Nuffnang

Memenangi "KUASA" Undi Anak Muda

Beberapa minggu yang lalu, Dato’ Razali Ibrahim menyatakan bahawa 200,000 mahasiswa layak mengundi pada Pilihan raya Umum ke 13 yang akan berlangsung dalam bila-bila masa. Angka 200,000 tidaklah begitu besar jika dibandingkan dengan jumlah yang bakal mengundi pada PRU iaitu di jangka 12 juta rakyat Malaysia tetapi ia tetap memberi satu impak dalam sejarah politik tanah air.
Dalam erti kata lain, kuasa 200,000 pengundi ini patut dijadikan salah satu daripada pertimbangan yang perlu disukat dan ditimbang oleh parti-parti politik. Justeru dengan jumlah 200 000 daripada 5.2 juta pengundi muda jika gagal disukat dengan baik keperluan dan kehendak mereka bakal menyebabkan kehilangan pengaruh sesebuah parti politik itu.





Sebenarnya kuasa orang muda khususnya mahasiswa universiti dalam menentukan klimaks politik tanah air bukanlah satu perkara yang baru. Waima kejayaan Barack obama dalam pilihan raya Presiden Amerika Syarikat juga dikatakan memperoleh undi yang melebihi pencabarnya kerana sokongan orang muda. Sokongan orang muda akhirnya yang meletakkan seseorang Presiden atau Perdana Menteri serta kuasa orang muda jugalah yang boleh menjatuhkan mereka.
Kuasa undi golongan mahasiswa dan belia amat ditagih oleh parti-parti politik kerana sokongan mahasiswa serta belia mencerminkan parti politik itu masih relevan serta diterima oleh masyarakat. Pemikiran mahasiswa yang matang dalam membuat justifikasi menjadikan faktor undi mereka dianggap bernilai.

Dalam era terkini, maklumat mengenai idealisme dan fahaman-fahaman bukanlah sesuatu yang asing bagi orang muda. Di mana-mana sahaja orang muda di seluruh dunia boleh mengakses serta berkomunikasi mengenai idelisme mereka. Sebab itu salah satu usaha perlu dilakukan oleh parti politik ialah menyediakan pentas untuk orang muda berpencak akan idea-idea yang mereka peroleh dari pelbagai sumber.
Seandainya kita bandingkan keadaan politik pada zaman pra kemerdekaan, idea-idea perjuangan ketika itu diperoleh daripada pengalaman aktivis yang belajar di luar negara sama ada dari Barat, Mesir atau pun Indonesia, kini faktor globalisasi membuka seluas-luasnya ruang kepada orang muda untuk memperoleh idea-idea dari seluruh dunia dan ia tidak terhad. Satu persoalan yang yang boleh dibahaskan ialah sejauh mana idealisme mahasiswa dan orang muda mampu disesuaikan dengan aspirasi kebangsaan?

Malaysia merupakan sebuah negara yang unik. Ia dibina berlandaskan sejarah. Penghujahan mengenai negara ini wajar berlandaskan sejarah yang membentuk hubungan erat antara tiga kaum terbesar serta etnik-etnik Borneo yang bergabung membentuk persekutuan. Justeru memahami sejarah, akan memudahkan orang muda memahami aspirasi kebangsaan atau aspirasi nasional.
 Pertembungan idea libealisme yang didukung oleh Barat dengan pemegangan idea aspirasi kebangsaan dilihat akan membentuk konflik yang perlu disesuaikan mengikut senario dalam negara. Kecenderungan untuk mengikut serta mengambil terus idea-idea demokrasi serta fahaman-fahaman luar dilihat akan menghakis kefahaman mengenai aspirasi kebangsaan yang menjadi tunjang perbentukkan Malaysia. Misalnya keistimewaan orang Melayu dan bumiputera di dalam Perlembagaan Malaysia di bentuk atas nilai sejarah dan bukan bersifat apartheid seperti yang dihujahkan oleh mana-mana buah pihak.
Apabila menyedari daya kompetitif bumiputera yang terkebelakang dalam aspek ekonomi serta pendidikan, Tun Abdul razak memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru untuk mengubah keadaan ekonomi bumiputera supaya mampu bersaing dengan kaum-kaum lain. Idea ini dibentuk atas kesedaran aspirasi kebangsaan dan sudah pasti ia akan ditohmah serta ditolak oleh golongan liberalis berdasarkan idea keadilan sama rata yang dipelopori oleh Barat.

Dalam memahami keinginan orang muda, ia perlu hadir dengan pengikhtirafan suara mereka. Orang muda mahukan penglibatan mereka dalam penggubalan dasar serta polisi negara. Mereka mahukan partisipasi dan tugas serta peranan kerajaan menyediakan platform ini. Partisipasi yang diperlukan oleh golongan muda atau mahasiswa ini penting supaya mereka berasa dihargai dan berpendapat bahawasanya masih ada pihak yang mendengar suara hati mereka.
Golongan orang muda atau mahasiswa bukan sahaja mahukan idea mereka diiktiraf tetapi mahukan partisipasi serta penglibatan mereka diambil kira oleh pihak pentadbir. Kerana itu mungkin bagi mahasiswa kewujudan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan menjadi medan terbaik untuk berpartisipasi dalam penentuan polisi negara yang melibatkan dunia mahasiswa serta masyarakat Malaysia amnya. Langkah menyediakan platform ini menterjemahkan makna ‘zaman kerajaan mengetahui semua sudah berakhir’.
Pengiktirafan seperti ini menjadikan penghakupayaan mahasiswa lebih dihargai serta diperlukan dalam menggubal polisi serta memperbaiki polisi yang sedia ada. Ia masih menjadi pentas yang relevan untuk melibatkan mahasiswa dalam masa yang sama mendidik mahasiswa supaya menyalurkan pandangan dengan cara penuh kehormat serta berhikmah.

Pendekatan yang diguna pakai oleh kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak seperti memperkenalkan 1M4U menarik perhatian orang muda semula ke dalam arus perdana. Sebelum ini ternyata banyak bakat orang muda serta keinginan orang muda gagal diterjemahkan dengan baik. Kerja-kerja sukarelawan yang begitu penting dalam membentuk jati diri orang muda yang matang serta bertanggungjawab menjadi kayu ukur kematangan golongan mahasiswa serta belia dilihat begitu penting dalam menterjemahkan partisipasi orang muda. Ini satu langkah permulaan yang baik dan ia diperlukan penambah baikkan dari masa ke semasa.
Barangkali apa yang penting bagi orang muda serta golongan mahasiswa bukanlah mengukur pihak mana yang mampu memberi dan memenuhi kemahuan orang muda tetapi ia lebih kepada bagaimana platform yang diberikan mampu memenuhi keperluan orang muda. Ini yang lebih utama. Ia mestilah sesuatu yang realistik sesuai dengan keadaan ekonomi serta sosial berbanding menjanjikan sesuatu yang indah tetapi belum tentu mampu direalisasikan dengan baik. Mahu atau pun tidak pertimbangan secara academia atau intelektual masih diperlukan dalam membantu golongan mahasiswa dan orang muda justifikasi yang tepat dan tidak sekadar berasaskan emosi dan menjadi ‘pak turut’ terhadap hujah yang lebih bersifat populis.

Pemimpin-pemimpin sekarang perlu datang dalam kalangan yang memahami keinginan serta aspirasi orang muda. Golongan mahasiswa dan orang muda mula menolak ‘kebangsawanan’ pemimpin sebaliknya menerima pemimpin yang boleh duduk bersimpuh dan berbual seperti tiada batasan protocol. Inilah yang dimahukan dari kalangan orang muda. Gaya kebangsawanan ini sudah tidak relevan dan ditolak oleh golongan mahasiswa dan pemimpin yang diidamkan ialah dalam kalangan yang boleh minum teh tarik, dan berborak di warung berbanding di coffee house kegagalan menyesuaikan diri mereka akan menyebabkan mereka hilang sokongan serta undi daripada golongan ini.
Lihat sahaja pendekatan kempen yang dilakukan oleh Barack Obama, pendekatan beliau yang santai akhirnya membawa persepsi yang positif dalam kalangan pengundi muda di sana bahawa bakal Presiden mereka ialah mudah didekati. Ada dalam kalangan ahli politik yang berhujah, usia bukanlah penentu kemenangan calon parti politik.

Namun senario yang berlaku terkini ialah golongan belia serta mahasiswa kelihatan bosan dengan wakil rakyat yang sudah berusia dan gagal memberikan sumbangan terbaik pada rakyat. Wakil rakyat yang seperti inilah wajar dipertimbangkan oleh kedua-dua parti adakah masih sesuai diturunkan ke dalam gelanggang pilihan raya berasaskan umur mereka dan persepsi yang bakal timbul dalam kalangan pengundi muda adakah mereka ini mampu menjana dan mendukung aspirasi serta keinginan orang muda.
Tuntasnya, dalam menarik hati undi golongan mahasiswa yang berjumlah kira-kira 200 000 pengundi dari jumlah orang muda iaitu 5.2 juta, satu usaha komprehensif perlu dilakukan. Orang muda amat mementingkan idealisme dan demokrasi serta menolak politik yang tidak matang seperti caci mencaci dan melabel pihak seteru.
Amalan politik yang matang bukan sahaja boleh membantu golongan ini untuk membuat keputusan yang tepat tetapi ia juga boleh melahirkan pelapis kumpulan masyarakat yang cakna akan tanggung jawab mereka. Dalam menghadapi cabaran globalisasi, pertembungan idea-idea baru, nilai aspirasi kebangsaan atau nasional tetap masih penting dipertahankan. Ini kerana kelahiran Malaysia adalah dari sejarah yang melambangkan toleransi serta penerimaan antara kaum dan ini harus terus dipelihara.


Biodata Kolumnis : Ku Amirul Faiz Ku Seman,Mahasiswa Tahun 4 Universiti Utara Malaysia.Yang Di Pertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM),Setiausaha Agung Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK)
Sumber :  My Mahasiswa
Share this article

0 Komen:

Catat Komen

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top