Nuffnang

RTC : PELUANG UNTUK ORANG MUDA JANA EKONOMI





IPOH, 17 Feb (Bernama) -- Kira-kira empat dekad lalu, kebanyakan kampung di seluruh negara dalam keadaan serba kekurangan dari segi kemudahan asas.

Penduduk kampung mendapatkan bekalan air daripada perigi atau sungai, bergantung kepada pelita minyak tanah atau "lampu ayam" sebagai sumber cahaya waktu malam, menggunakan kayu api untuk memasak, jalan masih tanah merah, jauh sekali untuk memiliki barang mewah seperti televisyen.

Semua itu kini tinggal sejarah. Terima kasih kepada kerajaan yang menyedari suasana itu perlu berubah untuk rakyat menikmati sebuah kehidupan yang lebih baik dan selesa.

Usaha transformasi masyarakat luar bandar itu dimulakan oleh perdana menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein yang membawa masuk pelbagai kemudahan asas, peluang pendidikan yang lebih luas, menempatkan penduduk luar bandar ke pembangunan tanah rancangan dan memperkenalkan dasar-dasar yang memastikan tiada siapa pun tercicir daripada pembangunan arus perdana.

Walaupun banyak kemajuan telah dicapai, dengan taraf kehidupan penduduk meningkat, usaha membantu dan memajukan penduduk luar bandar masih diteruskan dan kali ini anak allahyarham Tun Razak, Datuk Seri Najib, perdana menteri keenam, menerajui usaha itu.






Untuk mendekati dan membantu masyarakat luar bandar, Najib percaya Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) yang dicadangkan oleh Malaysian Blue Ocean Strategy Institute (MBOSI) akan membawa kesan yang diharapkan.

PLATFORM LONJAK EKONOMI

Inisiatif menubuhkan RTC di bawah teras Strategi Lautan Biru Kebangsaan 4 atau National Blue Ocean Strategy 4 (NBOS4) bermatlamat untuk menjadi penghubung masyarakat luar bandar dengan aktiviti yang mempunyai nilai tambah yang tinggi bagi mewujudkan impak ekonomi dan pendapatan berganda.

RTC Gopeng yang terletak di Terminal Agribisnes Negara (Teman) juga dijangka mengimbangi kepesatan pembangunan di bandar dan wilayah yang lain.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal ketika mengadakan perjumpaan dengan Ketua-ketua Kampung negeri Perak di RTC Gopeng berkata pusat itu akan menjadi perintis kepada semua RTC yang akan dibuka di seluruh negara.

"RTC akan menjadi nadi kepada peningkatan pendapatan serta aktiviti ekonomi luar bandar. RTC antaranya dapat meningkatkan mata pencarian, produk luar bandar dapat dipasarkan dan dalam tempoh yang panjang, ia dapat dieksport," katanya.

Beliau berkata KKLW dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani adalah dua kementerian yang menerajui pelaksanaan program di bawah RTC di samping mendapat kerjasama kementerian lain seperti Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kewangan.

RTC juga adalah pusat integrasi perkhidmatan meliputi pengumpulan, pemprosesan dan pengedaran hasil pertanian, perbankan dan insurans, khidmat nasihat perniagaan, latihan dan kemahiran, penjagaan kesihatan dan ruang niaga.

RTC Gopeng dan RTC di Wakaf Che Yeh, Kelantan yang sudah beroperasi akan juga berperanan sebagai platform bagi golongan muda luar bandar untuk mendapatkan peluang pekerjaan dan melatih diri dalam bidang kemahiran tertentu.

KERJASAMA PIHAK SWASTA

Ketua Setiausaha KKLW Datuk Ibrahim Mohamad berkata RTC Gopeng diwujudkan khusus demi kemudahan semua penduduk dalam lingkungan 100km dari pusat berkenaan.

RTC Gopeng ialah hentian setempat bagi hampir semua jabatan yang berurusan dengan orang ramai seperti -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), YAPEIM, Yayasan Tekun, Pos Malaysia, Klinik Kesihatan dan Agro Bank.

Pusat itu juga menyediakan perkhidmatan swasta seperti Kontena Nasional yang menawarkan kemudahan logistik pemasaran produk.

Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Ahmad Ishak pada taklimatnya awal Februari lepas, menarik perhatian bahawa pihak swasta juga memainkan peranan dalam usaha merancakkan semua aktiviti RTC Gopeng.

Hipermarket borong akan beroperasi di premis itu yang mana ia bekerjasama dengan usahawan tani bagi mengedar hasil pertanian ke seluruh rangkaian pasarannya di negara ini.

"Jalinan kerjasama swasta, rakyat dan jentera kerajaan sememangnya dapat memajukan negara, di mana kesan limpahannya merangkumi penduduk di Perak, Pahang (Cameron Highlands), Kelantan (Lojing) dan Selangor (Sabak Bernam).

LAPAN INISIATIF UTAMA RTC

RTC menggerakkan lapan inisiatif utamanya yang telah digariskan iaitu pertama bergerak sebagai penyedia peluang latihan berterusan kepada masyarakat luar bandar di RTC dan kawasan sekitarnya dengan matlamat menambah pengetahuan, kemahiran dan keupayaan masyarakat luar bandar untuk meningkatkan pendapatan, peluang pekerjaan serta taraf hidup.

Latihan keusahawanan, motivasi, pembungkusan, penjenamaan, persembahan produk, pengurusan makanan ternakan, teknik fertigasi dan kemahiran elektronik turut ditawarkan.

RTC turut menjadi tempat Kios Informasi 1Malaysia yang merupakan pusat maklumat setempat yang menggabungkan informasi dan perkhidmatan yang ditawarkan pelbagai kementerian.

RTC juga menjadi platform kepada sektor pertanian bernilai tinggi dan membangunkan usahawan dalam bidang pemprosesan makanan untuk pasaran tempatan dan global.

Pusat ini juga menyediakan kemudahan perkhidmatan pembiayaan mikro kredit di bawah pemantauan Kementerian Kewangan.

KARNIVAL RTC GOPENG

Sempena perasmian RTC Gopeng oleh Perdana Menteri pada Sabtu, 18 Feb, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) mengadakan Karnival RTC.

Pengarah Fama negeri Perak Basri Jasmo berkata program itu bertujuan memperkenalkan RTC sebagai pusat pengumpulan dan pemasaran hasil dan produk pertanian dari luar bandar.

Sebanyak 15 agensi kerajaan akan membuka kaunter mereka sepanjang karnival itu mulai 10 pagi hingga 5 petang. Antaranya ialah Polis Diraja Malaysia yang mengadakan pameran kenderaan, senjata, sejarah dan kerjaya, pertunjukan unit udara, forensik serta pameran pemusnah bom.

Orang ramai berpeluang mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti yang dirancang sempena karnival RTC Gopeng itu seperti pameran, jualan produk, pertandingan hiasan, persembahan seni pertahankan diri, seminar keusahawanan, pertandingan futsal dan pameran kerjaya.

-- BERNAMA
Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top