me­yakinkan PKR untuk turut serta dalam rancangan radikal mereka.

Tetapi DAP menyedari mereka tidak selamanya perlu bergantung kepada persetujuan PKR untuk membubarkan DUN kerana boleh mendapati majoriti untuk berbuat demikian pada bila-bila masa.

Ketika ini, DAP memiliki 19 persetujuan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka dan memerlukan hanya dua undi lagi untuk mencukupkan majoriti 21 undi untuk membubarkan DUN.

Dengan satu undi Pas (atau PAN) sudah pasti diperoleh daripada Permatang Pasir, Datuk Mohd. Salleh Man, ini bermakna DAP hanya memerlukan satu lagi sokongan daripada ADUN PKR untuk menjayakan hasrat mereka.

Tidak dinafikan PKR ketika ini masih berbelah bahagi dengan cadangan pembubaran DUN itu.

Apatah lagi difahamkan terdapat strategi terancang menyingkirkan lima ADUN PKR yang tidak sehaluan dengan Kerajaan DAP Pulau Pinang.

Namun kebimbangan terbesar PKR bukanlah kehilangan lima ADUN PKR berkenaan, tetapi kemungkinan kehilangan kesemua 10 kerusi yang dimiliki mereka ketika ini.

Ini kerana PKR sangat menye­dari kedudukan sokongan rakyat terhadap mereka ketika ini juga cukup goyah kerana deposit undi tetap yang diterima daripada penyokong Pas selama ini sudah tidak bersama mereka lagi.

Bagi DAP pula bukanlah perkara sukar untuk mereka mendapatkan hanya satu undian daripada mana-mana ADUN PKR selain daripada lima ADUN yang tidak sehaluan berkenaan.

Dengan segala pengaruh dan kekuasaan yang ada, usaha DAP membubarkan DUN itu sebenarnya sudah berjaya meskipun tanpa persetujuan PKR selepas ini.

Cuma persoalan utama ketika ini adalah apa sebenarnya yang mendorong kegilaan DAP membubarkan DUN ketika mereka dilihat masih mempunyai sokongan majoriti penduduk negeri ini?

Pilihan raya mengejut ini bukan semata-mata untuk menyelamatkan maruah dan imej Ketua Menteri, Lim Guan Eng daripada tuduhan rasuah meskipun kononnya mahu seolah-olah menjurus kepada tujuan tersebut.

Jauh sekali kononnya mahu menyerahkan semula mandat pentadbiran kerajaan negeri kepada rakyat berikutan integriti jawatan Ketua Menteri yang tercemar dengan tuduhan korupsi.

Apa yang dibimbangkan rakyat pilihan raya negeri mengejut itu diadakan seolah-olah percubaan terdesak untuk memastikan hanya satu ‘dinasti’ atau ‘proksi’ terus menguasai pentadbiran kerajaan negeri.


DAP sangat menyedari mereka akan kekal berkuasa meskipun selepas pilihan raya negeri mengejut kelak.

Situasi itu akan memberi kele­bihan kepada parti berkenaan memilih siapa Ketua Menteri baharu bagi menggantikan Guan Eng yang tidak lagi layak ekoran tuduhan rasuah.

Strategi ini lebih selamat dalam memastikan kroni atau proksi tertentu dalam DAP kekal menguasai pentadbiran kerajaan negeri berbanding Guan Eng meletakkan jawatan dan diganti dengan timbalannya atau mana-mana ADUN DAP sedia ada.

Sebab itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika dalam senarai calon DAP bagi pilihan raya negeri mengejut itu, terdapat nama-nama yang sinonim dengan dinasti atau proksi tertentu.

Malah, tidak mustahil juga, Penasihat DAP, Lim Kit Siang akan turut bertanding dalam pilihan raya negeri mengejut itu kelak.

MOHD. KHUZAIRI ISMAIL - Utusan
Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top