Nuffnang

PM TURUT DIFITNAH MEDIA SOSIAL

Perdana Menteri, Datuk Sri Najib berkata, beliau tidak terkecuali daripada menjadi mangsa fitnah serta kepalsuan media-media sosial di negara ini.  Antaranya, beliau dituduh melakukan tawaf secara berseorangan bersama rombongan sambil diiringi oleh pasukan keselamatan Arab Saudi ketika mengerjakan haji baru-baru ini dan disebabkan itu jemaah lain telah dihalang untuk melakukan ibadah berkenaan.  Tegas beliau, dakwaan tersebut bukan sahaja tidak benar dan tidak berasas malah ia merupakan satu fitnah yang amat besar.

 ”Saya pergi buat ibadah haji mendapat taraf tetamu diraja. Bukan kita minta tetapi ditawarkan oleh Raja Arab Saudi. Antara kemudahan diberikan apabila kita melakukan tawaf ada beberapa anggota tentera menjaga keselamatan kita.

”Apabila keluar dalam media sosial mereka padamkan jemaah haji yang lain seolah-olah saya dikepung dan diberikan keistimewaan hingga jemaah lain tidak boleh buat tawaf kerana saya buat tawaf. Ini satu kepalsuan dan fitnah besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Konvensyen Media Sosial 1Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini. Perdana Menteri berkata, mereka yang melakukan fitnah itu langsung tidak takut kepada dosa-dosa besar ekoran daripada perbuatan tersebut. ”Dosa besar mereka tidak takut, dosa kecil lagi mereka tidak takut.”

Begitu juga katanya, fitnah terhadap anak perempuannya yang dikatakan telah berbelanja di Perth ketika beliau menghadiri Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM), baru-baru ini. ”Walhal anak saya berada di negara lain untuk menjalankan pekerjaannya dan tidak ada di Perth,” katanya.


Sungguhpun begitu, beliau mengakui media sosial banyak memberi manfaat terutama dalam usaha merapatkan hubungan antara pemimpin dan rakyat. ”Saya ada blog sendiri, Facebook dan Twitter sendiri. Kebanyakannya saya twit sendiri dan ada kala pegawai menjalankan tugas ini bagi pihak saya. Saya mahu berhubung dengan rakyat. Saya mahu meletakkan hati saya dengan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu Perdana Menteri turut menceritakan bagaimana beliau telah menggunakan iPhone 4 untuk merakamkan mesejnya untuk rakyat Malaysia pada sambutan Aidiladha di Padang Arafah, baru-baru ini. ”Disebabkan urusan peribadi, tiada peruntukan jurukamera RTM dan TV3 untuk mengikut saya. Namun saya teringatkan dan rindukan rakyat Malaysia dan berhasrat untuk menyampaikan mesej Aidiladha kepada mereka.

”Akhirnya, saya terfikir untuk mengggunakan iPhone 4. Dengan iPhone 4, video dirakam dan ketika itu saya memakai ihram di Padang Arafah. Selepas selesai rakaman, ia dihantar menerusi e-mel dan kemudian disiarkan di RTM dan TV3. Gambarnya cukup jelas. Inilah manfaatnya kita gunakan teknologi baru,” jelasnya.
Share this article

0 Komen:

Catat Komen

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top