KIEV: Seorang lagi wartawan terpaksa memohon maaf kepada umum selepas menyelongkar barangan mangsa nahas penerbangan MH17 semasa membuat liputan di tempat kejadian.
Caroline van den Heuvel, wartawan penyiaran EenVandaag -- sebuah saluran berita televisyen di Belanda -- memohon maaf berhubung laporannya yang disiarkan pada Isnin.
Dalam laporannya itu, dia dilihat membelek dan membaca sebuah diari seorang penumpang. Tindakannya itu mendapat kecaman di jaringan media sosial, lapor laman web NL Times.
EenVandaag kemudian mengeluarkan satu kenyataan memohon maaf pada laman webnya. Dalam kenyataan itu, lembaga pengarangnya memohon maaf kerana wartawannya "bertindak melampau" ketika ingin "menggambar keadaan setepat mungkin".
"Dia tidak berniat untuk melukakan perasaan sesiapa," kata kenyataan itu, yang turut menyebut Caroline adalah wartawan berpengalaman di medan perang.
Ini adalah insiden seumpamanya yang kedua. Pada Ahad lepas, saluran berita Sky News meminta maaf selepas wartawannya, Colin Brazier menyelongkar beg seorang penumpang dan menarik keluar sejambak kunci.
Dia kemudian berkata: "Kita tidak patut melakukan ini." Bagaimanapun, nasi sudah jadi bubur. Dia dikecam juga di jaringan media sosial termasuk didesak letak jawatan atau dipecat.
0 Komen:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....